Selasa, 24 Januari 2012

Pajak motor bapa sesuka hati




KULIM - Anggota Polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim berjaya menahan sepasang suami isteri warga asing berusia 20-an kerana menunggang motosikal yang dilaporkan hilang di kawasan perindustrian Taman Cendana kira-kira jam 2 petang.

Ketua Balai Polis Kulim, Cif Inspektor Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, motosikal yang ditunggang suspek ditahan untuk pemeriksaan kerana tidak mempunyai nombor pendaftaran. Setelah pemeriksaan dibuat melalui nombor chasis dan enjin, polis mendapati motosikal itu dilaporkan hilang.

Pasangan suami isteri itu memaklumkan mereka memperoleh motosikal itu dari seorang teman sehari sebelum ditahan polis. Motosikal itu digunakan untuk membawa isterinya yang sarat mengandung untuk membuat pemeriksaan di klinik.

Mohd Azlan berkata, hasil siasatan yang dijalankan mendapati anak pemilik motosikal memajak motosikal bapanya kepada seorang rakan kerana tidak mempunyai wang dengan harga RM1,200 tanpa pengetahuan bapanya.

“Menyedari motosikalnya itu tidak ada di rumah, pemilik motosikal membuat laporan polis dan beranggapan ia dicuri. “Sipemajak kemudiannya membenarkan suspek menggunakan motosikal itu bagi tujuan rawatan tanpa menyedari motosikal yang digunakan itu sudah dilaporkan hilang., “ katanya. Polis kemudiannya menahan anak pemilik motosikal dan pasangan suami isteri itu untuk siasatan lanjut.

Sumber:
WARTAWAN SINAR HARIAN
January 24, 2012

Gempa bumi kuat diramal gegar Tokyo waktu terdekat




TOKYO - Jepun yang dilanda malapetaka berganda awal Mac lalu dijangka akan berhadapan dengan gempa bumi besar, di ibu negaranya Tokyo, dalam empat tahun lagi. Laporan BBC memetik penyelidik-penyelidik dari Universiti Tokyo berkata, kajian pihaknya menunjukkan ada kebarangkalian 75 peratus gempa bumi pada skala tujuh akan melanda rantau itu. 

Kerajaan Jepun berkata kemungkinan kejadian itu adalah 70 peratus dalam 30 tahun akan datang. Amaran ini dikeluarkan tidak sampai setahun selepas wilayah timur laut Jepun dilanda gempa bumi dan tsunami, dan disusuli dengan krisis nuklear. Kali terakhir Tokyo dilanda gempa bumi besar adalah pada 1923, pada skala 7.9 menyebabkan lebih 100,000 orang terbunuh, kebanyakannya akibat kebakaran.

Penyelidik-penyelidik di institut kajian gempa bumi di Universiti Tokyo itu membuat ramalan ini berdasarkan peningkatan kejadian gegaran di Tokyo susulan malapetaka berganda pada 11 Mac lalu.Menurut mereka, berbanding dengan tahun-tahun yang normal, peningkatan gegaran yang dikesan di kawasan metropolitan Tokyo adalah lebih kali ganda- Sinar Harian

Buat kecoh di pasar sebelum 'drama tebusan'


AHMAD ISMADI ISMAIL & HIDAYAH HAIROM
January 23, 2012

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang menjadikan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun sebagai tebusan di rumahnya di Kampung Baru di sini hari ini, membuat kecoh di pasar berdekatan sebelum insiden itu.
Jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli berkata, dia yakin lelaki berkenaan bukan penduduk Kampung Baru kerana kelibat suspek tidak pernah dilihat sebelum ini.
Katanya, dia mungkin datang dari kawasan lain sebelum masuk ke rumah itu dan menjadikan kanak-kanak perempuan 10 tahun tersebut sebagai tebusan.
Laporan Bernama memetik seorang lagi penduduk tempatan, Suhardi Osman, 45, berkata, lelaki itu membuat kecoh di sebuah pasar berdekatan.
"Saya dapat tahu dia terlebih dahulu telah membuat kecoh di pasar pada waktu pagi sebelum dihalau oleh orang ramai, dan ini mungkin punca mengapa dia menjadikan kanak-kanak tersebut sebagai tebusan," katanya.
Sebelum kejadian, lelaki berkenaan dipercayai merayau-rayau di sekitar sitem transit aliran ringan LRT Kampung Baru dalam keadaan tidak berpakaian.
Seorang lagi saksi, Azhar Osman, 47, berkata, dia ketika itu baru sahaja habis bersarapan di sebuah gerai berdekatan dan terlihat lelaki tidak berpakaian.
Menurutnya, orang ramai yang berada di lokasi ketika itu memarahi lelaki berkenaan agar memakai pakaian yang dibawanya, namun dia yang dipercayai kurang siuman itu memberi maklum balas yang tidak diketahui butir katanya.
"Ketika itu dia berbogel dan memegang besi yang mana baju dan seluar yang dibawa membalut besi tersebut.
"Apabila orang ramai memarahinya agar memakai pakaian, dia mula mengeluarkan kata-kata yang tidak difahami dan mula mengamuk dengan menghayun-hayunkan besi yang dipegang," katanya.
Katanya, dia hanya mengetahui lelaki berkenaan telah menjadikan mangsa sebagai tebusan apabila menerima pangilan daripada anaknya.
"Apabila mendapat tahu perkara tersebut, saya agak suspek adalah orang yang sama yang ditemui sebelum itu dengan tidak berpakaian dan dia bukan individu yang biasa dilihat di sekitar kawasan ini kerana ini kali pertama saya melihatnya.
Dalam pada itu, kejadian tersebut nyata menggemparkan penduduk Kampung Baru apabila kira-kira 300 penduduk tidak berganjak daripada kawasan kejadian untuk mengetahui perkara yang berlaku.
Salah seorang penduduk, Abdul Ghani Mohd Noor, 48, berkata, ia peristiwa yang pertama kali berlaku di situ dan sememangnya memberi kejutan kepada penduduk lebih-lebih lagi ia berlaku pada masa cuti umum.
Menurutnya, difahamkan lelaki berkenaan berada di bawah pengaruh dadah dan dia juga orang luar, disebabkan itu dia boleh melakukan hal demikian.
"Kejadian yang berakhir dengan empat das tembakan ini memang menggemparkan semua penduduk. Hari ini memang hari cuti dan ramai penduduk yang berada di rumah dan berita ini cepat tersebar," katanya.
Polis bertindak melepaskan empat das tembakan ke arah lelaki terbabit setelah berunding selama enam jam bagi membebaskan mangsa.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata, langkah itu terpaksa diambil setelah lelaki terbabit, yang berumur 34 tahun, bertindak agresif ketika proses rundingan.
Dalam kejadian 10 pagi itu, polis menjalankan rundingan dengan turut memanggil pakar psikiatri HKL dan seorang rakan lelaki berkenaan untuk memujuknya, namun dia bertindak lebih agresif.

Sabtu, 21 Januari 2012

Prestasi cemerlang beri imej baik kepada sekolah




Prestasi cemerlang beri imej baik kepada sekolah

SARIKEI: Prestasi cemerlang dari segi akademik dan kokurikulum akan memberi imej yang baik kepada sesebuah sekolah, kata Ahli Parlimen Sarikei, Ding Kuong Hiing.
Menurut beliau, imej institusi yang memberangsangkan bakal menjadikannya pilihan utama dalam kalangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka bagi mendapatkan pendidikan.
Justeru, katanya, dalam usaha mencapai matlamat tersebut, komitmen dan kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan segala yang telah dirancang mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
“Adalah tidak mustahil bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Sarikei untuk mencapai tahap tersebut, berdasarkan prestasi selama ini yang menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.
“Rangsangan ini bukan hanya kita tujukan kepada sekolah ini sahaja, tetapi juga kepada semua sekolah di Parlimen Sarikei agar semua pihak berusaha lebih keras untuk mencapai tahap pendidikan berkualiti.
“Ini sekali gus dapat merealisasikan impian negara melahirkan modal insan berkualiti, berdaya saing, beretika serta berwawasan tinggi,” kata Ding.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pesta Angpau anjuran SMK Tinggi Sarikei, semalam.
Pada majlis tersebut, turut diadakan pertunjukan tarian singa oleh para pelajar sekolah terbabit dan pertandingan menulis kaligrafi.
Ding menambah, aktiviti berasaskan kesenian dan kebudayaan sejak dari zaman dahulu lagi merupakan salah satu bidang yang paling mendapat tempat di hati kalangan semua peringkat, khususnya golongan muda atau para pelajar.
“Melalui apa yang telah dipersembahkan kepada kita sepanjang program ini berlangsung, kita dapat lihat setiap persembahan itu mempunyai kualiti dan mutu yang sangat tinggi.
“Dengan penganjuran seperti ini kita dapat melahirkan bakat bakat seni yang terpendam di samping menyemai beberapa kesan positif seperti mengukuhkan perpaduan kaum, mendisiplinkan diri pelajar, melahirkan kerjasama berpasukan, mendidik pelajar tentang ketepatan masa dan sikap berdaya saing dalam bentuk yang sihat,” tegasnya.
Menurut beliau, kecemerlangan tidak akan dapat dicapai jika tiada dorongan daripada guru-guru yang memberi tunjuk ajar kepada para pelajar.
“Di samping itu, ia adalah satu usaha untuk menyemai kebudayaan tarian dan kesenian yang ada di negara kita agar ia tidak luput ditelan zaman dan secara tidak langsung mampu dijadikan sebagai pemangkin dalam usaha untuk mengelakkan golongan muda daripada terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah,” kata Ding lagi.
Majlis yang berlangsung di Dewan SMK Tinggi Sarikei turut dihadiri Pengetua SMK Tinggi Sarikei Vincent Leong, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tinggi, Sarikei Simon Seo dan sekitar 1,000 hadirin.
Sumber: 

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SIJIL TINGGI AGAMA MALAYSIA TAHUN 2011




KENYATAAN AKHBAR: KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SIJIL TINGGI AGAMA MALAYSIA TAHUN 2011


Majlis Pengumuman Analisis Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 akan diadakan pada hari Khamis, 26 Januari 2012 pada jam 9.00 pagi di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya.
Pada tahun ini seramai 8,499 orang calon telah menduduki STAM di 108 pusat peperiksaan di seluruh negara. Daripada jumlah 8,499 calon, 3,782 merupakan calon Sekolah Kerajaan, Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, manakala 2,569 calon Sekolah Menengah Agama Negeri, 649 adalah calon Sekolah Agama Rakyat sementara 1,462 adalah calon persendirian manakala baki 37 orang adalah calon Sekolah Menengah Swasta.
Calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi pada hari yang sama. Calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri tempat mereka mendaftar dahulu.
Mulai tahun ini juga Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan perkhidmatan semakan keputusan STAM melalui mySMS 15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula jam 10 pagi, 26 Januari 2012 dan akan ditamatkan pada 12 tengah malam, 1 Februari 2012. Bersama ini dilampirkan bahan promosi perkhidmatan yang dikeluarkan oleh MAMPU untuk rujukan.
Lembaga Peperiksaan
Kementerian Pelajaran Malaysia
20 Januari 2012


Jumaat, 20 Januari 2012

SEMAKAN KEPUTUSAN PERMOHONAN TINGKATAN 4 SBP 2012

KEPUTUSAN PERMOHONAN MRSM TINGKATAN 1 DAN 4 2012


SEMAKAN PERMOHONAN TINGKATAN 1

KLIK


SEMAKAN PERMOHONAN TINGKATAN 4
KLIK

Sejarah Kalendar




SETIAP tahun, apabila Disember ditinggalkan, muncul Januari yang menandakan bermulanya tahun baru. Semua ini sudah ditempuhi manusia sejak beratus-ratus tahun lalu iaitu apabila kalendar pertama wujud. Namun, masih ramai yang tidak tahu sejarah dan perkembangan kalendar. Ini mungkin kerana topik ini bukanlah sesuatu yang penting untuk diambil tahu, lebih-lebih lagi penetapan tarikh adalah perkara rutin dalam kehidupan harian.
Namun, sebelum memahami mengenai kalendar atau takwim ini, definisi kalendar itu perlu diketahui. Secara umumnya, kalendar atau takwim adalah satu sistem pengiraan masa menggunakan hari dan bulan.Tarikh sesuatu hari itu biasanya ditentukan berpandukan kepada objek astronomi seperti matahari atau bulan. Takwim juga adalah satu objek nyata yang menjelaskan sistem itu.Takwim atau kalendar boleh dibahagikan mengikut objek astronomi Kalendar Suria (Solar), Kalendar Qamari atau Lunar (Bulan) serta Kalendar Lunisolar (bulan dan matahari). Kalendar Suria adalah berpandukan matahari semata-mata, iaitu mengikut perubahan musim. Contohnya, Kalendar Gregorian dan Kalendar Julian.

Kalendar Lunar atau Qamari berpandukan bulan semata-mata iaitu mengikut fasa bulan. Contohnya ialah Takwim Hijrah manakala Kalendar Lunisolar pula mengikut kedua-dua bulan dan matahari - contohnya Kalendar Cina.Dilaporkan, kalendar pertama yang wujud di dunia ini adalah kira-kira 4,000 tahun Sebelum Masihi oleh masyarakat Mesir purba. Orang-orang Mesir purba menggunakan kalendar dengan 12 bulan 30 hari, untuk jumlah 360 hari untuk setiap tahun dicampur lima hari tambahan pada akhir tahun. Manakala minggu bagi setiap bulan adalah tiga minggu sepuluh hari.

Penentuan kalendar Mesir ini berdasarkan kiraan tahun solar iaitu 3,651/4 hari, namun tidak mempunyai hari lompat setiap empat tahun untuk mengambil kira hari pecahan (cara yang kita lakukan sekarang dalam kalendar Gregorian), mereka membiarkan hari satu perempat terkumpul.Bermaksud, ada tahun yang mempunyai hari yang lebih berbanding tahun yang lain mengikut pilihan mereka. Mereka tidak meletakkan Hari Lompat pada bulan tertentu, sebaliknya dipilih dalam mana-mana bulan yang disukai dengan syarat setiap empat tahun sekali.Dalam sistem kalendar kini, hampir semua negara mengikut kaedah sama iaitu merujuk kepada kalendar Gregorian yang diubah berdasarkan kalendar Julian yang mana 97 tahun daripada setiap 400 tahun menyelitkan 29 hari pada Februari.

Jika ditanya kaedah atau kalendar mana paling sempurna, setiap satu mempunyai perbezaan mengikut saat, minit, jam atau hari. Malah dikatakan Gregorian yang digunakan secara meluas memerlukan perubahan dalam tempoh beberapa ratus tahun akan datang.Kalendar Gregorian. TAHUN Gregorian bermula pada 1 Januari dan berakhir pada 31 Disember. Tahun Gregorian ada 365 hari pada tahun biasa dan 366 hari dalam tahun lompat yang memberi panjang purata 365,2425 hari. Ini adalah sangat dekat dengan purata 76 tahun kalendar Islam (berdasarkan masa purata antara ekuinoks musim bunga berturut-turut yang kini 365,2424 hari dan meningkat sedikit).

Kalendar Gregorian ini dicadangkan oleh doktor Aloysius Lilius, dari Napoli, Itali dan kemudian mula digunakan Pope Gregory XIII pada 24 Februari 1582. Kalendar ini dicipta kerana Kalendar Julian dinilai kurang tepat, berikutan permulaan musim bunga lebih awal bukan lagi 21 Mac seperti yang dipraktikkan.
Pada awalnya, tidak semua negara mahu menggunakan kalendar ini. Britain mula menerima pakai kalendar ini pada 25 Mac 1752 manakala Russia menggunakannya pada 1918.
Kalendar Islam.

KALENDAR Islam atau dikenali sebagai takwim Hijrah atau Takwim Islam pula adalah Kalendar Lunar digunakan di kebanyakan negara Islam untuk menentukan hari kebesaran Islam. Kalendar ini berdasarkan bulan dan mempunyai kira-kira 354 hari setahun. Dalam takwim Hijrah, ada 12 bulan iaitu Muharam, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah. Setiap bulan mengandungi 29 atau 30 hari, tetapi lazimnya tidak dalam turutan yang tetap.

Secara tradisinya, hari pertama setiap bulan akan bermula selepas anak bulan (hilal) kelihatan ketika matahari terbenam. Jika hilal tidak kelihatan selepas 29 hari pada bulan itu, sama ada dilindungi awan atau langit di ufuk barat terlalu terang apabila bulan terbenam, maka, hari itu dikira sebagai hari yang ke-30. Pencerapan atau rukyah itu haruslah dilakukan oleh orang yang dipercayai dan dan mengakuinya di hadapan pemimpin negara.
Dikatakan bahawa orang yang mula-mula menamakan bulan-bulan ini ialah Kab ibn Murrah, datuk kelima Rasullullah SAW. Peristiwa ketika pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab adalah titik tolak perubahan takwim hijrah yang mana Khalifah Umar mengumpulkan beberapa orang sahabat pada hari Rabu 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijrah bagi menentukan tarikh yang patut diambil sebagai permulaan tahun Islam.

Dalam perbincangan itu, pendapat 'Ali ibn Abi Talib diterima dengan mengemukakan cadangan supaya menjadikan Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah sebagai permulaan tahun Islam. Mereka juga bersetuju dengan pandangan Uthman menjadikan Muharam sebagai bulan pertama dalam sejarah Islam. Orang Arab menganggap permulaan hari ialah selepas jatuh matahari dan berterusan sehingga jatuh matahari berikutnya, oleh itu malam mendahului siang. Tetapi hari menurut syarak yang diberi definisi oleh fuqaha' dimulai dengan terbit fajar sadiq sehingga jatuh matahari. Pada zaman sekarang, menurut orang Eropah, hari dimulai pada tengah malam dan berterusan sehingga tengah malam berikutnya.

Kalendar Cina
KALENDAR Cina pula mengikut kalendar lunisolar, iaitu sama jenis dengan takwim Ibrani dan kalendar Hindu, yang menggabungkan unsur takwim qamari dengan kalendar solar. Di negara China sekarang, kalendar Gregorian digunakan untuk kebanyakan kegiatan harian, namun kalendar Cina masih digunakan untuk menanda perayaan orang Cina tradisi seperti Tahun Baru Cina, perayaan Duan Wu dan Perayaan Kuih Bulan. Sesetengah masyarakat Cina di seluruh dunia percaya dalam bidang astrologi. Mereka menggunakan kalendar ini untuk memilih tarikh sesuai melangsungkan perkahwinan atau merasmikan pembukaan bangunan baru. Oleh kerana setiap bulan mengikuti satu kitaran bulan, kalendar ini juga digunakan untuk menentukan fasa kitaran bulan. Di China, kalendar tradisional ini dikenali sebagai ‘kalendar pertanian’ manakala kalendar Gregorian dikenali sebagai ‘kalendar umum’ atau ‘kalendar Barat’.

Kalendar Julian
KALENDAR Julian diperkenalkan pada tahun 46 SM oleh Julius Caesar dan mula digunakan pada tahun 45 SM. Kalendar ini dipilih selepas perundingan dengan ahli astronomi Sosigenes dari Iskandariah. Ia direka bentuk hampir menyamai tahun tropika yang digunakan sejak zaman Hipparchus lagi. Tahun Julian merangkumi 365 hari yang dibahagikan kepada 12 bulan dengan satu hari lompat ditambah pada bulan Februari setiap empat tahun. Oleh itu, tahun Julian mempunyai 365.25 hari setiap tahun pada puratanya. Kalendar ini masih digunakan dalam abad ke-20 di sesetengah negara dan masih terus digunakan oleh kebanyakan gereja Ortodoks hingga hari ini. Kalendar ini digantikan dengan kalendar Gregorian kerana terlalu banyak tarikh lompat yang menyebabkan kekeliruan.

INFO
Orang Arab menamakan lima bulan dengan nama musim walaupun ia tidak lagi tepat seperti dialami sekarang. Contohnya, Ramadan yang berasal daripada al-Ramada' bermaksud sangat panas, tidak selalunya jatuh pada musim panas. Begitu juga dua Jamad (Jamadilula/Jamadilawal dan Jamadilakhir) tidak selalunya jatuh pada musim sejuk walaupun Jamad bermaksud beku.
Muharam pula dinamakan demikian kerana salah satu bulan yang diharamkan berperang. Manakala Safar pula ertinya kosong, kerana isi negeri menjadi kosong disebabkan penduduknya keluar berperang selepas Muharam.
Rabiulawal dan Rabiulakhir dinamakan demikian kerana kedua-duanya jatuh pada musim bunga (Rabi') waktu nama itu diberikan. Rejab pula ertinya bulan yang dihormati kerana mereka menghormatinya dengan meninggalkan peperangan. Sehubungan itu, ia termasuk di dalam salah satu bulan haram. Syaaban (bercabang) pula mendapat namanya kerana kabilah-kabilah Arab berpecah dan bercabang untuk berperang selepas duduk diam pada bulan Rejab. Dinamakan bulan Syawal kerana pada bulan itu unta mengangkat ekornya kerana hendak mengawan, berasal daripada akar kata syala (mengangkat).Zulkaedah ertinya duduk, iaitu bulan yang mereka duduk di rumah tanpa peperangan. Zulhijjah pula diambil namanya daripada perkataan hajj (bulan Haji).

Perbezaan jarak antara tahun Hijrah dengan tahun Masihi ialah 622 tahun, tetapi jarak perbezaan ini semakin berkurangan sedikit demi sedikit. Ini kerana setahun Hijrah qamariyah mengandungi 354 hari, 8 jam, 48 minit, dan 36 saat. Sedangkan setahun Masihi shamsiyah mengandungi 365 hari, 6 jam, 9 minit dan 9.5 saat dan perbezaan keduanya ialah 10, 11 atau 12 hari dalam setahun, iaitu terpulang sama ada salah satu atau kedua-duanya tahun kabisah. Dengan kiraan ini jelaslah bahawa setiap 33 tahun Hijriyah lebih kurang sama dengan 32 tahun Masihi. Oleh itu tahun Hijrah dan tahun Masihi akan bertemu atau sama harinya pada setiap lebih kurang 33 tahun sekali.

Kalendar sudah pupus
Kalendar Aztec
Takwim Maya
Takwim Positivist

Kalendar Gregorian pertama kali digunakan di Itali, Poland, Portugal dan Sepanyol pada 1582. Kalendar Gregorian mempunyai pusingan 400 tahun dan menariknya 29 Februari 2008 jatuh pada Jumaat, hari sama pada 29 Februari 2408. Orang Arab sebelum Islam menggunakan tahun Qamariyah sejak zaman dulu. Namun, mereka hanya merekodkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada masa itu. Umpamanya, tarikh pembinaan Kaabah pada zaman Nabi Ibrahim dan Isma'il pada 1855 SM. Manakala tahun Gajah iaitu tahun yang paling masyhur bersamaan dengan tahun 571 M.

Selepas wujudnya negara Islam, tahun Qamariyah masih diteruskan tetapi tidak ditetapkan tahun-tahunnya. Oleh itu, kaum muslimin memberi nama tahun-tahun itu dengan nama peristiwa besar yang terjadi. Antaranya ialah tahun pertama (Tahun al-Izn) iaitu izin hijrah dari Makkah ke Madinah, tahun kedua (Tahun al-Amr) iaitu tahun diperintahkan memerangi kaum musyrikin. Akhirnya tahun kesepuluh yang dikenali sebagai tahun al-Wada' iaitu tahun haji al-Wada' atau haji terakhir yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.
- BERITA MINGGU

Khamis, 19 Januari 2012

Hukum Akad Nikah Menerusi Sidang Video (Video Conference)


e-Fatwa
Portal Rasmi Fatwa Malaysia



Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Akad Nikah Menerusi Sidang Video (Video Conference). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa para fuqaha’ bersepakat mensyaratkan bahawa bagi memastikan sesuatu akad nikah itu sah, ia hendaklah dilakukan dalam satu majlis (ittihad al-majlis) supaya semuanya terlibat secara langsung semasa pelaksanaan ijab dan qabul.
 
Sehubungan itu, memandangkan akad nikah menerusi sidang video telah memenuhi syarat Ittihad al-Majlis kerana ia dikelaskan sebagai Ittihad al-Majazi, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa adalah harus melakukan akad nikah menerusi sidang video dengan syarat-syarat seperti yang berikut :
 
  1. Hendaklah majlis ini berlangsung ditahap al-yakin bukan al-zhan.
  2. Tidak ada unsur penipuan (al-gharar) dan keraguan.
  3. Cukup semua rukun dan syarat-syarat sah nikah menurut hukum syarak.
  4. Digalakkan wali sendiri yang mengakad-nikahkan pasangan.
  5. Terdapat halangan untuk melakukan akad nikah di tempat yang ditentukan kerana berjauhan seperti berada di luar negara dan sukar bagi kedua-dua belah pihak berada dalam satu majlis yang sama disebabkan sakit, banjir dan sebagainya.
  6. Tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang (seperti Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri) yang sedang berkuatkuasa.
     

PERMOHONAN ELAUN MURID BERKEPERLUAN KHAS BAGI MURID DALAM KATEGORI ORANG KURANG UPAYA(OKU) TAHUN 2012





Permohonan boleh diakses oleh sekolah melalui laman sesawang http://apps.moe.gov.my/sisoku/  mulai 18 Januari 2012.
Tempoh permohonan dibuka:    18 – 31 Januari 2012.

Sebarang pertanyaan berhubung dengan permohonan ini bolehlah diajukan kepada nombor talian
seperti berikut:
 
Bahagian Pendidikan Khas:  03 - 8884 9152 /03-8884 9186 
Bahagian Kewangan            :  03 -  8884 7081/ 03-8884 7506 / 03-8884 7616
 

Peluang kedua pelajar sekolah integriti penjara Sg Petani






Ungkapan 'peluang kedua' memberi makna yang sangat signifikan kepada para penghuni di sebalik tembok besi yang memisahkan kehidupan mereka dengan dunia luar.
    
Di sebalik tembok besi itu masih wujud harapan yang menggunung tinggi dalam diri pelajar-pelajar Sekolah Integriti Penjara Sungai Petani untuk menjadi individu yang lebih berakhlak serta berdaya saing menerusi peluang kedua yang diberi iaitu menuntut ilmu.
    
Seorang pelajar yang hanya ingin dikenali dengan nama samaran Jimmy, 20, berkata dia berasa gembira dapat menyambung pelajaran kembali menerusi peluang kedua yang diberikan kerajaan dengan pengisian yang terdapat dalam sekolah integriti itu.
    
"Rasa seronok dapat belajar lagi sekali dengan ada peluang kedua ini sebab sebelum masuk sini saya belajar sampai darjah enam sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sekolah integriti itu hari ini.
    
Jimmy yang telah menjalani hukuman sejak lima tahun lalu berkata guru-guru di sekolah integriti berkenaan memberikan komitmen sepenuhnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
    
"Cikgu ajar sungguh-sungguh yang mana kalau saya tidak faham cikgu akan tunjuk satu persatu," kata Jimmy yang berada dalam kategori Tahanan Limpah Sultan (TLS) kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
    
Jimmy yang kini berada di kelas Pra Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata menerusi ilmu yang dia peroleh daripada sekolah integriti itu ia dapat memberikan masa depan yang cerah kepadanya untuk menghadapi dunia luar setelah dibebaskan kelak.
    
"Harapan bila dapat keluar nanti saya mahu cari duit untuk jaga bapa dan mak saya," kata Jimmy yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu.
    
Dia yang meminati subjek Matematik berkata dia mempunyai sasaran untuk mendapat keputusan yang baik dalam subjek Matematik, Sains, Sejarah dan Geografi pada peperiksaan SPM nanti.
    
Sementara itu seorang lagi pelajar, Shamsul, 20, pula berkata dia lebih memahami erti kehidupan sebenar sepanjang mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu.
    
"Saya tahu erti menghargai masa, menghargai ibu bapa dan lebih berdisiplin dan kini merasakan ilmu itu penting yang wajib dituntut untuk mengetahui benda-benda yang tidak tahu," katanya yang kini berada dalam kelas SPM.
    
Shamsul yang ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan sejak dua tahun lalu berkata dia akan berusaha memperbaiki kelemahan diri untuk menjadi individu yang berjaya bagi membuktikan kepada masyarakat luar bahawa orang sepertinya turut mempunyai kemampuan memperoleh kehidupan yang cemerlang.
    
"Saya mahu jadi insan yang berjaya bangun daripada kekalahan dan akan buktikan kepada orang luar," katanya yang meletakkan sasaran mendapat keputusan cemerlang 5A dalam peperiksaan SPM.
    
Pengarah Penjara Sungai Petani Mohd Muslih Mahmud berkata pencapaian yang paling besar dicatatkan oleh sekolah integriti itu adalah pada tahun 2010 yang mana terdapat seorang pelajar SPM di situ mendapat keputusan cemerlang 7A dan 1B.
    
"Sekarang dia melanjutkan pelajaran di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)," katanya.
    
Mohd Muslih berkata pendekatan yang digunakan oleh sekolah integriti selari dengan objektif Jabatan Penjara iaitu pemulihan selain hukuman yang dapat mengubah akhlak seseorang banduan ke arah lebih baik lagi kerana ilmu itu akan merubah mereka.
    
Katanya beliau tidak menafikan bahawa setiap pelajar di sekolah itu akan mempunyai jati diri dan disiplin yang tinggi di samping akan berasa lebih dihargai.
    
"Ya sudah pasti suasana persekitaran di sekolah integriti ini kita cuba elakkan panggil mereka banduan dengan panggil pelajar dan hubungan akan jadi lebih rapat sesama kita dan tidak tertekan," katanya yang menambah semua guru yang mengajar di sekolah itu adalah guru terlatih lepasan ijazah.
    
Sekolah Integriti Penjara Sungai Petani diwujudkan pada Jun 2008 dan kini mempunyai pelajar seramai 64 orang, yang kesemuanya lelaki berumur bawah 21 tahun.
    
Sekolah Integriti itu juga mempunyai kelas 3M untuk banduan yang tidak tahu membaca, menulis dan mengira, diikuti kelas Pra Penilaian Menengah Rendah (PMR), PMR, Pra SPM dan SPM serta kelas kemahiran untuk perabot, kayu dan jahitan.
    
Sekolah itu mempunyai 11 orang tenaga pengajar dan sistem operasi sekolah sama seperti sekolah arus perdana di luar.

- Bernama

Semakan Tawaran Program Pensiswazahan Guru Ambilan 2012





Semakan Tawaran Permohonan Pensiswazahan Guru (PPG) di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) Ambilan 2012 boleh disemak melalui url http://apps.moe.gov.my/abpg/tawar_ppg mulai 16 Januari 2012


Diterbitkan Oleh: Bahagian Pendidikan Guru

Semakan Keputusan Tawaran KPLI-SR jQAF Ambilan Jan 2012





Semakan Keputusan Tawaran KPLI-SR jQAF Ambilan Jan 2012 boleh dibuat mulai 17 Januari 2012 di 


Laman Web Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia atau melalui perkhidmatan mySMS dengan menaip:

MOE JQAF [NOKP] dan hantar ke 15888, contoh MOE JQAF 801213160065 dan hantar ke15888 

Sekian, terima kasih. 

Diterbitkan Oleh: Bahagian Pengurusan Maklumat

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...