Ahad, 13 November 2011

Terap pengajaran kreatif



Sumber:
Utusan Borneo
by Florence Nervyn. Posted on November 13, 2011, Sunday


Guru Tabika KEMAS diseru berbuat demikian bagi lahirkan modal insan berkaliber dan berpendidikan, kata Entulu
TANIAH: Entulu (kanan) menyampaikan skrol dan trofi kepada salah seorang penerima pada Majlis Konvokesyen Mini Gabungan Tabika KEMAS Selangau, semalam.



SIBU: Guru Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) diseru menerapkan konsep pengajaran secara kreatif dalam sesi pembelajaran di peringkat awal kanak-kanak dalam usaha melahirkan modal insan berkaliber dan berpendidikan.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, pendekatan pengajaran kreatif juga mampu menarik minat pelajar serta mencungkil bakat kanak-kanak di peringkat usia mereka.
“Tugas seorang guru Tabika KEMAS bukan setakat mengajar kanak-kanak agar pandai membaca, mengeja dan mengira.
“Tujuan utamanya ialah mendidik kanak-kanak secara menyeluruh dalam membentuk modal insan holistik pada masa akan datang,” jelasnya.
Katanya, tugas guru KEMAS kian mencabar terutama mereka yang ditempatkan mengajar di kawasan luar bandar dalam menangani masalah sikap pemalu di kalangan kanak-kanak ini.
“Dalam kata lain, cara mengajar perlu kreatif tanpa bergantung sepenuhnya kepada sukatan pembelajaran yang telah ditetapkan.
“Selain itu, guru KEMAS juga harus menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan kanak-kanak mengikut keadaan,” ujar Ahli Parlimen Selangau itu.
Entulu berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen Mini Gabungan Tabika KEMAS Selangau yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Katanya, kerajaan menerusi KEMAS sentiasa komited terhadap pembangunan pendidikan awal kanak-kanak menerusi peruntukan bajet tahunan negara bagi merealisasi hasrat negara melahirkan golongan muda berpendidikan.
“Kerajaan sentiasa mempertingkatkan pembangunan prasarana pendidikan prasekolah dengan pembukaan tabika di rumah-rumah panjang bagi memberi peluang kepada anak-anak mendapat pendidikan formal awal,” jelasnya.
Seramai 145 kanak-kanak Tabika KEMAS daripada 18 Tabika KEMAS di kawasan Selangau menerima sijil dan trofi konvokesyen masing-masing dalam majlis yang serba meriah itu.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pegarah KEMAS Negeri Sarawak Abang Rabaee Abang Muhi, Pegawai KEMAS Daerah Selangau Nur Amalia Abdul Manan, Pegawai Daerah Selangau Wan Akil Wan Ahmad Bujang dan pengerusi pengelola Enya Jana.
Pada majlis yang sama, Entulu turut mengumumkan peruntukan RM200 kepada setiap kanak-kanak tabika KEMAS dan RM3,000 kepada 27 kelas Tabika KEMAS di Parlimen Selangau.
“Peruntukan ini akan diagihkan mulai sekarang hingga hujung tahun ini,” katanya.
Selain itu, Tabika KEMAS Sungai Dijih memenangi Anugerah Ahli Jawatan kuasa Tabika Cemerlang dan Demai Chalat daripada Tabika KEMAS Sekolah Kebangsaan Sungai Tamin dinobatkan Anugerah Ibu Mithali.
Tabika KEMAS Pasira diumumkan pemenang Anugerah Tabika Contoh dan Rosenna Anggat daripada Tabika KEMAS Skim Sekuau A dinobatkan Anugerah Pemaju Masyarakat Contoh.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...