Sabtu, 29 Ogos 2009

Kursus Kemahiran Generik

Putrajaya, 28 Ogos 2009- Satu siri ceramah telah diadakan di Bilik Mesyuarat Aras 6, E 13. Pada kali ini, pihak LPS menampilkan penceramah dari Unit LPS sendiri, Encik Ishak bin Ibrahim. Tajuk yang disampaikan oleh penceramah kita ialah Kemahiran Generik. Sambutan yang diterima amat menggalakkan. Hampir 20 peserta ceramah yang terdiri daripada staf sokongan memenuhi ruang bilik mesyuarat. Sejak pukul 2.45 petang, para peserta membuat pendaftaran. Rata-rata peserta begitu menunjukkan minat untuk mendalami dan ingin mengetahui tentang kemahiran generik. Walaupun pada bulan puasa, peserta kursus tetap komited mendengar ceramah yang disampaikan oleh Encik Ishak. Ini membuktikan keluarga BPG begitu mementingkan ilmu pengetahuan.
Sekian, terima kasih. SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN KALI KE 52.
Md Rasul bin Haron
Penolong Pengarah
Unit Latihan dan Pembangunan Staf
Bahagian Pendidikan Guru
Kementerian Pelajaran Malaysia

Demam Merdeka 1 Malaysia di LPS



Putrajaya, 28 Ogos 2009- Unit LPS turut terkena virus yang menyebabkan demam Merdeka. Encik Zainun bin Johari, KPP Unit LPS melampiaskan semangat patriotisme melalui Jalur Gemilang yang dihias megah di dalam pejabat LPS. Encik Ishak bin Ibrahim yang mempunyai semangat 1 Malaysia bertindak memasang Jalur Gemilang sambil diberi kata-kata rangsangan oleh Encik Zainun, Karim, Faezah, Reen dan Nazir.
Semangat patriotisme yang tertanam di dalam hati setiap warga LPS memang tidak dapat dinafikan lagi. Suasana pejabat yang penuh dengan semangat 1 Malaysia membangkitkan roh kami di LPS untuk menghargai pejuang-pejuang terdahulu yang bersusah payah untuk mendapatkan kemerdekaan. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Sekian, salam 1 Malaysia.
Md Rasul bin Haron
Penolong Pengarah
Unit Latihan dan Pembangunan Staf
Bahagian Pendidikan Guru
Kementerian Pelajaran Malaysia

Majlis Perhimpunan Bulanan BPG dan Mesyuarat Agung BKS Sesi 2009-2010



Putrajaya, 27 Ogos 2009- Majlis Perhimpunan Bulanan Bahagian Pendidikan Guru bagi bulan Jun, Julai dan Ogos dan Mesyuarat Agung Badan Kebajikan dan Sosial Sesi 2009-2010 telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato'Misrah bin Hj.Ibrahim, Pengarah BPG. Perhimpunan pada kali ini berlangsung di Dewan Serbaguna, Aras 9, E12 dan dikelolakan oleh Unit HEP, KDP, PBK dan KP.




Sejak pukul 7.30 pagi, warga BPG mula memenuhi ruang di dalam dewan. Pada pukul 7.45 pagi, Yang Berbahagia Timbalan-Timbalan Pengarah BPG sudah berada di luar pintu utama dewan untuk menyambut ketibaan Dato'Misrah. Kelihatan juga Pengarah-Pengarah IPGM yang sejak dari awal lagi sudah mengambil tempat duduk di dalam dewan. Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Perkhidmatan Awam. Kemudian diteruskan dengan ikrar perkhidmatan awam dan bacaan doa. Selepas itu, ucapan alu-aluan oleh wakil KPP dan diikuti ucaptama oleh Dato'Misrah. Banyak pesanan yang diberi oleh Dato' Misrah kepada keluarga BPG. Antaranya, perbelanjaan yang berhemah dan mengamalkan amalan berjimat-cermat dalam pentadbiran dan juga di dalam kehidupan seharian.

Suasana majlis dihiaskan dengan acara-acara seperti persembahan atau laporan aktiviti bulanan bagi setiap unit, pengenalan warga baru BPG, penyampaian hadiah ulang tahun kelahiran warga BPG yang dilahirkan pada bulan Mei, Jun, Julai dan Ogos dan penyampaian hadiah pertukaran warga BPG. Suasana di dalam dewan yang penuh keceriaan bertukar menjadi suram dan amat menyentuh hati apabila Memori Bersama Allahyarhamah Pn.Roselina binti Hj.Yusuf(Unit Kokurikulum) dipancarkan di layar. Keluarga BPG kehilangan seorang pegawai yang begitu komited dengan tugas. Banyak menguntum senyum. Kurang bercakap. Kuat bekerja dan suka akan cabaran baru. Itulah kata-kata yang diucapkan oleh Dato'Misrah bin Hj.Ibrahim di dalam ucapan beliau. Bagi yang mengenali Allahyarhamah, amat sependapat dengan Dato'. Begitu juga dengan penulis yang mengenali Allahyarhamah sejak sebelum menjadi keluarga BPG. Semoga Roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang bertakwa dan beramal soleh dan begitu dirindui Syurga.
Setelah selesai perhimpunan, Mesyuarat Agung BKS sesi 2009-2010 telah berjaya berlangsung dengan keadaan yang harmoni dan tidak banyak berlaku pertandingan. Ini membuktikan keluarga BPG sentiasa bersatu hati dalam memilih mereka yang layak menerajui Badan Kebajikan dan Sosial BPG. Pada sesi kali ini, Encik Amran bin Arifin, KPP Unit Khidmat Pengurusan telah dilantik untuk menjadi Pengerusi BKS. Tahniah kepada Pengerusi dan AJK yang terpilih.
Sekian, terima kasih.
Md Rasul bin Haron
Penolong Pengarah
Unit Latihan dan Pembangunan Staf
Bahagian Pendidikan Guru
Kementerian Pelajaran Malaysia


Executive Talk Bil.7/2009



Putrajaya, 24 Ogos 2009- Siri Executive Talk Bil.7/2009 pada kali ini menampilkan personalia Yang Berbahagia Datuk Haji Kamaruzaman bin Haji Mohd Noor, Timbalan Ketua Setiausaha(Pengurusan), Kementerian Pelajaran Malaysia. Ceramah beliau yang bertajuk Leadership in Action; Case Study of MOCAT, bermula pada pukul 3.00 petang dan berakhir pada pukul 5.00 petang.
Pukul 2.45 petang, penulis bersama Encik Ishak bin Ibrahim, PP Unit LPS dan Encik Zainun bin Johari, KPP Unit LPS sudah mengambil tempat duduk di dalam Dewan Serbaguna , Aras 9, Blok E 12. Banyak ilmu serta pengalaman yang dicurahkan oleh Datuk mengenai kepimpinan dan kepemimpinan di dalam sesuatu organisasi.


Gaya persembahan dan penyampaian Datuk yang kelihatan santai membuatkan audien begitu selesa dan memberi fokus kepada apa yang dicakap oleh Datuk.


Sekian, wassalam.

Md Rasul bin Haron (LPS)

Sabtu, 22 Ogos 2009

Selamat Berpuasa

Assalamualaikum w.b.t,

Syukur Alhamdulillah pada tahun ini kita diberi kesempatan oleh Allah S.W.T untuk mengharungi satu lagi Ramadhan. Bulan yang kita nanti-nantikan yang penuh dengan keberkatan. Aktiviti yang dirancang tetap berjalan seperti biasa dan Ramadhan bukan penghalang, malah memberi kita kekuatan untuk meneruskan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah s.w.t. Kami di Unit Latihan dan Pembangunan Staf, BPG terus melaksanakan program-program meningkatkan profesionalisme perguruan.
Pada 24 Ogos 2009, Unit LPS menghantar pegawai-pegawai dan pensyarah IPGM berdekatan ke Majlis Executive Talk yang dianjurkan oleh Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran Malaysia. Pada 27 Ogos 2009 pula Majlis Perhimpunan Bulanan BPG bagi bulan Jun, Julai dan Ogos dan Mesyuarat Agung Badan Kebajikan dan Sosial Sesi 2009-2010 turut akan dihadiri pegawai-pegawai dan kakitangan LPS. Perjumpaan tersebut menjadi medium untuk memberi ruang warga BPG mengenali dengan lebih lebih dekat di antara satu sama lain. Pada 28 Ogos pula, pukul 2.45 petang hingga 4.30 petang Encik Ishak bin Ibrahim, pegawai dari Unit LPS akan memberi ceramah yang bertajuk Kemahiran Generik untuk staf sokongan BPG di Bilik Mesyuarat Aras 6, BPG.
Sempena bulan Ramadhan, Unit Khidmat Pengurusan menganjurkan Program Ihya Ramadhan sepanjang bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini. Unit Latihan dan Pembangunan Staf sentiasa berlapang dada memberi kerjasama dan bantuan kepakaran untuk menjayakan program-program yang dianjurkan oleh Unit-Unit lain di Bahagian Pendidikan Guru.
Dalam keghairahan mengejar kemajuan, nilai-nilai murni tidak harus dilupakan. Masyarakat 1 Malaysia yang dicita-citakan oleh Perdana Menteri kita adalah masyarakat yang seimbang antara kemajuan rohani dan jasmani. Ini kerana ketamadunan sesuatu bangsa tidak hanya diukur dari segi pembangunan material bahkan melibatkan pembangunan spiritual.
Kami di Unit LPS yang diketuai Encik Zainun bin Johari, Ketua Penolong Pengarah Unit LPS mengucapkan Selamat Berpuasa di Bulan Ramadhan kepada semua umat Islam tidak kira walau di mana berada.
Sekian, wassalam.
Md Rasul bin Haron
Penolong Pengarah
Unit Latihan dan Pembangunan Staf
Bahagian Pendidikan Guru
Kementerian Pelajaran Malaysia

Khamis, 20 Ogos 2009

JAWHAR INTELECTUAL DISCOURSE BIL.3/2009


Putarajaya, 18 Ogos 2009-Penganjuran JAWHAR Intellectual Discourse(JID) Bil.3/2009 di Auditorium Parcel E pada 18 Ogos 2009 adalah sebahagian daripada program pemantapan kefahaman masyarakat terhadap bidang-bidang teras yang telah dipertanggungjawabkan kepada JAWHAR. Menyedari kepentingan seminar tersebut kepada pembangunan insan, Unit Latihan dan Pembangunan Staf mengambil inisiatif dengan menghantar dua orang pegawai dan seorang kakitangan iaitu penulis sendiri dan Encik Ishak bin Ibrahim serta Encik Mohd Safarul bin Mohd Radi.


JID pada kali ini yang bertemakan "Kesempurnaan Ibadah Haji: Tinjauan dari Perspektif Syariah, Pengurusan dan Sains Teknologi telah menemukan dua penceramah yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut iaitu Yang Berbahagia Prof.Kamarulazizi bin Ibrahim, Kluster Penyelidikan Haji (CETREE) USM dan Yang Berbahagia Prof.Dr.Hj.Mohd Kamil bin Haji Ibrahim, Pengarah UiTM Kampus Segamat.

Sekian,
Md Rasul bin Haron
Penolong Pengarah
Unit Latihan dan Pembangunan Staf
Bahagian Pendidikan Guru
Kementerian Pelajaran Malaysia




Sabtu, 15 Ogos 2009

Seminar Gangguan Seksual Di Pejabat


Putarajaya, 14 Ogos 2009- Unit Latihan dan Pembangunan Staf telah menganjurkan satu seminar iaitu "Seminar Gangguan Seksual di Pejabat". Seminar yang bermula dari pukul 3.00 petang hingga 4.30 petang mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada staf sokongan di Bahagian Pendidikan Guru. Unit LPS menjemput Encik Hasbullah bin Haji Abu Kassim dari Unit Kaunseling dan Keutuhan BPG untuk membentangkan kertas kerja seminar. Sejak pukul 2.50 petang, para peserta seminar mula memenuhi ruang Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6. Seramai 35 peserta yang terdiri daripada staf sokongan BPG begitu komited menyertai seminar tersebut.


Kerjasama erat di antara pegawai dan kakitangan Unit LPS serta Unit Khidmat Pengurusan dan Unit Kaunseling dan Keutuhan telah berjaya menjadikan seminar tersebut mencapai objektif yang diharapkan. Kerjasama inter-unit ini sentiasa diberi penekanan oleh Encik Zainun bin Johari kepada pegawai-pegawai dan kakitangan unit LPS. Encik Ishak bin Ibrahim, Penolong Pengarah Unit LPS yang bertindak sebagai moderator seminar turut memberi peringatan kepada peserta seminar tentang kepentingan mendalami pelbagai disiplin ilmu bukan hanya ilmu pengetahuan gangguan seksual semata-mata tetapi harus merebut peluang mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan oleh Unit LPS. Unit LPS sentiasa merancang kursus-kursus dan seminar yang dapat memberi manfaat kepada semua pegawai dan kakitangan Bahagian Pendidikan Guru.


Sekian.


Md Rasul bin Haron
Penolong Pengarah
Unit Latihan dan Pembangunan Staf
Bahagian Pendidikan Guru

Seminar 1 Malaysia



Putrajaya,11-12 Ogos 2009- Penulis menerima jemputan untuk ke Seminar 1 Malaysia anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di Dewan Ballroom, Putrajaya Marriot Hotel. Encik Zainun bin Johari, Ketua Penolong Pengarah Unit LPS sentiasa mengingatkan penulis untuk menghadiri seminar tersebut. Bagi beliau seminar tersebut sangat penting kerana usaha kerajaan memperkenalkan konsep 1Malaysia iaitu dengan satu tujuan iaitu membina perpaduan yang lebih kukuh di antara semua kaum terutama dalam keadaan semasa.

Usaha kerajaan memperkenalkan konsep 1Malaysia sebagai cara mengukuhkan perpaduan berbilang kaum mampu menghapuskan sentimen politik perkauman yang semakin menebal di negara ini. Datuk Ibrahim Ali, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, ini kerana keadaan politik semasa yang sedikit sebanyak telah menjejaskan hubungan antara kaum, mampu memberi kesan negatif kepada generasi akan datang jika dibaiarkan berterusan. Asas kepada perpaduan yang dibentuk melalui Perlembagaan Negara juga sudah mula diganggu-gugat oleh pihak tertentu ini sehingga habis berkecamuk. Ia menyebabkan hati orang Melayu terguris, orang Cina rasa tidak puas hati dan orang India terasa dipinggirkan akibat tindakan sesetengah orang politik yang telah mencalarkan asas perpaduan itu. Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 1Malaysia: Perspektif Generasi Merdeka pada Seminar Konsep 1Malaysia yang dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr.Rais Yatim.
Turut membentangkan kertas kerja pada sesi itu ialah bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Michael Chen dan isteri negarawan, mendiang Tun V.T Sambanthan iaitu Toh Puan Umasundari Sambanthan. Tan Sri Michael memuji usaha kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berusaha sedaya-upaya untuk mengelakkan perpecahan bangsa Malaysia lalu berikhtiar mewujudkan konsep yang mampu menyatukan rakyat. Dalam pada itu, Toh Puan Umasundari ketika mengimbau kembali sejarah Tanah Melayu semasa zaman penjajah dan bagaimana mendiang suaminya bersama-sama pemimpin dari kaum Melayu dan Cina berusaha mencapai kemerdekaan, menekankan bahawa rakyat negara ini sangat bernasib baik berbanding pada zamannya.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, masyarakat dalam situasi negara pada hari ini juga perlu mengahayati dengan lebih mendalam Perlembagaan Negara dan Rukun Negara yang bertujuan mewujudkan kesejahteraan semua kaum di Malaysia. Langkah lain yang perlu diambil termasuk kerajaan mewujudkan bentuk pentadbiran yang melebihkan perundingan dalam segala aspek, mengambil kira pandangan dan nasihat golongan ilmuan dan beriltizam untuk melaksanakan keadilan yang sebenar. Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia(USM), Dr.Sivamurugan Pandian pula berkata, kerajaan perlu mencipta program dan aktiviti yang sesuai supaya 1Malaysia dapat mencapai kumpulan sasarnya secara berterusan bukan bermusim.
Kesimpulannya, sebagai rakyat yang mempunyai rasa tanggungjawab, kita mesti menghentikan tindakan tuduh-menuduh, provokasi dan fitnah sesama sendiri melalui politik merupakan antara langkah yang perlu mula diamalkan oleh rakyat negara ini bagi menjayakan gagasan 1Malaysia.
Sekian.
Md Rasul bin Haron
Penolong Pengarah
Unit Latihan dan Pembangunan Staf
Bahagian Pendidikan Guru

Lawatan Guru-Guru dan Kakitangan SK Sungai Menghulu Langkawi Ke BPG

Putrajaya- 31 Julai 2009- Unit Latihan dan Pembangunan Staf dan Unit Khidmat Pengurusan menerima tetamu daripada guru-guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan Sungai Menghulu, Langkawi. Seramai 32 orang peserta yang diketuai oleh Guru Besar Encik Abd Razak bin Hj Jusoh selamat tiba di perkarangan Blok E13, Bahagian Pendidikan Guru. Mereka disambut oleh Encik Zainun bin Johari, Ketua Penolong Pengarah Unit Latihan dan Pembangunan Staf, BPG. Penulis bersama kakitangan turut menyambut kedatangan peserta rombongan dari Langkawi.
Unit Latihan dan Pembangunan Staf telah melaksanakan satu kursus khas untuk peserta-peserta rombongan iaitu Kursus Protokol dan Etiket. Penceramah pakar dari INTAN Bukit Kiara, Puan Suzana diundang untuk menyampaikan ceramah. Sebelum ceramah bermula, Dr.Kartini binti Baharun, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru menyampaikan ucapan perasmian dan mengalu-alukan kunjungan lawatan dari Langkawi. Beliau amat berbesar hati dengan kedatangan mereka ke BPG. Beliau turut memuji usaha yang telah diambil oleh Unit LPS kerana berjaya menganjurkan kursus yang dirangka secara khusus untuk peserta rombongan. Selepas itu, Encik Zainun bin Johari memberi taklimat mengenai Bahagian Pendidikan Guru kepada peserta-peserta.
Selepas taklimat mengenai BPG, Kursus Prokol dan Etiket dikendalikan oleh penceramah dari INTAN. Daripada maklum balas Guru Besar Encik Abd Razak, kursus yang dianjurkan oleh Unit LPS banyak memberi manfaat dan pengetahuan baru tentang protokol dan etiket. Mereka amat berpuas hati dengan layanan serta pengisian aktiviti lawatan yang dikendalikan oleh Unit Latihan dan Pembangunan Staf dan Unit Khidmat Pengurusan.

Sekian.
Md Rasul bin Haron
Penolong Pengarah
Unit Latihan dan Pembangunan Staf
Bahagian Pendidikan Guru




























































Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...