Rabu, 19 Oktober 2011

Wanita ditipu RM315,000 oleh rakan Facebook


Utusan Borneo

Gambar Hiasan


KUCHING: Seorang wanita tempatan baru-baru ini ditipu sebanyak RM315,000 oleh seorang lelaki ‘Eropah’ yang dikenalinya melalui laman sosial Facebook, tetapi mungkin rugi lebih banyak jika penipuan itu tidak dikesan oleh suaminya.
Mangsa berusia 44 tahun yang juga merupakan pegawai pentadbiran di sebuah syarikat swasta mengenali lelaki tersebut menerusi Facebook pada bulan Ogos lalu dan menyangka lelaki tersebut dari Eropah berdasarkan gambar profilnya.
Mereka berhubung dengan satu sama lain sehingga 5 Oktober apabila lelaki itu menelefon mangsa untuk menyatakan dia sudah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tetapi ditahan oleh pegawai kastam kerana mendakwa membawa wang tunai sebanyak 500,000 pound.
Atas permintaan lelaki tersebut, mangsa seterusnya memindahkan RM50,000 ke dalam akaun bank tempatan pada keesokan hari untuk membantu membebaskan ‘rakannya’ itu dan dihubungi lagi tidak lama kemudian oleh seorang lelaki lain yang mendakwa dirinya sebagai seorang pegawai kastam.
Lelaki itu memintanya memasukkan RM123,000 lagi ke dalam akaun sama sebagai insurans untuk mengeluarkan duit rakan Facebooknya.
Pada 7 Oktober, lelaki sama menghubungi wanita itu lagi dan berkata mangsa perlu mengirim RM96,000 lagi untuk membeli sijil bagi mengesahkan rakannya itu tidak terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Mangsa melakukan apa yang disuruh dan tidak me-nerima sebarang panggilan lagi sehingga 12 Oktober apabila pegawai kastam yang sama memintanya memasukkan RM46,000 ke dalam bank untuk membeli Sijil Anti- Keganasan bagi membuktikan wang rakannya itu tidak digunakan untuk membiayai aktiviti keganasan di negara ini.
Sekali lagi, wanita itu melakukan apa yang disuruh dan boleh ditipu seterusnya jika dia tidak membawa perkara itu kepada perhatian suaminya.
Menyedari isterinya telah ditipu, si suami terus menyuruhnya membuat laporan polis mengenai perkara tersebut.
Sementara itu, sumber memberitahu bahawa polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri percaya wanita itu telah menjadi mangsa sindiket penipuan yang beroperasi menerusi laman rangkaian sosial seperti Facebook.
Sumber itu seterusnya menyatakan siasatan awal mendapati akaun yang digunakan da-lam penipuan itu adalah milik seorang warga asing yang membukanya di sebuah bank di Semenanjung Malaysia.
Ketika dihubungi, seorang pegawai kanan polis menasihati pengguna Facebook supa-ya berwaspada apabila meng-ambil orang yang tidak di kenali sebagai rakan.
Beliau berkata ciri Internet yang tidak berwajah bermakna sesiapa sahaja boleh menyamar sebagai orang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...