Jumaat, 21 Oktober 2011

Singkirkan kebosanan diri dari hidup anda


Santapan Rohani
ADAP(Portal Pendidikan Utusan)


Orang yang hidup mengekang diri dengan satu gaya hidup sudah tentu akan dilanda kebosanan. Ini adalah kerana, pada dasarnya jiwa manusia memang memiliki kecendrungan mudah merasa bosan . Tabiat dasar setiap manusia adalah tidak suka berada di dalam satu keadaan yang sama. Oleh kerana itu Allah memutar zaman dan tempat bagi manusia, memberikan berbagai bentuk makanan, minuman dan mencipta makhluk yang beraneka ragam. Ada malam dan siang, ada dataran tinggi dan dataran rendah ada putih ada hitam, ada panas dan dingin, dan ada manis dan masam. Keberagaman dan perbezaan ini seringkali disebut Allah dalam beberapa firmannya. di antaranya Allah menyebut bahawa :
  • .............dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya..(!n-Nahl : 69)
  • ..........dari pohon korma yang bercabang dan tidak bercabang...(Ar-Ra'd : 4 )
  • yang serupa (bentuk dan warnanya) tetidak sama (rasanya)....Al-An'am : 141)
  • dan di antara gunung itu ada garis-garis (seperti jalan yang bewarna) putih dan merah yang beraneka macam warnanya ... (fathir : 27 )
  • dan masa-masa, (kejayaan dan kehancuran) itu, kami gilirkan di antara manusia...(Ali-'Imran : 140 )
  • Malahan Bani Israil pernah bosan dengan makanan mereka yang paling baik dan mengeluh kepada Allah :.... Kami tidak boleh sabar (tahan) dengan satu makanan sahaja ... (Al-baqarah : 61)
Al-Makmun satu ketika pernah dihinggapi rasa bosan di mana kadang-kadang beliau membaca sambil duduk sesekali dengan berdiri, dan pada saat yang lain sambil berjalan. Dan kerana itu pula ia pernah berkata : "Jiwa manusia itu dipenuhi rasa kebosanan "


Allah berfirman : ....(Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring ...(Ali-"Imran : 191 )


Sesiapa yang bersedia merenung sejenak dan memikirkan sesuatu yang berhubung dengan ibadat. Tentu ia akan menemui berbagai jenis dan ragam dalam bentuk dan makna yang terkandung di dalamnya. Dalam ibadat terdapat amalan qalbiyyah (yang berkaitan dengan hati) qaulliyyah (yang berkaitan dengan perkataan) amaliyyah (yang berkaitan dengan tindakkan) maliyyah (yang berkaitan dengan harta) , solat, zakat, puasa, haji, jihad. bahkan di dalam solat ada posisi berdiri, rukuk, sujud dan duduk.


Oleh kerana itu sesiapa yang menginginkan kepuasannya semangat yang tinggi dan produktiviti maka ia hendaklah mempelbagaikan aktiviti di dalam pekerjaannya, membaca buku yang berbagai jenis ( dengan berbagai teknik dan kemahiran membaca) . Misalnya ketika membaca ia mempelbagaikan bacaannya di antaranya Al-Quraan, Tafsir, Sirrah, Hadith, Fiqh, Sejarah, Sastera dan Ilmu Pengetahuan dan sebagainya. Demikian pula di dalam menjalankan kegiatan. Anda perlu menentukan masa untuk beribadah, mencari hiburan mengunjungi sahabat handai, menerima tetamu, berolahraga berekreasi. Waktu belajar, dengan itu nescaya jiwanya akan selalu merasa segar dan ceria, kerana ia melakukan pelbagai aktiviti dan merasakan keindahan dan sesuatu yang baru.

(Dipetik dari kitab LA TAHZAN karangan Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni ms 85 : Sebuah kitab yang terlaris di Timur Tengah dan Indonesia)

Menghindari jenayah di sekolah


Portal Pendidikan Utusan


SANTAPAN MINDA Oleh Dr. Ismail Zain
JIKA disebut perkataan jenayah ia amat menakutkan apatah lagi jika gejala ini berlaku dalam kalangan warga sekolah. 
Sebenarnya gejala  jenayah ini bermula dengan segelintir murid yang melakukan tindakan hanya bertujuan sekadar dijadikan hiburan sahaja. Bagaimanapun kadang kala ia boleh menimbulkan ketegangan di kedua-dua belah pihak yang berakhir dengan tragedi.
 Gejala ini boleh dibendung oleh murid-murid sejak awal lagi dengan mengambil beberapa langkah seperti yang berikut.

  • Bersopan santun dalam perbualan: Lidah itu lebih tajam daripada pedang. Begitulah perbandingan yang boleh dibuat tentang kata-kata yang dikeluarkan oleh seseorang ketika berlakunya perbualan. Oleh yang demikian murid-murid harus sentiasa bersopan santun dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain ketika berkomunikasi.
Bersopan santun ketika berbual bermaksud percakapan  yang menyeronokkan kedua-dua belah pihak. Sesuatu yang tidak menyakitkan hati orang lain, tidak menyinggung perasaan, tidak menyentuh soal peribadi dan keluarga serta tidak menyentuh kelemahan seseorang dengan tujuan menghina.  
Emosi juga harus dikawal kerana terdapat segelintir murid yang nipis telinganya iaitu cepat berang atau naik angin jika sesuatu tindakan atau perbualan itu menyentuh perasaan mereka.
  • Berkawan secara menyeluruh tanpa mempunyai kumpulan tertentu Memang tidak dapat dinafikan bahawa berkawan secara berkumpulan adalah baik terutamanya ketika kita melakukan aktiviti pembelajaran seperti berdiskusi, mengadakan bengkel dan mengulang kaji pelajaran. 
    Walau bagaimanpun terdapat sedikit kelemahan jika amalan ini diteruskan dalam kegiatan sosial yang lain atau pergaulan harian.
Pergaulan yang tetap dalam satu-satu kumpulan akan mengakrabkan hubungan kekeluargaan dalam kumpulan tersebut tetapi meninggalkan jurang yang besar keakraban antara kumpulan. 
Dengan itu akan lahirkan bibit-bibit ketidakpuasan antara kumpulan disebabkan beberapa perkara yang remeh-temeh. 
Sebagai contoh jika seorang murid itu ditegur kerana melanggar peraturan sekolah, maka rakan-rakan kumpulannya agar bertindak untuk campur tangan.  Maka berlakulah pula pertelingkahan intrakumpulan yang akan berakhir dengan pergaduhan.
  • Laporan kepada guru Setiap perkara yang berlaku yang boleh menimbulkan kepincangan harus dilaporkan dengan segera kepada guru.  Murid tidak seharusnya berasa takut atau mengambil tindakan sendiri untuk menyelesaikan masalah tersebut. 
    Segala laporan adalah sulit dan murid tidak perlu bimbang tentang keselamatan diri kerana guru serta pihak sekolah akan sentiasa memantau dan melindungi mereka.

Berama-samalah kita menjaga dan mengawal diri daripada telibat dengan gejala jenayah kerana ianya akan merugikan semua pihak serta menjejas proses pembelajaran.

Sesungguhnya  persekitaran belajar yang kondusif  mampu menimbulkan minat, menjana pemikiran yang kreatif dan inovatif serta menyemai semangat muhibah ke arah mengapai kejayaan yang cemerlang.

Trauma


Portal Pendidikan Utusan


MENURUT Pensyarah Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Universiti Malaya, Profesor Dr Suradi Salim, trauma yang berlaku berbeza mengikut setiap orang serta bergantung kepada perasaan, persepsi dan pemikiran terhadap sesuatu kejadian yang menimpa diri mereka.

“Jika kejadian yang berlaku boleh membuatkan kehidupan mereka hancur dan tidak boleh mengatasinya, maka bantuan sepatutnya diberikan bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk seperti masalah psikologi.
“Mereka memerlukan bantuan intervensi psikologi daripada mereka yang pernah mendapat latihan khusus bagi menghadapi masalah trauma yang dihadapi mangsa kejadian.

“Bagi mangsa yang masih boleh menghadapinya, sokongan harus diberi oleh ahli keluarga agar mereka tidak berputus asa dalam kehidupan. Pelbagai cara boleh dilakukan antaranya dengan mendengar luahan hatinya, melihat perasaan terhadap kejadian yang menimpa dan memberikan kata-kata seperti “Awak sudah lakukan terbaik dalam menghadapi situasi sekarang”.

“Tetapi sebaiknya dapatkan bantuan daripada pakar di hospital, kaunselor atau ahli psikologi yang memang dilatih dalam intervensi psikologi agar perasaan takut mereka boleh diubah.

“Situasi sebegini seharusnya diatasi oleh mereka yang ada latihan dan kalau dibiarkan, kehidupannya akan terhalang dan takut untuk menghadapi atau melihat tempat kejadian.

“Bantuan segera daripada pakar dapat mengelakkan mereka daripada menghadapi masalah tekanan pasca trauma untuk jangka masa panjang yang akan mewujudkan masalah sakit mental seperti skizofrenia,” katanya.

Trauma biasanya berpunca daripada apa saja kejadian mengejutkan dan tidak disangka yang menyebabkan mereka terperanjat.

“Kejadian yang membuatkan mereka tidak berupaya menghadapinya disebabkan tiada pengalaman lalu dan belum pernah berlaku yang mereka sendiri tidak tahu bagaimana untuk mengatasinya.

“Kini, kehidupan kita semakin kompleks dan banyak kejadian berlaku seperti ragut, kemalangan dan jenayah yang kadangkala secara tidak langsung dapat menimbulkan perasaan trauma di kalangan sesiapa saja,” katanya.

Apa yang penting dalam menghadapi mangsa trauma adalah bantuan segera yang harus diberikan kepada mereka selepas kejadian sama ada dalam setengah jam atau lebih lama daripada tempoh itu mengikut kesan dan tahap serius mangsa.

“Mungkin pakar akan mengambil masa selama setengah jam sehari bagi mendengar segala luahan mangsa dan kadangkala kekerapan mengadakan sesi rawatan sehingga lima hingga enam minggu mengikut tahap trauma yang dihadapi. Ada juga yang boleh pulih hanya dalam masa sehari.

“Sesi rawatan akan diteruskan bagi membuat penilaian untuk melihat seberapa serius trauma mereka dan mengenal pasti kemahiran mereka secara rasional supaya dapat dibantu dengan segera,” jelasnya.

Bagi ibu bapa atau orang terdekat mangsa, bantuan daripada segi sokongan kata-kata harus diberikan dalam menyedarkan dan meyakinkan mereka untuk mewujudkan perasaan bahawa masih ada orang sekeliling yang sayang serta memberi bantuan.

“Jangan beri nasihat seperti awak perlu positif untuk hadapi semua ini sebaliknya cadangkan cara untuk menghadapi masalah misalnya suruh mereka amalkan ayat al-Quran dan jika masih berpanjangan, yakinkan mereka untuk berjumpa pakar,” nasihatnya.

Pendekatan yang biasa dilakukan oleh pakar dalam menangani trauma:

1. Mendengar luahan perasaan mangsa dan bantu mereka untuk memberi persepsi kejadian. Tujuannya untuk menganggar sejauh mana perasaan atau masalah dihadapi sama ada ia akan menyebabkan trauma atau masalah lebih serius.

2. Setelah anggaran dibuat, tindakan seterusnya akan diambil dan jika serius, mangsa akan dihantar ke hospital agar dapat menghalang kesan yang lebih buruk berlaku.

3. Jika trauma tidak serius, bincangkan strategi atau cara untuk dilakukan mangsa bagi menghilangkan rasa takut dan terkejut.

