Para pembaca yang dirahmati Allah SWT.
Kalau dahulu heboh 1Malaysia mengenai pelaksanaan sekolah 1Sesi. Timbul tentangan daripada golongan guru. Akhirnya isu tersebut terus lenyap daripada pemimpin politik yang sengaja mencuit hati ratusan ribu guru di seluruh Malaysia. Dan yang terkini, kajian rintis pelaksanaan kerja 9 jam sehari untuk guru.
Dilaporkan guru di empat negeri terlibat - Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak dan pencadang dasar menjelaskan agar guru tidak risau kerana kerajaan hanya membuat percubaan. Projek yang akan dilaksanakan mulai Januari depan di empat negeri terbabit berasaskan kajian di Melaka Tengah yang mengenalpasti tempoh bekerja yang ideal bagi guru.
Saya mendesak kerajaan membatalkan projek perintis sistem waktu bekerja sembilan jam bagi guru sekolah kerana ia adalah "tidak wajar" dan "tidak munasabah". Percubaan itu bukan sahaja membazir, malah guru juga tidak boleh dijadikan bahan uji kaji. Bahkan, banyak perkara berlaku dalam alam perguruan di luar daripada silibus pembelajaran, justeru mengapa guru perlu dibebankan dengan kajian rintis seperti ini.
Seseorang yang bergelar guru terpaksa hadir ke program kokurikulum, sukan tahunan, aktiviti riadah di luar bilik darjah, lawatan sambil belajar dan kursus wajib yang mesti diikuti. Bagaimana pula Malaysia boleh melahirkan murid yang cemerlang jika guru yang mengajar pelajar sering letih, lesu dan hilang semangat kerana perlu memenuhi masa bekerja seperti tenaga profesional yang lain?
Suasana pengajaran dan pembelajaran di sekolah menyebabkan banyak perkara memerlukan inisiatif sendiri kumpulan guru itu, termasuk mengeluarkan duit sendiri tanpa tuntutan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan