Jumaat, 16 Mac 2012

Dilema Guru




Berita guru memukul pelajar dan sebaliknya sering berlaku dan menjadi topik media juga bualan hangat masyarakat. Kejadian guru-guru memukul pelajar sering dipilih untuk dijadikan tajuk utama bagi media masa.

Pihak ibu bapa hari ini sering mencari jalan penyelesaian mudah bagi menangani masalah anak-anak mereka yang dipukul guru. Mereka lebih gemar berpaling kepada media sebagai perunding cara dan jalan penyelesaian segera. Sikap sebegini boleh dianggap tidak rasional dan tidak adil bagi para guru. Media masa pula sering berpihak kepada murid yang terlibat tanpa pertimbangan yang wajar.

Dalam beberapa kes guru memukul pelajar, ibu bapa sering menjadikan pihak media sebagai tempat mengadu hal. Sebaik-baiknya ibu bapa perlulah mendapat keterangan dari pihak sekolah terlebih dahulu sebelum mengambil apa jua tindakan. Seandainya ibu bapa cuma mendengar aduan anak mereka, sudah pastilah mereka akan menyalahkan guru yang memukul anak mereka. Dalam pandangan mereka, pasti guru tidak adil dan jahat. Malah ada yang menuduh guru sengaja mencari peluang untuk memukul kerana membenci muridnya. Keadaan ini pasti sering membawa kepada laporan negatif kerana mengikut perasaan marah dan dendam ibu bapa itu sendiri.

Pihak media masa pula sering memperbesar-besarkan isu ini dengan tujuan dapat melariskan jualan mereka. Kerana ada sesetengah media masa cuma mengutamakan keuntungan sahaja tanpa memikirkan kenyataan yang betul. Ada waktunya murid yang dipukul hanya mengalami segaris luka tetapi perkataan sensasi yang sering digunakan ialah ‘cedera’. Guru digambarkan sebagai jahat kerana memukul murid tetapi apabila diketahui bahawa sikap murid terbabit sebagai punca dia dipukul, media tidak pernah memperbetulkan cerita apa lagi meminta maaf. Keadaan ini jelas sekali, pasti kita tidak pernah mendengar berita dari media masa yang melaporkan tentang murid yang melakukan kesalahan disiplin perlu dipukul. Kenapakah keadaan ini berlaku? Pasti kerana berita ini tidak menarik minat para media masa begitu juga dengan masyarakat umumnya.

Kasihan para guru. Berita segelintir mereka memukul murid sering menjadi bahan berita sensasi pihak media tetapi apabila pihak media dan masyarakat bersimpati dengan mereka, kereta mereka pula yang dirosakkan oleh pelajar-pelajar. Jelas sekali gurulah yang lebih rela memikul tanggungjawab mendisiplin lantas menghadapi pelbagai risiko keganasan pelajar. Layaknya mereka disanjung atas kesudian mereka bukan dikutuk sebagai pendera. Justeru itu, semua pihak termasuk ibu bapa dan media perlulah bersikap lebih adil dan rasional apabila berdepan dengan kes guru memukul anak mereka. Tidak ada seorang guru pun yang mahu memukul muridnya sesuka hati tanpa sebarang sebab. Guru adalah pendidik dan berpendidikan. Mereka tahu kesan jika mereka memukul murid.

Dalam prinsip dan garis panduan pertama ditegaskan status guru hendaklah sejajar dengan keperluan pendidikan seperti yang dinilai dalam konteks objektif dan tujuan pendidikan semasa. Dalam hal ini perlu diterima hakikat bahawa status profesyen perguruan dan pengiktirafan masyarakat terhadap profesyen itu adalah unsur terpenting menentukan keupayaan untuk merealisasikan tujuan dan objektif pendidikan.

Sebaliknya ibu bapa harus sedar bahawa tugas guru bukan sekadar memberi ilmu pengetahuan dan mendidik. Lebih dari itu, mereka bertanggungjawab mendisiplinkan para pelajar, satu proses pembudayaan yang jarang diterima pelajar sewaktu di rumah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...