SENAI - Polis sedang mengenal pasti individu yang menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meminta wang tebusan daripada ibu Nurul Nadirah Abdullah, 5, yang mati dibunuh dan dibakar, 1 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, pihaknya sudah memanggil keluarga Dirang termasuk ibunya Roselyn Alan, 25, untuk memberi keterangan berhubung perkara terbabit pagi semalam.
Hasil siasatan awal dan beberapa bukti yang berjaya dikesan mendapati penghantar SMS itu dipercayai berada di Kelantan.
“Polis Johor dan polis Kelantan akan bekerjasama dalam usaha mengesan individu terbabit yang menghantar SMS berbaur ugutan yang mahukan wang tebusan sebanyak RM30,000 dan RM10,000 daripada keluarga Dirang.
“Perkara ini memang serius dan mempunyai kaitan dengan kes pembubuhan kejam kanak-kanak terbabit, individu yang menghantar SMS itu akan dikesan secepat mungkin bagi merungkai kes ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Dalam perkembangan lain, Roslan berkata, keempat-empat individu yang ditahan akan disambung reman.
Jelasnya, walaupun polis telah berjaya mengumpul bukti kukuh berhubung kes itu, namun kesemua individu terbabit perlu disambung reman berikutan terdapat beberapa perkara yang masih perlu dijelaskan.
Reman keempat-empat individu itu sepatutnya tamat hari ini.
“Saya memberi jaminan kes ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat kerana pasukan kami kini berada pada landasan tepat dalam proses mengumpul bahan bukti sebelum membuat pendakwaan.
“Saya berharap semua pihak dapat bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi yang dapat mengganggu siasatan kami berhubung kes ini sebelum ia selesai,” katanya.
Sumber:
NORSHIKIN MOHD SALLEH Sinar Harian Online(16 Mac 2012)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan