Utusan Borneo
by Abang Ismail Abang Su’ud. Posted on July 7, 2011, Thursday
BINTULU: Kepakaran dalam bidang sains, teknologi dan matematik memberi satu peluang besar memandangkan bidang itu amat penting dalam pembangunan ekonomi sesebuah negara.
Menteri Muda Pelancongan, Datuk Talib Zulpilip berkata, lulusan sains dan teknologi mempunyai peluang yang amat besar untuk maju kerana apabila ekonomi berkembang mereka dapat menceburi kerjaya dalam bidang berkaitan untuk memajukan negara.
“Kerjaya dalam bidang itu juga akan mampu memberikan mereka pendapatan yang tinggi pada masa hadapan,” ujarnya berucap dalam Program Berambeh bersama beliau sempena Kem Penggalakan serta Penyelidikan Sains dan Teknologi Peringkat Kebangsaan 2011 di Balai Raya Kampung Jepak semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak berkata, saya melihat bidang sains dan teknologi merupakan jalan terbaik kepada masa hadapan yang lebih cerah khususnya untuk para pelajar yang minat dalam bidang itu.
Justeru katanya, dengan kemudahan dan teknologi yang ada para pelajar diharap dapat mempergunakan sebaiknya kemudahan yang disediakan itu untuk belajar kerana generasi pelajar hari ini cukup bertuah berbanding keadaan pelajar pada satu ketika dahulu.
“Saya menyeru agar para pelajar menjadi seorang pelajar yang berdedikasi untuk terus berjaya dan menjadi seorang warganegara yang baik,” katanya sambil menambah generasi pelajar hari ini juga cukup bertuah kerana kerajaan yang ada tidak mengabaikan kepentingan pendidikan di negara ini.
Terdahulu seramai 120 peserta terdiri daripada pelajar Tingkatan Satu dan Dua serta merupakan ahli Kelab Sains sekolah dari 16 negeri seluruh Malaysia menyertai kem yang berlangsung lima hari itu bermula 4 Julai hingga 8 Julai ini.
Ia turut disertai oleh 35 guru pengiring, 16 fasilitator dan tahun ini Pejabat Pelajaran Daerah Bintulu untuk Sarawak diberi penghormatan sebagai tuan rumah program tersebut yang diadakan mengikut giliran bagi setiap negeri.
Hadir sama dalam program itu Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak, Ellen@Manium Engang, Penghulu Drahman Kawi dan pegawai-pegawai pelajaran peringkat negeri dan bahagian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan