BORNEO POST ONLINE
by Rusnan Mustafa. Posted on July 18, 2011, Monday
Jika pelajar berbuat demikian ia adalah satu kesilapan besardan
KUCHING: Pelajar Tingkatan Empat dinasihati supaya tidak menganggap Tingkatan Empat adalah tahun untuk ‘berbulan madu’.
Perkara itu diluahkan oleh Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat Kuching Khalid Naroden yang menyatakan bahawa jika pelajar berbuat demikian ia adalah satu kesilapan besar.
“Tahun ini adik-adik berada di Tingkatan Empat, tahun ‘honeymoon’, tahun relaks, kerana SPM hanya akan menjelang pada penghujung tahun berikutnya, jika ini berlaku ia adalah kesilapan besar adik-adik (pelajar),” katanya pada majlis penutupan program Motivasi Pelajar Cemerlang di SMK Tun Abang Haji Openg di sini semalam.
Seramai 180 pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima daripada 32 sekolah menengah sekitar Kuching dan Padawan menyertai program anjuran Bank Rakyat Cawangan Kuching itu.
Khalid memberitahu bahawa belum terlambat untuk seseorang pelajar kembali berubah untuk menjadi seorang yang cemerlang.
“Ilmu pengetahuan dapat membezakan kita dengan orang lain dan dengan ilmu meletakkan kita di tempat yang lebih tinggi, pokok pangkalnya usaha serta berusaha secara berterusan,” tegasnya.
Pada masa yang sama, beliau menjelaskan usaha sahaja tidak juga mencukupi tanpa membuat persiapan dalam bentuk kewangan.
“Justeru, saya menasihati supaya adik-adik menabung untuk masa depan supaya mempunyai sumber kewangan mencukupi bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Tabung yang baik bukan di bawah bantal tetapi tabung yang baik adalah di bank,” tambahnya.
Selain itu, Khalid berkata, tujuan utama program itu diadakan adalah untuk membantu pelajar di sekitar Kuching bagi persiapan menghadapi SPM.
Jelasnya, sebelum ini Yayasan Bank Rakyat hanya mensasarkan sebanyak 12 program diadakan di seluruh Malaysia.
Namun atas permintaan Bank Rakyat Cawangan Mukah dan Kuching ia menjadi 14 kali program dianjurkan yang melibatkan kos sebanyak RM1.6 juta, jelasnya.
“Saya berharap adik-adik mendapat manfaat menerusi program ini dan berusaha untuk mencapai keputusan yang baik dalam SPM akan datang,” ujarnya.
Hadir sama Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kuching Azman Abdul Aziz, wakil Pegawai Pelajaran Kuching Nasir Salem, Pengetua SMK Tun Abang Haji Openg Mastura Anuar dan tetamu kehormat lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan