Rabu, 19 Oktober 2011

Tiga ahli kumpulan rompak treler bawa kenderaan ditangkap


Utusan Borneo




SIBU: Kelicikan sekumpulan penjenayah yang melarikan empat kenderaan pacuan empat roda yang dibawa oleh sebuah treler dari Kuching ke Miri berakhir dengan tertangkapnya tiga ahli kumpulan tersebut empat jam selepas kejadian rompak itu berlaku lebuh raya Pan-Borneo berdekatan Bulatan Dudong dekat sini malam kelmarin.
Dua daripada tiga lelaki yang dicekup tersebut berusia 22 tahun manakala seorang lagi berusia 27 tahun.
Menurut sumber polis, Kejadian rompak itu berlaku pada jam 11.20 malam kelmarin semasa pemandu treler keturunan Cina berusia 38 tahun dan seorang kelindan, 22, berketurunan Bidayuh sedang dalam perjalanan dari Kuching ke Miri apabila sebuah kereta Proton memintas mereka sebelum mengarahkan pemandu memberhentikan treler.
Difahamkan pemandu Proton tersebut keluar dari kereta Proton berwarna perak dan terus mendakwa treler itu telah melanggar keretanya. Ketika pemandu treler dan kelindannya sedang bertikam lidah dengan pemandu Proton itu, tiba-tiba tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang keluar dari kereta Proton.
Salah seorang daripada mereka meletakkan parang di leher pemandu treler tersebut dan mengarah mangsa menutup muka dengan baju mereka sendiri sebelum diarah masuk ke dalam kereta Proton tersebut.
Semasa menaiki kereta itu, kelindan tersebut sempat melihat sebuah kereta Myvi berwarna putih yang dipercayai daripada kumpulan penjenayah yang sama. Pemandu dan kelindan tersebut dihantar ke Batu 16 Jalan Oya di mana mereka dibelasah oleh kumpulan penjenayah sebelum ditinggalkan di situ.
Selepas kumpulan itu beredar dari situ, kedua-dua mangsa berikhtiar mendapatkan pertolongan daripada orang awam untuk menghantar mereka ke Balai Polis Sibu Jaya untuk membuat laporan polis.
Pada masa yang sama sekitar jam 12 pagi semalam, seorang pemandu treler pengangkut kenderaan yang juga merupakan rakan mangsa terkejut apabila melihat sebuah treler berenti di tepi jalan berdekatan dengan Bulatan Dudong tanpa pemandu dan kelindannya.
Dia juga hairan apabila melihat hanya terdapat tiga daripada tujuh buah kenderaan pacuan empat roda yang berada di atas muatan treler tersebut.
Menurut pemandu treler tersebut, sebanyak tujuh treler daripada syarikatnya sedang dalam perjalanan menghantar kenderaan-kendaraan baru dari Kuching ke Miri pada malam tersebut.
Bertindak daripada laporan itu, polis terus berusaha mencari penjenayah-penjenayah itu di merata-rata tempat di bandar ini.
Akhirnya,sebuah pasukan peronda polis telah terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton di tapak pelupusan sampah di Jalan Seng Ling pada jam 3.00 pagi semalam.
Polis peronda tersebut bertindak cekap dan pantas apabila menahan sebuah kereta Myvi berwarna putih yang secara kebetulan baru sahaja keluar dari kawasan itu.
Polis terus memberkas tiga lelaki yang menaiki Myvi tersebut termasuk dua daripada suspek berumur 22 tahun dan seorang lagi berumur 27 tahun, kesemua mereka berketurunan Iban.
Ketiga-tiga suspek terus dibawa ke Balai Polis Sentral sementara menunggu perintah reman terhadap mereka.
Polis percaya sekurangkurangnya enam penjenayah terlibat dalam kes rompakan pacuan empat roda pelbagai jenama daripada treler tersebut.
Polis kini sedang menjejaki rakan-rakan suspek yang masih bebas dan juga tiga kenderaan pacuan empat roda yang masih hilang itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...