4. Menetapkan tempoh untuk mengadakan sesi rawatan sama ada setengah jam setiap hari atau dapat dipulihkan dalam masa sehari saja. Pelbagai cara akan dilakukan untuk menenangkan mereka dan mengurangkan rasa bingung.

5. Walaupun mereka sudah pulih, kaunseling masih lagi diberi jika diperlukan

Gangguan emosi


Portal Pendidikan Utusan



SANTAPAN MINDA Oleh DR ISMAIL ZAIN
EMOSI mempunyai pengaruh yang besar terhadap pemikiran atau tindakan seseorang individu.  Jika emosinya terganggu ia boleh mengakibatkan seseorang itu mengalami kemurungan serta penurunan prestasi diri.
Bagi golongan murid-murid jika gejala ini berlaku pada diri mereka terutamanya pada saat-saat menghadapi peperiksaan, maka sudah tentu sedikit sebanyak akan menggugat proses mengulang kaji pelajaran.
Gangguan emosi boleh berlaku apabila seseorang itu mengalami perasaan sedih, marah, kecewa, bosan dan sebagainya ditambah pula dengan kurangnya daya tahan diri serta mempunyai aras harga diri yang rendah.  
Perasaan seumpama ini mungkin menyentuh jiwa mereka disebabkan berlakunya sesuatu peristiwa, terdengarnya sesuatu berita, mengalami sesuatu  keperitan hidup atau mempunyai persepsi yang negatif terhadap apa yang berlaku pada diri mereka selama ini berbanding dengan rakan-rakan yang lain.
Sebagai contoh, kritikan yang berbentuk cemuhan daripada rakan, guru atau ibu bapa yang berkaitan dengan tindakan atau prestasi diri boleh menyebabkan mereka berasa terhina dan akhirnya tidak mampunyai semangat untuk belajar.
Peristiwa sedih yang berlaku pada keluarga seperti kematian, penceraian, pertelingkahan serta tidak kesefahaman antara anggota keluarga boleh memberi tekanan kepada murid-murid. Pengalaman yang lampau seperti kegagalan dalam ujian juga mempunyai impak dalam kehidupan mereka.
Walau bagaimanapun gejala seumpama ini boleh dielakkan atau sekurang-kurangnya dikurangkan jika kita mengambil langkah-langkah yang lebih positif.
Anda tidak seharusnya mengenang kembali peristiwa yang telah berlalu. Anggapkanlah itu sebagai satu pengalaman yang mampu meningkatkan lagi ketahanan dan keinsafan diri. 
Sesuatu yang baik itu bolehlah dijadikan teladan tetapi sesuatu yang buruk itu janganlah dipendamkan dalam hati tetapi harus dielakkan daripada berulang lagi. Apa yang perlu dibuat ialah melihat masa hadapan yang cerah yang bakal ditempuhi oleh anda. 
Segala kejayaan yang akan ditempuhi berada di dalam genggaman anda. Hanya sedikit usaha beserta tumpuan yang sepenuhnya, anda mampu membuat perubahan dan meraih kejayaan.
Anggapkan segala cemuhan yang dialami itu sebagai satu bentuk luahan hati mereka yang sayangkan diri anda serta inginkan melihat kejayaan anda.  Ia juga merupakan cabaran yang seakan-akan memberi  isyarat kepada  kita untuk membuat perubahan diri. 
Dalam usaha untuk mengekalkan tumpuan anda terhadap pelajaran, pastikan anda mempunyai jadual belajar yang komprehensif. Pastikan setiap ruang dan peluang diisi penuh dengan aktiviti-aktiviti yang menjurus pada persiapan untuk mengulang kaji pelajaran.  
Jangan dibiarkan ruang-ruang yang kosong memenuhi diri anda kerana ruang yang kosong ini boleh membawa fikiran anda melayang jauh ke alam fantasi yang akhirnya mampu mengganggu emosi anda.
Segala kejayaan yang bakal anda alami pada masa hadapan sesungguhnya bermula dengan langkah pertama yang anda ambil untuk membuat perubahan diri pada masa dan detik ini.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...