Isnin, 31 Oktober 2011

Kaji punca kanak-kanak belum kuasai kemahiran membaca



Sumber:
Utusan Borneo
31.10.2011


MESRA: Fatimah berinteraksi dengan kanak-kanak pada Konvensyen Prasekolah Siri 6 di Kuching, semalam.



KUCHING: Punca kanak-kanak yang masih belum dapat menguasai kemahiran membaca walaupun setelah mengikuti program Literasi dan Kemahiran Angka (LINUS) perlu dikaji segera bagi membantu usaha kerajaan mengurangkan jumlah buta huruf yang agak tinggi di Sarawak.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, kanak-kanak tersebut berkemungkinan besar menghadapi disleksia sekiranya gagal menguasai kemahiran membaca walaupun setelah mengikuti program LINUS yang dijalankan secara berperingkat sehingga tahap tiga.
“Bagi mengurangkan kadar buta huruf yang tinggi di Sarawak, intervensi yang betul perlu diberi kepada kanak-kanak berkenaan.
“Jadi, sekiranya ia berpunca daripada disleksia, maka intervensi lebih spesifik perlu digunakan, program LINUS tidak dapat membantu kanak-kanak disleksia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan upacara penangguhan Konvensyen Prasekolah Siri 6 yang berjaya mengumpulkan seramai 380 peserta di sini, semalam.
Fatimah yang juga penasihat Persatuan Disleksia Sarawak berkata, justeru semua guru, bukan sahaja guru pendidikan khas, perlu dilengkapi dengan kemahiran yang dapat mengenal pasti simptom disleksia.
Menurutnya, persatuan itu juga bersedia membantu golongan guru untuk mendapat kemahiran tersebut.
“Bagi saya kemahiran ini harus dikuasai semua guru.
“Kalau mereka lihat ‘Kenapa kanak-kanak ini belum dapat menguasainya walaupun sudah diberikan intervensi? Jadi ini simptomnya, ada perkataan salah eja.
“Guru kemudiannya akan maklumkan kepada ibu bapa dan ibu bapa harus menghantar anak-anak mereka ke hospital untuk mendapat pengesahan daripada doktor dan kita kemudiannya akan menggunakan intervensi lebih spesifik untuk membantu anak mereka membaca,” katanya.
Beliau berkata, murid-murid disleksia dan autisme akan kemudiannya dikehendaki menghadiri kelas keperluan khas untuk membantu pembelajaran mereka.
Beliau juga menjelaskan, semua sekolah perlu mempunyai kelas khas untuk memenuhi keperluan kanak-kanak dengan keperluan khas, disleksia dan autisme.
Malangnya, tidak semua sekolah mempunyai kelas jenis itu yang menyebabkan kanak-kanak yang mempunyai keperluan khas terpaksa menghadiri kelas biasa, katanya sambil menekankan seramai 600 murid daripada sebanyak 40,000 di peringkat Darjah Satu di seluruh negeri masih buta huruf.
“Sebab menyumbang kepada angka ini ialah kanak-kanak dengan keperluan khas terpaksa menghadiri kelas biasa walhal mereka sepatutnya berada di dalam kelas keperluan khas,” katanya.
“Oleh itu, Jabatan Pelajaran mengambil usaha agar murid-murid ini menjalani program LINUS,” katanya.
Fatimah juga memberitahu, pendidikan awal kanak-kanak adalah penting kepada kanak-kanak agar mereka dilengkapi dengan kemahiran asas sebelum memasuki pendidikan formal.
Menyedari kepentingan itu, kerajaan katanya mahu memastikan semua kanak-kanak menjalani pendidikan prasekolah yang akan melengkapkan mereka dengan kemahiran membaca, menulis, mengira dan berfikir.
“Kerajaan mahu memastikan pendidikan kanak-kanak merangkumi prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan kolej kerana ia akan membantu generasi muda pada masa depan,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...