Selasa, 8 November 2011

Ramai setuju umur persaraan dinaikkan ke 60 tahun




Kebanyakan pencari kerja di negara ini bersetuju dengan cadangan menaikkan umur persaraan, langkah yang mereka jangka akan mengurangkan bebanan simpanan berikutan peningkatan jangka hayat.


Dalam kaji selidik yang dijalankan oleh Jobstreet.com pada bulan lalu, 72 peratus daripada responden menyokong gesaan untuk menaikkan umur persaraan daripada 55 tahun, dengan kebanyakan mereka (34 peratus) menyatakan mereka memilih untuk bersara pada umur 60 tahun.

Sebanyak 15 peratus menyatakan mereka memilih untuk bersara pada usia 65 tahun, manakala 12 peratus berkata mereka lebih suka jika tiada umur maksimum ditetapkan bagi persaraan.

Sebanyak 84 peratus berkata, adalah perlu untuk menaikkan umur persaraan berikutan peningkatan jangka hayat akan memberikan bebanan lebih tinggi kepada simpanan, manakala 73 peratus berkata langkah itu akan memastikan pengekalan pekerja mahir, khususnya dalam profesion yang memerlukan banyak pengalaman.

Bagaimanapun, kaji selidik itu mendapati mereka yang menyokong langkah berkenaan turut bimbang pekerja yang dikekalkan mungkin menjadi kurang efektif akibat semakin berusia (46 peratus) dan juga isu kesihatan akan menghalang mereka daripada bekerja secara berkesan (46 peratus).


Menurut kenyataan itu, 28 peratus yang tidak bersetuju dengan langkah menaikkan umur persaraan ialah daripada kumpulan umur lebih muda, antara 18 dan 35 tahun berikutan kebimbangan mereka bahawa pekerja akan menjadi kurang efektif apabila usia meningkat.

Sebab kedua ialah tawaran kerja di pasaran semakin sedikit untuk graduan, katanya.

“Sesetengahnya, berpendapat pekerja berusia sepatutnya menikmati persaraan lebih awal daripada memanjangkan tempoh kerja mereka,” menurut Jobstreet.

Sementara itu, 64 peratus responden juga bersetuju skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dipinda selaras dengan umur persaraan yang baru, dengan majoritinya berharap diberikan pilihan untuk mengeluarkannya pada umur 55 tahun.

Ramai juga mencadangkan pengeluaran simpanan KWSP patut dikawal oleh skim fleksibel yang membenarkan pengeluaran sebahagian bagi mencegah pekerja daripada kehabisan dana pencen mereka.

- Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...