Ahad, 13 November 2011

Emas untuk Malaysia



MANISNYA KEJAYAAN: Nur Suryani Muhamed mengucup senjata riflenya selapas berjaya memenangi pingat emas pertama negara dalam 50m Rifle Wanita pada kejohanan Sukan Sea Ke-26 di Palembang, semalam. — Gambar Bernama

PALEMBANG: Penembak kebangsaan, Nur Suryani Mohamed Taibi menjadi penyumbang pingat emas pertama untuk Malaysia selepas memenangi acara 50m Rifel 3 Posisi pada temasya Sukan SEA ke-26 di Lapang Sasar Menembak, Kompleks Sukan Jakabaring di sini, semalam.
Pingat gangsa menjadi milik seorang lagi penembak negara, Nur Ayuni Farhana.
“Saya sememangnya tidak menjangkakan pingat emas pada penyertaan kali ini,” kata penembak berusia 29 tahun itu ketika ditemui Bernama.
Menurut beliau, insiden kelewatan ketibaan peluru tidak menjejaskan  konsentrasi beliau.
“Soal itu adalah kepada pihak pengurusan. Bagi saya, saya mahu mencuba yang terbaik dan menumpukan perhatian kepada acara yang saya sertai,” kata pemenang pingat emas acara 10m Air Rifle berpasangan wanita pada Sukan Komanwel 2010 di India bersama Nur Ayuni Farhana Abdul Halim.
Beliau kini akan tumpukan perhatian kepada acara 10m Air Rifle pada Rabu ini bergandingan dengan Shahera Rahim Raja.
Pada acara 50m Rifel 3 Posisi wanita hari ini, Nur Suryani mengumpul 679.8 mata, mengatasi saingan terdekat Sununta Majhacheep dari Thailand yang mengumpul 676.3 mata.
Nur Ayuni Farhana pula mengumpul 675.4 mata.
Selain kejayaan Nur Suryani dan Nur Ayuni Farhana, skuad menembak turut  meraih dua pingat perak melalui Khalel Abdullah dalam acara 25m Standard Pistol lelaki dan Mohd Hadafi Jaafar dalam acara 10m Air Rifel lelaki.
Acara penyampaian pingat bagi pemenang-pemenang hanya akan berlangsung hari ini.
Pada temasya di Laos dua tahun lalu, skuad menembak negara tidak meraih  pingat emas dan sekadar membawa pulang enam pingat perak dan lima gangsa menerusi 16 penembak lelaki dan wanita kebangsaan.
Sementara itu di Jakarta, harapan melihat kilauan pingat emas pertama negara menerusi sukan karate semalam tidak kesampaian apabila Jamaliah Jamaludin setakat meraih gangsa dalam acara kumite atas 68kg.
Dalam acara yang diadakan di Dewan Indoor Tennis Senayan, beliau meraih gangsa bersama dengan atlet Laos, Kiettisack Sengdal selepas masing-masing kalah di saingan separuh akhir kepada atlet Vietnam dan atlet tuan rumah.
Atlet muda bukan pilihan dari Vietnam, Thach Thi Trang memperoleh emas manakala atlet Indonesia, Mardiah Nasution meraih perak.
Jamaliah, pemenang pingat perak Sukan Asia 2010, itu gagal mempertahankan emasnya yang diraih pada edisi 2009 di Vientiane, Laos dan sebelum itu di Korat, Thailand pada 2007.
Ini sekali gus meranapkan impian atlet berusia 27 tahun ini untuk mencipta hatrik setelah aksi yang kurang konsisten dipamerkan dalam pertandingan tersebut seperti yang diharapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
“Ini pertemuan pertama saya dengan atlet muda dari Vietnam itu. Saya kecewa dengan diri sendiri dan minta maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal raih emas pertama buat negara.
“Saya sebenarnya mampu menang tetapi saya mula hilang fokus setelah dia (atlet Vietnam) mendahului saya satu mata atas kesilapan taktik yang saya buat hinggakan dia ambil peluang tersebut semasa saya hadapi tekanan tinggi,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan tersebut.
Turut gagal menepati ramalan emas bagi acara Kata individu lelaki dan wanita Ricky Leong Tze Wai dan Thor Chee Yee apabila masing-masing terkandas di saingan separuh akhir.
Dalam acara Kata individu lelaki, Ricky dan peserta Filipina, Oj Delos Santos bersama meraih pingat gangsa sementara atlet tuan rumah, Faizal Zainuddin menumpaskan Pham Thai Huy dari Vietnam untuk meraih pingat emas. — Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...