Utusan Borneo
Posted on November 1, 2011, Tuesday
KUCHING: Seorang gadis berusia 14 tahun dipercayai diculik oleh sekumpulan empat lelaki di rumahnya pada Ahad lepas.
Keluarga gadis berkenaan membuat laporan polis mengenai kejadian itu sekitar jam 4 petang.
Difahamkan, gadis berkenaan tidak bersekolah dan kini sedang bekerja.
Baru-baru ini, mangsa dilaporkan tidak berani untuk ke tempat kerja kerana takut didatangi orang yang meminjamkan wang kepadanya untuk menagih wang.
Menurut sumber, gadis berkenaan ada meminjam wang sebanyak RM1,000 daripada orang terbabit yang meminta pembayaran semula wang itu sebanyak RM2,000 termasuk bunga.
Oleh kerana tidak mampu membayar hutang itu, mangsa tidak berani untuk ke tempat kerja kerana bimbang orang terbabit menjumpainya.
Empat lelaki datang ke rumah gadis berkenaan pada hari Ahad dan keluarga mangsa membiarkan mereka masuk ke dalam rumah kerana berfikir bahawa mereka adalah kawan kepada anaknya.
Apabila gadis itu keluar, mereka terus mengheret mangsa masuk ke dalam kereta dan melarikan diri.
Bimbang tentang keselamatan gadis itu, keluarganya membuat laporan polis.
Dalam kes berasingan, seorang pelajar berusia 17 tahun yang tinggal di asrama dan abangnya dipanggil ke balai polis untuk menyiasat berhubung insiden pergaduhan di sebuah asrama pada malam kelmarin.
Kejadian pergaduhan itu dikatakan berlaku sekitar 9 malam, melibatkan seorang ‘orang luar’ berusia 20-an yang datang ke asrama terbabit dengan membawa parang, marah selepas direnung oleh pelajar berkenaan.
Dia memukul pelajar tersebut dan rakan-rakan sebilik mangsa tidak berani membantu mangsa kerana bimbang keselamatan diri masing-masing.
Pelajar tersebut terus memanggil abangnya yang datang membantu menyelamatkannya daripada dipukul.
Kemudian, lelaki berkenaan membuat laporan polis terhadap dua adik-beradik berkenaan mengenai insiden itu.
Polis sedang menjalankan siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan