Khamis, 10 November 2011

AUKU boleh dipinda: Muhyiddin




Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) boleh dipinda atau dihapuskan sekiranya mahasiswa memberikan sepenuh perhatian terhadap pelajaran tanpa "digagahi" oleh pihak lain.


Timbalan Perdana Menteri berkata sebelum ini, kerajaan memperkenalkan AUKU pada 1971 disebabkan oleh beberapa insiden, dan pengenalan akta itu ialah supaya pelajar dapat menumpukan sepenuh masa dalam pelajaran di universiti serta kolej dan tidak “diganggu” dengan kegiatan luar.

“Saya nak soal balik? Adakah anda sudah bersedia atau tidak? (terlibat dalam politik dan pada masa sama tumpukan terhadap pelajaran). Kalau ya, kenapa tidak. Mungkin kerajaan tak perlu akta (AUKU) kot atau pun kita meminda akta itu untuk memberi ruang supaya pelajar boleh membuat keputusan tanpa digagahi oleh mana-mana suatu kuasa perundangan.

"Ini kerana saudara dan saudari sudah kata tahu apa yang patut dibuat dan kerajaan tidak perlu bimbang bahawa kami (mahasiswa) akan menumpukan sepenuh masa dalam pelajaran. Ini pandangan kasar saya," katanya apabila diminta memberi pandangan pada sesi soal jawab sempena Konvensyen Integriti Nasional di Putarajaya, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Tap Salleh.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, bagaimanapun, mempersoal sama ada mahasiswa sudah bersedia dan cukup matang untuk membuat keputusan sendiri yang bijaksana tanpa dipengaruhi oleh pihak lain.



"Kalau pelajar hari ini kata kami bersedia, kami sangat matang dan boleh membuat keputusan mengenai apa yang baik untuk kami, kami tidak perlukan sesiapa untuk mengawal kami. Kita tidak perlu apa-apa kekangan, kita tidak akan melakukan sesuatu yang tidak memanfaatkan kita," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata apa yang membimbangkan masyarakat ialah penglibatan mahasiswa dalam politik akan menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran.

"Ini akan menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat dan menjadikan kampus gelanggang politik yang tidak membawa hasil dalam usaha melahirkan sumber manusia berilmu," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...