Utusan Borneo
by Edwin Raoh
Gambar Hiasan Tidak ada kaitan dengan berita |
Perut mangsa ditemui dalam keadaan terburai, dikelar seluruh anggota badan dipercayai guna pisau
BETONG: Seorang bayi perempuan yang baru lahir dibunuh dengan kejam apabila perutnya ditemui dalam keadaan terburai dan dikelar seluruh anggota badan dipercayai menggunakan pisau di bilik Asrama Puteri B Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Layar, dekat sini, pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Betong ACP Hendry Nyuhai berkata, bayi perempuan yang cukup sifat itu dipercayai dilahirkan oleh seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat sekolah itu.
Pelajar itu menghilangkan diri dari asrama pada jam 7.45 pagi selepas kejadian, tambahnya.
Menurutnya, kehilangan pelajar perempuan itu telah memaksa guru sekolah itu melakukan pemeriksaan kawasan asrama itu dan menjumpai bayi perempuan yang berlumuran darah dan terbaring bersebelahan katil pelajar perempuan tersebut.
Kemudian guru tersebut membuat laporan polis pada jam 9.15 pagi semalam sebelum sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD Betong tiba di tempat kejadian dan mengambil mayat bayi tersebut untuk bedah siasat di Hospital Betong, jelas beliau.
“Hasil bedah siasat telah menemui kesan kelar pada leher bayi berkenaan, tujuh kesan kelar di belakang badan, tangan kanan, kelar di bahagian rusuk dan perut menyebabkan perutnya terburai,’’ katanya ketika dihubungi di sini petang semalam.
Nyuhai berkata, berikutan kejadian itu polis menahan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang sedang mendapatkan rawatan ekoran kelahiran bayi itu di Hospital Betong jam 3 petang hari yang sama.
Katanya, polis turut menemui sebilah pisau yang disorokkan di dalam selimut di asrama berkenaan.
Polis akan menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pelajar perempuan terbabit dijangka direman selama tujuh hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan