Khamis, 1 Disember 2011

Tiga lelaki direman kerana disyaki curi motosikal guru


Sumber:
Utusan Borneo
(30.11.2011)
Gambar Hiasan


MIRI: Tiga lelaki termasuk seorang remaja yang ditangkap kerana disyaki mencuri sebuah motosikal kepunyaan seorang guru diperintahkan Mahkamah Majistret petang semalam supaya direman dua hari untuk membantu siasatan lanjut polis.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Gerald Empaling Donald setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat Sarjan Chiu Ann Yan dari Balai Polis Pusat Miri.
Dalam permohonannya, Chiu memberitahu pada 28 November lalu, seorang guru telah membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri berhubung kehilangan motosikalnya.
Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 4.30 pagi hari sama, beliau telah meletakkan motosikalnya di hadapan Pusat Kesihatan Bersih di Jalan Nort Yu Seng dalam keadaan berkunci untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat subuh.
Selesai solat, pengadu terus pergi ke arah motosikalnya dan mendapati motosikalnya jenis Modenas Kriss berwarna biru dan bernombor pendaftaran QMF17xx telah hilang dipercayai dicuri. Kerugian dialami dianggarkan bernilai RM2,000.
Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 8.30 malam, 28 November lalu, polis telah menyerbu sebuah rumah di Jalan Lawas, Taman Tunku dan berjaya menahan dua lelaki serta merampas sebuah motosikal yang dilaporkan hilang oleh pengadu dari rumah berkenaan.
Hasil siasatan lanjut polis terhadap dua lelaki terbabit telah membawa kepada penangkapan suspek ketiga di sebuah premis di Jalan North Yu Seng di sini pada jam 9.20 malam hari sama.
Dalam permohonan lanjutnya, Chiu berkata reman empat hari mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas ketiga-tiga suspek yang berusia, 43, 48 dan 18 tahun amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.
Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk merakam percakapan berhemat kesemua suspek dan membebaskan mereka lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...