UTUSAN BORNEO
Posted on July 6, 2011, Wednesday
MIRI: Kesatuan Guru Sarawak (STU) kesal dengan tindakan penganjur BERSIH 2.0 yang ingin meneruskan niat mereka untuk mengadakan perhimpunan jalanan pada 9 Julai ini.
Naib Presidennya, Dundang Bantin berkata, pemimpin penganjur BERSIH 2.0 perlu menarik balik niat mereka itu, seterusnya patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong.
“Kita amat kecewa dengan tindakan yang diambil penganjur BERSIH yang cuba menimbulkan suasana tegang ketika ini, padahal rakyat Malaysia sudah lama menikmati keamanan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
Menurutnya, beliau ada menerima panggilan telefon daripada saudara-mara yang bekerja di Semenanjung, khasnya mereka yang tinggal di kawasan Kuala Lumpur, yang menyatakan kerisauan mereka tentang BERSIH.
“Saya hormati niat baik mereka untuk membawa sesuatu perubahan dalam urus tadbir negara, tetapi saya tidak bersetuju dengan cara dan pendekatan yang diambil oleh mereka (penganjur),” ujarnya.
Katanya lagi, pihak penganjur BERSIH seharusnya mendengar titah Agong, pemimpin politik, badan bukan kerajaan dan sebagainya agar membatalkan niat mereka untuk mengadakan perhimpunan haram.
“Saya amat berharap agar pihak BERSIH tidak memandang ringan terhadap titah diraja itu. Secara peribadi, saya percaya jalan penyelesaian terbaik adalah pertemuan di meja rundingan,” katanya.
Tambahnya, demonstrasi jalanan akan meninggalkan banyak impak negatif kepada golongan masyarakat yang secara langsung akan terheret sama menerima kesan perhimpunan ini nanti.
“Ia mungkin demonstrasi aman, tetapi kita tidak boleh menjangka apa yang berlaku nanti. Malaysia adalah sebuah negara membangun dan dalam apa jua perjuangan kita, ikutlah cara yang bersesuaian,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan