Ahad, 26 Jun 2011

Adakah Guru KPLI Sekolah Rendah Berpeluang Menjadi Guru Besar?

Blog Cikgu Blogging In Malaysia


Sudah beberapa kali admin cikgublog ditanyakan soalan ini – Bilakah guru lulusan KPLI sekolah rendah diberi peluang menjadi guru besar? Adakah lulusan ijazah yang mereka perolehi tidak dapat membantu mereka naik ke pangkat yang lebih tinggi selain menjadi guru penolong sahaja?  Hakikatnya, nasib Guru KPLI Rendah naik pangkat kurang cerah berbanding Guru KPLI Sekolah Menengah.
Pengisian jawatan kenaikan pangkat hakiki Gred DGA32 dan DGA34 bagi jawatan Guru Besar, Penolong Kanan dan Penyelia Petang di sekolah rendah diperuntukkan bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD). Bagi mana-mana guru PPPLD yang telah menyambung pengajian ke peringkat ijazah kemudiannya dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 dan dikekalkan di sekolah rendah adalah tertakluk kepada laluan kenaikan pangkat PPPS. Walau bagaimanapun, Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) telah bersetuju untuk mengekalkan jawatan Guru Besar bagi mana-mana Guru Besar yang menyambung pengajian ke peringkat ijazah secara Pengajian Jarak Jauh (PJJ) yang kemudiannya dilantik sebagai PPPS Gred DG41 di sekolah rendah.
Oleh itu, laluan kenaikan pangkat yang diperuntukkan bagi PPPS di sekolah rendah adalah secara Khas Untuk Penyandang (KUP) iaitu urusan Time-Based (KUP), Time-Based (KUP) Ex-PPPLD dan Guru Cemerlang. Guru-guru yang memohon dan memenuhi syarat kenaikan pangkat bagi mana-mana urusan tersebut boleh dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat.

Sabtu, 25 Jun 2011

Setaat bumi.....



di bumi
kita adalah umat
bukan untuk saja saja
jauh sekali nak tunjuk ngada ngada
itu tak kena
ini tak selesa....

di bumi
kita tercampak
diberi peluang hidup
untuk berfikir

contohi bumi
walau sibuk berputar
pada paksi
agar siang bertukar malam
dan malam  kembali siang;..sudah pasti

bumi makhluk setia
beredar mengelilinggi mentari
tepat setahun tak  pernah lewat
maupun sehari lebih cepat
dan musim juga silih berganti
mewarnai kalendar kehidupan

Bumi tak pernah engkar
paksi dan orbit adalah landasan
kesibukan adalah agenda
ketaatan
pada Pencipta

Wahai manusia
kenapa..............
tidak kau contohi
makhluk bumi yang taat
yang tidak pernah mengingkari
Perintah Allah.
dan sibuk bukan lagi alasan...
kau akur taat!!


Nukilan
Norlilah Ismail

Membahasa Melayukan Rakyat Malaysia

Usia kemerdekaan negara sudah mencecah 54 tahun.  Sudah semestinya, rakyat Malaysia perlu membahasaMelayukan diri sendiri. Namun yang belum terlaksana adalah penjiwaan bahasa Melayu itu sendiri. Ini dapat dilihat kepada golongan yang berkepentingan dalam sektor tertentu, khususnya undang-undang, perubatan dan kedoktoran, ekonomi dan perdagangan kefalsafahan mereka masih belum mencapai tahap yang membanggakan.


Justeru, kita perlu mentakrif semula penggunaan bahasa Melayu di sekolah yang lebih menekankan aspek pembakuan, iaitu usaha menjadikannya bahasa yang mampu menterjemahkan karya bahasa moden dunia. Sudah tiba masanya Bahasa Melayu perlu diberi nilai ekonomi bagi memartabatkan dengan meletakkan kedudukan yang tinggi, bermaruah dan berprestij dalam kalangan penutur aslinya serta masyarakat yang lain, pada peringkat nasional, serantau dan global.

Tinggi Kedudukannya
Bahasa Melayu mempunyai kedudukan amat tingggi dari segi ekonominya seperti yang dibuktikan oleh bahasa utama dunia sebagai lingua franca, khususnya bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Jepun dan bahasa Cina. Oleh itu, pengisian Bulan Bahasa Kebangsaan dengan kepelbagaian aktiviti seperti pertandingan pidato, berbalas pantun dan perbahasan, sememangnya dapat memberikan erti dan makna kepada menghidupkan kembali roh dan semangat pendaulatan bahasa kebangsaan lebih setengah abad yang lampau.

Pendaulatan bahasa Melayu tidak setakat bertutur, berhujah, beretorik dan menulis bahan semata-mata tetapi yang dituturkan dan dihujahkan itu perlu memenuhi syarat baku satu-satu bahasa moden yang mendukung pelbagai wacana ilmu pengetahuan. Hal ini bermakna, kedaulatan bahasa Melayu terletak pada kegramatisan tatabahasa dan susunan ayatnya, ketegasan, keteguhan pengucapannya yang bersesuaian dengan kandungan keintelektualan ilmu yang didukungnya.

Oleh itu usaha memelihara dan mempertahankan keutuhan dan maruah satu bangsa satu bahasa satu negara yang berpremiskan konsep 1Malaysia menjadi tanggungjawab bersama melalui penghayatan perjuangan kemerdekaan supaya akan tertanam semangat dan jati diri yang kental bagi memaknakan kemerdekaan dengan pengisian bingkisan dan juadah semaksimum mungkin.



































Ahad, 19 Jun 2011

Suatu ketika ... sempena Hari bapa





Ayahanda,
Suatu ketika
aku sentiasa di atas ribaan mu
aku sentiasa di dalam kendungan mu
dan hati terbuai dengan sapaan manja mu

suatu ketika
kau tidak pernah susah
mengiringi perjalananku ke sekolah
saban pagi aku dibekali dengan nasihat
dan hati senang dengan genggaman sayang mu

suatu ketika
entah mengapa keserasian memudar
kenakalan remaja ku sering mencabar
segala larangan mu tak lagi aku hindar
kau masih menasihati dengan sabar
aku memberontak, hingga akhirnya aku, kau tampar
kesalan wajah mu  jelas terpapar
ego dan tolol yang mendorong aku terus engkar
dan hati ini penuh  marah dengan tindakan mu yang wajar

kini
bila usia menjadi hakim
aku pula diuji oleh tuhan
mampukah aku ayah?
baru aku sedari
baru aku fahami
apa yang kau rasai
apa erti kasih sayang abadi
bukan terletak pada manja dan hanya menuruti
dan aku lemas dalam erti kesalan di hati

Ayahanda
bantulah aku
pandulah aku
ampunilah aku
Kaulah yang terbaik buat ku
tapi aku bukan yang terbaik buat mu

izinkan aku
mengambil kesempatan sementara ada waktu
menebus kesilapan lalu
agar anak anak ku
tidak menuruti jejak ku!!

Nukilan
Norlilah Ismail

Larian Sempena Pelancaran 1Murid 1Sukan

Oleh:
Blog Cikgu Blogging in Malaysia



Pada 2 Julai 2011 Hari Sabtu, kira-kira tiga juta pelajar dan guru di sekolah rendah dan menengah bakal menyertai satu pertandingan larian yang akan dilakukan secara serentak diseluruh negara bersempena pelancaran Dasar 1Murid 1Sukan. Larian akan bermula pada masa yang sama iaitu pukul 7:45 pagi di setiap sekolah dan di lokasi yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyertai larian peringkat kebangsaan di Taiping dan membuat perasmian 1Murid 1Sukan 1Malaysia.
Bidang sukan sangat penting dalam mengoptimumkan keupayaan fizikal murid selaras dengan ungkapan “Minda Yang Cerdas Terletak Pada Tubuh Yang Sihat”. Dalam konteks ini, bidang sukan memainkan peranan yang penting bagi melahirkan modal insan yang sihat, cergas dan produktif agar dapat memberi sumbangan kepada kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negara. Justeru, pelbagai aktiviti sukan diperkenalkan bagi menarik minat murid-murid agar mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melaksanakan Dasar 1M 1S (1 Murid 1 Sukan) agar setiap murid menikmati manfaat bersukan dengan harapan dapat membentuk generasi yang membudayakan sukan seiring dengan keperluan akademik. Akhir sekali, admin cikgublog berharap supaya program ini dapat dijalankan dengan lancar di semua sekolah di Malaysia dan mendapat sokongan penuh daripada semua lapisan masyarakat terutamnya ibu bapa. Sekian.

Sabtu, 18 Jun 2011

Keberkesanan Guru Pra-Sekolah Ditingkatkan



Kerajaan mengambil langkah untuk meningkatkan keberkesanan guru pra-sekolah seperti mempertingkatkan kelayakan dan kelulusan mereka selain menyerapkannya kepada jawatan tetap. Ketua Pengarah Jabatan Perpeaduan Negara dan Intergrasi Nasional  (JPNIN) Datuk Azmi Amir Hassan mengatakan langkah itu dibuat supaya anak-anak pra-sekolah mempunyai kualiti yang dilatih oleh guru-guru yang mempunyai kelayakan.
Sehubungan dengan itu,guru-guru Pra-sekolah di Tabika Perpaduan dan agensi lain akan dihantar untuk mengambil diploma di universiti dan institusi pengajian tinggi tempatan. Ketika ini terdapat 1,693 guru Tabika perpaduan dan daripada sejumlah itu seramai 95 orang mempunyai diploma yang telah dinaikkan kepada GredS27 manakala 400 guru lagi sedang mengikuti kursus diploma perguruan. Kira-kira 1,000 orang lagi yang masih belum mengambil diploma termasuk yang tidak mempunyai lima kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dilonggarkan syarat supaya mereka boleh mengambil diploma di mana-mana universiti yang memberi peluang kepada kita pada pertengahan tahun ini.
Guru-guru pra-sekolah yang telah berkhidmat lama di bawah perkhidmatan kontrak dan jabatan telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mereka diserapkan ke jawatan tetap. Ada kira-kira 150 orang guru-guru perpaduan yang masih lagi di bawah kontrak dengan gred S17  yang sedang usahakan supaya mereka ini diserapkan agar mereka dapat diterima masuk sebagai penjawat awam tetap.


Sumber maklumat: mStar.com.my

Pendidikan awal sebelum ke sekolah



Melihat kanak-kanak berusia tujuh tahun melangkah ke tahun satu sememangnya mencuit hati dengan aksi dan reaksi pelbagai ragam. Ada yang terlalu teruja dan sangat gembira dengan alam baru. Sebaliknya ada yang menangis kerana takut dan tidak mahu berpisah dengan ibu bapa. Bagi mengelak perasaan takut dan terasa diri ketinggalan adalah menjadi satu kepentingan dan kewajipan buat ibu bapa hari ini menghantar anak ke pra sekolah atau mana-mana pusat bimbingan kanak-kanak.
Tidak sukar memilih pusat bimbingan kanak-kanak atau tadika kerana setiap kawasan perumahan ada banyak tadika atau pra sekolah yang menawarkan pelbagai konsep pendidikan bagi memenuhi keperluan pembelajaran semasa.
Bagi kebanyakan ibu bapa ramai yang menganggap prasekolah adalah tempat untuk anak berseronok dan mempelajari sesuatu yang baru, manakala sesetengahnya pula berharap prasekolah dapat memberikan satu permulaan yang baik kepda dunia akademik anak mereka.
Sebenarnya, prasekolah perlu menjadi satu perkara penting iaitu tempat yang memberi asas kepada pembelajaran untuk masa depan anak. Ini kerana, kemahiran akademik sangat penting walaupun yang lebih penting ialah sikap dan kasih sayang yang diberikan sepanjang tempoh belajar. Apapun, bagi kanak-kanak yang baru mahu mengenal kehidupan, meneroka dunia baru melalui pembelajaran peringkat awal memberi kesan yang positif kepada anak untuk pembesarannya.
Maka sebab itulah ibu bapa perlu bijak memilih prasekolah yang mana benar-benar baik untuk anak. Ia bukan saja berdasarkan kepada reputasi sekolah itu tetapi juga bagaimana sekolah itu mampu memberikan didikan positif dan pembelajaran yang membina kepada anak.
Contohnya kanak-kanak yang berusia empat hingga enam tahun dunianya bukan sekadar mewarna kartun, menulis A hingga Z, membilang 1 hingga 10 dan menyanyikan lagu yang mudah tetapi sebenarnya kebolehan mereka melangkaui apa yang difikirkan oleh orang dewasa
Mereka ini seperti span yang mampu menyerap cecair dengan cepat pada persekitarannya. Lagipun kajian membuktikan kanak-kanak awal usia ini mampu membuat campur dan tolak serta menyatakan perhubungan sebab dan akibat daripada sesuatu perkara.
Mengikut pendapat beberapa pakar pendidik, kanak-kanak awal usia ini belajar daripada segala apa yang mereka lakukan. Mereka secara semulajadinya bersifat peka dan gemar meneroka dunia di sekelilingnya.
Kanak-kanak yang menerima sokongan dan galakan yang betul sepanjang tahun awal tumbesaran mereka akan membentuk peribadi yang lebih baik dalam dunia persekolahan mereka kelak. Sebab itulah ibu bapa mesti ingat bahawa setiap kanak-kanak belajar dengan cara dan kecepatan yang berbeza. Pendekatan pengajaran merentasi sempadan mampu melahirkan kreativiti dan potensi atau sebaliknya menumpukan minat anak untuk belajar.
Oleh itu, adalah sangat penting anda memilih prasekolah yang menerapkan metodologi lebih fleksibel dan menyediakan persekitaran yang mengalakkan di samping perkembangan pemikiran holistik.

sumber maklumat :Berita Harian

Tips Mengatasi Kegagalan Dalam Peperiksaan

 

 

1.    BANYAK BERDOA
Selain berusaha, pelajar perlu berdoa serta tidak lupa kepada Allah Kerana segala urusan Insya-Allah akan dipermudahkan jika kita banyak berdoa kepadanya.
2.    HORMATI IBU BAPA
Kita perlu sentiasa ingat doa ibu bapa kepada anaknya sangat mujarab, jadi jangan sesekali menyakiti hati mereka.
3.    BANYAK MEMBACA
Selain membaca untuk persediaan peperiksaan, pelajar digalakkan mempunyai buku, akhbar atau majalah tertentu yang boleh dibuat bahan bacaan dan menenangkan fikiran.
4.    RAJIN BERUSAHA DAN KOMITED
Usaha tangga kejayaan, jadi usaha yang berterusan walaupun sedikit, pasti akan membuahkan hasil.
5.    RAJIN BERTANYA
Malu bertanya sesat jalan dan rugi jika malu tak bertempat. Bertanyalah selagi anda tidak faham akan sesuatu subjek atau topik kepada guru atau rakan yang cemerlang.
6.    BUAT ULANGKAJI
Susulan membuat bacaan dan nota, ulang kaji penting untuk mengukuhkan ingatan lebih-lebih lagi apabila sudah hampir dengan tarikh peperiksaan.
7.    PEMAAF
Bagi mendapatkan keberkatan, kia digalakkan saling bermaaf-maafan sesama pelajar, guru dan ibu bapa sebelum menduduki peperiksaan. Hal ini mampu memberi ketenangan jiwa untuk menjawab soalan.
8.    SENTIASA IMPIKAN KEJAYAAN
Kegagalan bukanlah satu pilihan, jadi anda perlu sentiasa membayangkan diri anda dalam mereka yang cemerlang dan berusaha ke arah itu.


Rabu, 15 Jun 2011

Sekolah Berprestasi Tinggi

Ketika ini terdapat 20 buah sekolah berprestasi tinggi di seluruh negara. Sasaran Kementerian Pelajaran  ialah 100 sekolah berprestasi tinggi pada 2012. SBT diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 23 Julai 2009. SBTt ditakrif sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti tersendiri, unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan. Dan berikut 20 sekolah berpestasi tinggi untuk tahun 2010. Sekolah ini mempunyai tradisi budaya kerja yang cemerlang dan menjadi pilihan semua.

SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI 2010-----------------------------------------------------------
  1. SEKOLAH TUN FATIMAH, JOHOR
  2. SK BANDAR BARU UDA 2, JOHOR
  3. SM SULTAN ABDUL HALIM, KEDAH
  4. SM SULTANAH ASMA, KEDAH
  5. SK ZAINAB 2, KELANTAN
  6. SM MUZAFFAR SYAH, MELAKA
  7. KOLEJ TUNKU KURSIAH, NEGERI SEMBILAN
  8. SEKOLAH DATUK ABDUL RAZAK, NEGERI SEMBILAN
  9. KOLEJ MELAYU KUALA KANGSAR, PERAK
  10. SK CONVENT KOTA, PERAK
  11. SMS TUANKU SYED PUTRA, PERLIS
  12. SMK (P) ST GEORGE, PULAU PINANG
  13. SEKOLAH SERI PUTERI, SELANGOR
  14. KOLEJ ISLAM SULTAN ALAM SHAH, SELANGOR
  15. SMK (P) SRI AMAN, SELANGOR
  16. SMK AMINUDDIN BAKI, WP
  17. SK SERI BINTANG UTARA, WP
  18. SK TAMAN TUN DR ISMAIL 1, WP
  19. SK BUKIT DAMANSARA, WP
  20. SEKOLAH SULTAN ALAM SHAH, PUTRAJAYA
SBT sentiasa berjaya melahirkan modal insan yang holistik serta mampu bersaing di persada antarabangsa. Sekolah yang tersenarai akan diberi automoni tambahan untuk mewujudkan inovasi dalam pentadbiran sekolah dan meningkatkan keberhasilan murid.
 
23 Buah Sekolah Diiktiraf Sekolah Berprestasi Tinggi

Sekolah di pedalaman bukti kemampuan capai taraf sekolah berprestasi tinggi. Yang dimaksudkan ialah Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai, 55km dari Limbang. Pencapaian luar biasa S.K Ulu Lubai itu antara 23 sekolah dinobat SBT yang diumum Timbalan Perdana Menteri. Siapa sangka, sekolah yang serba sederhana dan jauh terpencil ini, mampu mengukir kejayaan luar biasa. Sejak 2006 pencapaiannya cemerlang dengan memperoleh kelulusan 100 peratus dalam UPSR.

SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI 2011
-------------------------------------------
 
  1. Sekolah Menengah Imtiaz, Terengganu;
  2. Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Selangor;
  3. Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Perak;
  4. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Selangor;
  5. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu, Kedah;
  6. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Pekan, Pahang;
  7. Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur;
  8. Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kelantan;
  9. Sekolah Menengah Sains Miri, Sarawak;
  10. Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur;
  11. Sekolah Menengah Sains Selangor, Kuala Lumpur;
  12. Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Pahang dan
  13. Sekolah Menengah Sains Muar, Johor;
  14. Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai, Sarawak
  15. SK Convent Muar, Johor
  16. SK Seri Biram, Pahang
  17. SK Sultan Ahmad Tajuddin, Kedah
  18. SK Setiawangsa, Kuala Lumpur
  19. SK (Perempuan) Methodist Kuantan, Pahang
  20. SK Sultan Ismail, Terengganu
  21. SK Jalan Tiga, Selangor
  22. SJKC Perempuan Cina Pulau Pinang
  23. SJKC Lick Hung, Selangor

Sebagai ganjaran, semua sekolah itu antara lain menerima wang tunai 700 ribu ringgit untuk menjalankan aktiviti sekolah. Setiap tenaga kerja pula diberi wang tunai antara 700 hingga satu ribu ringgit. Tahun lalu 20 sekolah dipilih sebagai SBT dan Kementerian Pelajaran mensasarkan untuk mengiktiraf 100 sekolah menjelang 2012.





Perbezaan Ialah Dan Adalah

Kata Pemeri ialah hendaklah digunakan di hadapan kata nama. Contoh ayat yang menggunakan kata pemeri ialah .
1. Pengetua sekolah saya ialah Puan Faridah Bt Abdullah
Kata pameri adalah digunakan di hadapan kata djektif atau kata sendi nama seperti berikut:
2. Tarikh kejohanan itu adalah pada 15 Mei 2010-05-18
3. Adalah sukar untuk beliau membuat keputusan itu.

Namun demikian kata pameri adalah tidak boleh diikuti oleh kata kerja seperti dalam ayat di bawah ini:
4. Keputusan penyertaan adalah  bergantung pada pihak pengurusan syarikat tersebut. (salah)

Kata pemeri ialah pula boleh diikuti kata kerja atau frasa kerja yang berfungsi sebagai kata nama atau frasa nama.
Contohnya:
5. Tanggungjawab ibu bapa ialah mendidik dan memberikan nafkah kepada anak-anak.
Sumber: Berita Harian

Kepelbagaian Fungsi Perkataan “Dalam”

Secara umumnya perkataan dalam tergolong sebagai kata adjektif. Namun demikian banyak penggunaan yang  tidak menyedari bahawa perkataan dalam mendukung tiga jenis kata dalam bahasa Melayu bergantung pada kedudukan dalam ayat. Lihat-ayat-ayat tersebut seperti yang di bawah ini:

1. Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa kita mesti bertindak dengan segera.
2. Perigi yang terletak di tepi sawah itu sangat dalam.
3. Ketiga guru disiplin sampai, hanya mereka berdua berada di dalam bilik kelas itu.

Dalam ayat (1), (2) san (3) di atas, perkataan dalam ayat pertama ialah kata tugas, iaitu kata sendi nama. Hal ini dikatakan demikian kerana kita tidak boleh meletakkan kata penguat, kata bantu atau kata bilangan untuk mendampingi kata berikut seperti sangat dalam hal ini, telah dalam hal ini, atau lima dalam hal ini.

Perkataan  dalam ayat (2) sememangnya dapat disertai oleh kata penguat. Oleh itu, kata tersebut ialah kata adjektif.

Dalam ayat (3) pula, perkataan dalam ialah kata nama arah yang bermaksud ruang. Perkataan ini dikatakan kata nama kerana perkataan ini hadir selepas kata sendi. Selain itu, kata nama hadir selepas kata sendi nama. Dalam Bahasa Melayu, selain kata bilangan sebagai penentu kata nama, kata sendi juga boleh menjadi penentu bagi kata nama. Tegasnya, kata dalam dalam ayat (1) ialah kata sendi, dalam ayat (2) kata adjektif dan dalam ayat (3) ialah kata nama arah.

Kesalahan yang sering dilakukan oleh pengguna bahasa ialah bahawa mereka menggunakan perkataan dalam sebagai kata hubung seperti ayat (4) dan (5) yang di bawah ini:
4. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menyelesaikan masalah yang berlaku dalam keluarga.
5. Semua calon mestilah berhati-hati dalam menjawab solan Kertas 1 Bahasa Melayu SPM.

Penggunaan perkataan dalam dalam kedua-dua ayat tersebut tidak betul. Perkataan yang tepat ialah untuk dan ketika seperti yang berikut:

 4a.   Ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk menyelesaikan masalah yang berlaku   dalam keluarga.
 5a. Semua calon mestilah berhati-hati ketika menjawab soalan Kertas 1 Bahasa Melayu SPM.

Kesimpulannya, pengguna atau pelajar mestilah mengenali kelas kata atau fungsi perkataan dalam semasa menggunakan perkataan tersebut. Kesilapan yang dilakukan oleh pengguna bahasa ialah bahawa mereka menggunakan perkataan dalam di tempat kata hubung untuk dan ketika. Oleh itu, semua pengguna hendaklah berhati-hati ketika menggunakan perkataan dalam kerana perkataan dalam bukan kata hubung.

Sumber:  Cikgu Ghalib Yunus, Berita harian

Selasa, 14 Jun 2011

Program Pensiswazahan Guru (PPG) Ambilan Khas 2011 bagi Pegawai Pendidikan Bukan Siswazah yang berumur 46 dan 47 tahun


Sukacita dimaklumkan bahawa permohonan ke Program Pensiswazahan Guru (PPG) Ambilan Khas 2011 telah dibuka bagi Pegawai Pendidikan Bukan Siswazah yang berumur 46 dan 47 tahun (pada tahun ini) di bawah lantikan SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN (SPP). Sila baca terma dan syarat-syarat permohonan dengan teliti sebelum memohon di sini. Sebarang pertanyaan dan masalah boleh hubungi Bahagian Pendidikan Guru (BPG) di 03-88841269 / 1166 / 1323 /1271 / 1272 / 1270.
Diterbitkan Oleh: Bahagian Pengurusan Maklumat

Sekolah benteng disiplin




Masalah disiplin  anak-anak muda bukan masalah baru cuma pendekatannya yang berbeza. Memang anak-anak muda zaman dulu tidak merempit, tidak akan melawan guru atau tidak memecahkan harta benda awam, tetapi kes lain seperti pergaduhan, mencuri, mencederakan rakan telah berlaku dan masih dalam ruang lingkup yang sama iaitu salah laku membabitkan pihak tersebut.

Krisis nilai di kalangan anak-anak muda kini membimbangkan pelbagai pihak. Bukan saja ibu bapa penting memikirkan anak-anak mereka terutama ketika di luar rumah, masyarakat sekeliling turut bimbang dengan pelbagai keadaan yang berlaku membabitkan remaja. Boleh dikatakan saban hari kita disogokkan dengan berita atau cerita membabitkan kanak-kanak mahupun golongan remaja dan kebanyakannya masih di bangku sekolah. Kita tidak hairan jika berita atau cerita tersebut mengenai kejayaan mereka dalam sesuatu bidang tetapi agak malang jika kita didedahkan dengan berita penangkapan mereka kerana melakukan kesalahan.

Paparan media massa tentang pelbagai salah laku termasuk jenayah memang cepat mempengaruhi kanak-kanak. Sejak kecil mereka dipengaruhi norma hidup yang mengelirukan dalam menjalani kehidupan harian dan menempuh masa depan. Segala kemelut ini mesti diberi perhatian malah diatasi dengan memberi penekanan nilai-nilai murni melalui subjek dan aktiviti luar bilik darjah yang membentuk jiwa mereka supaya menjadi masyarakat yang mampu bertahan dengan cabaran di luar kelak.

Subjek Sekolah dan Aktiviti Luar Bilik Darjah
Di sekolah antara subjek yang mengandungi penekanan nilai-nilai murni termasuk Kesusasteraan, Bahasa, Pendidikan Moral dan Agama. Subjek ini dirasakan sudah cukup membimbing murid kearah kemantapan jiwa dan sahsiah. Bagi pelajar sekolah menengah, pengenalam Komponen Sastera (komsas) sejak tahun 2000 menambahkan lagi khazanah atau pendedahan nilai-nilai murni di kalangan pelajar sejak mereka di tingkatan satu lagi. Hasil sastera baik prosa moden dan tradisional, puisi, novel dan drama menyelitkan pelbagai nilai murni yang boleh digarap pelajar.

Pelbagai aktiviti luar bilik darjah seperti persatuan, pasukan pakaian seragam dan sukan tidak kurang penting memainkan peranan membentuk murid menjadi insan yang mengamalkan nilai kerjasama, bantu-membantu, tabah, sabar dan rajin dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. Pihak sekolah mesti memastikan  setiap aktiviti ini dilibatkan pelajar dan bentuk tindakan yang mendidik perlu dikenakan jika ada pelajar enggan memberi kerjasama atau memperlekeh usaha untuk mengisi masa mereka dengan perkara berfaedah Sekolah mesti mengambil kira jalinan hubungan dengan ibu bapa sekiranya ada pelajar memandang rendah kepada setiap peraturan ditetapkan sekolah . Sekolah tidak boleh berlembut dengan ibu bapa yang selalu menyebelahi anak walaupun anak mereka melanggar peraturan sekolah.

Jika sekolah berlembut, sampai bila segala peraturan di sekolah akan di pandang tinggi oleh pelbagai pihak yang mahu mengukuhkan imej institusi pendidikan sebagai tempat untuk menimba ilmu dan membina sahsiah pelajar. Jadi apabila akhir-akhir ini kita kerap didedahkan dengan pelbagai salah laku di kalangan remaja seperti buang bayi, dadah, pergaduhan, kita tidak perlu menyalahkan sistem pendidikan sedia ada di negara ini.

Pemahaman Murid

Sebenarnya pemahaman dan penglibatan murid dalam aktiviti yang ditetapkan di sekolah sudah cukup menjadi benteng untuk menghalang mereka daripada melakukan salah laku tersebut. Sikap sesetengah pelajar yang mempunyai kefahaman cetek atau memandang ringan terhadap aktiviti luar bilik darjah menjadikan mereka liar dan tidak memahami tujuan setiap aktiviti yang dijalankan.

Kedangkalan mereka tentang pelbagai nilai yang terkandung dan terselindung disebalik kebanyakan subjek di sekolah menjadikan mereka lepas tangan atau tidak mengambil kisah tujuan sebenar setiap subjek yang mereka pelajari. Oleh hal demikian, kebejatan sosial kini perlu dilihat sebagai ancaman yang boleh menjejaskan pelbagai aspek hidup. Selain ibu bapa dan masyarakat sekeliling sekolah mesti melihat masalah ini sebagai masalah yang perlu diberi perhatian lebih serius, termasuk berusaha memperkemas sistem pendidikannya kearah melahirkan insan lebih bijak menilai yang mana kaca dan mana permata. Sejak tahun 70-an lagi, kita menyedari sistem pendidikan kita condong kearah kecemerlangan akademik. Ia dikatakan menjadi satu penghalang untuk membentuk sahsiah murid.

Kita agak ketinggalan kerana sampai sekarang kita masih melaung-laungkan perkara sama sedangkan sudah lebih tiga puluh tahun perkara ini sering diungkit. Oleh yang demikian sampai masanya kita mengubah sistem pendidikan dan persepsi tersebut supaya kita dapat mengurangkan pelbagai masalah yang membelenggu hidup pelajar di negara ini.






Ahad, 12 Jun 2011

Murid cicir ..... malas? bodoh? jahat? atau penyakit?

by Norlilah Ismail on Sunday, June 12, 2011 at 6:54pm

Masalah murid yang tercicir bukan baharu...ia dah lama berlaku. Banyak faktor yang dibincang dan dirumuskan sebagai penyebab pada isu ini.Jumlah yang terlibat bukan besar, tetapi ia memang berlaku. Ada faktor penarik di luar sana yang menyebabkan murid tidak minat ke sekolah dan ada juga faktor penolak dari dalaman sekolah yang menyumbang pada kumpulan murid ini  tidak mahu ke sekolah. Faktor kemiskinan, transport, kesihatan, keselamatan dan masalah keluarga adalah di antara faktor yang telah dikemukakan sebagai sebab pada masalah keciciran murid.

Saya cuba dekati beberapa orang murid yang terlibat dalam masalah tercicir ini, dan yang menariknya ialah hanya 20% dari faktor yang dikemukakan menjadi punca pada mereka. Y seorang murid perempuan yang agak pendiam tidak mahu hadir ke sekolah semenjak berlaku satu pertelingkahan dengan guru agama yang mengajarnya semasa di Tingkatan. Berbagai cara dan kaedah yang dilakukan oleh ibunya agar dia bersekolah semula, tetapi Y tetap tak mau. Tekanan pada ibunya melonjak naik kerana ibunya adalah guru di sekolah yang sama, dan anak cikgu sendiri tak terdaya dipujuk untuk ke sekolah. Y bukanlah murid yang lemah, tanpa bersekolah dia tetap pergi tuisyen dan buat latihan di rumah. Y akhirnya menduduki SRP ( sebelum PMR) secara persendirian dan berjaya dengan beberapa pencapaian A dalam beberapa mata pelajaran termasuklah pendidikan agama Islam. Semasa di Tingkatan 4, Y telah berjinak jinak melukis kartun dan menghantar lakaran kartunnya ke beberapa majalah, di mana akhirnya dia diterima sebagai seorang pelukis kartun sambilan dan bekerja di rumah. SPM? Y cuba bersekolah semula di Tingkatan 4, namun sebulan selepas tu dia berhenti semula dan belajar tuisyen dan mengambil SPM secara persendirian juga dan lulus agak cemerlang. Dia ditawarkan belajar di sebuah kolej yang ada program 'twinning ' dengan British Counsel" kerana dia mengikut program di situ setiap hujung minggu dan cemerlang dalam setiap ujian. Sekarang Y adalah seorang Pengarah kreatif di sebuah syarikat pengiklanan.

Guru pemupuk budaya membaca

Sumber:
1KLIK

Walau apa sahaja kecanggihan perkakasan dan perisian yang digunakan dalam sistem penyampaian maklumat, membaca merupakan satu proses yang amat diperlukan untuk mengakses, menterjemah dan akhirnya memahami maklumat tersebut.
Proses ini berlaku di sekolah dan guru merupakan sumber utama yang mampu memupuk budaya membaca ini dalam kalangan murid. Memang tidak dapat dinafikan membaca merupakan proses yang bosan serta tidak digemari oleh sebahagian besar murid-murid. Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana membaca memerlukan daya tumpuan yang tinggi. Sedangkan isi bacaan, gaya penulisan dan olahan serta susunan grafik yang terdapat pada halaman-halaman buku tersebut amat mempengaruhi daya tarikan membaca.
Tidak hairanlah kenapa buku-buku atau majalah-majalah yang mempunyai saiz huruf  yang besar serta susunan grafik yang menarik dan berwarna –warni menjadi pilihan murid-murid. Manakala buku yang terlalu tebal, saiz huruf yang kecil dan tidak mempunyai gambar, kurang digemari oleh mereka. Dalam hal ini guru harus memainkan peranan yan penting dalam usaha memupuk budaya membaca. Mereka tidak seharusnya memberi arahan sahaja  kepada pelajar untuk membaca tetapi perlu merangka aktiviti yang sesuai dan menarik agar rasa bosan dapat ditangani.
Sebagai contoh aktiviti yang dirancang oleh guru bolehlah mengandungi arahan seperti berikut:
• Mencari dan menerokaMencari maklumat dan meneroka kisah yang terdapat di dalamnya.
• Menyenarai :Menyenarai maklumat yang berkaitan dengan topic yang dibaca
• MelakarMelakar peta minda atau bentuk grafik yang lain
• MenilaiMembuat jangkaan, mengkaji kebaikan atau kelemahan dan membuat cadangan terhadap bahan bacaan tersebut.
• Mempersembah menyampaikan isi bacaan yang dilakar dalam pelbagai bentuk dan gaya persembahan seperti lakonan, bacaan berirama, berhujah dan sebagainya mengikut kesesuaian tahap masing-masing.
Aktiviti-aktiviti yang disebutkan di atas sebenarnya telah menggabungkan pelbagai deria dan gaya belajar serta mengambil kira aspek kepelbagaian kecerdasan yang ada pada seseorang  murid. Malah aspek pemikiran kritis dan kreatif serta budaya inovasi sudah digarapkan dalam aktiviti ini.
Guru seharusnya kreatif dalam proses merancang corak pembelajaran dan pemilihan media pengajaran kepada murid-murid. Kekangan masa serta hal-hal lain tidak harus dijadikan alasan kenapa pengajaran yang berasaskan sumber dan aktiviti tidak dapat dijalankan.
Perancangan yang rapi, pemilihan yang bijak  serta jiwa yang ikhlas mampu mewujud pembelajaran yang menarik dan berkesan ke arah pembentukan modal insan yang bermaklumat dan mulia.

Jati diri penting untuk berjaya

Oleh:
MD RASUL HARON
Sumber: Berita Harian


1. Mesti ada keazaman yang kukuh iaitu sikap cintakan kecemerlangan dan sentiasa mengidam-idamkan kecemerlanganAzam mestilah sentiasa dihidup dan disemarakkan hingga akhir hayat hingga kejayaan menjadi kenyataan.
2. Usaha  gigih tersusun dan sistematik Untuk mencapai kecemerlangan mesti dimulakan dengan usaha gigih iaitu dengan cara membuat perancangan teratur dan sistematik. Masa dan tenaga diperlukan dan anda harus bijak menggunakan masa.
3 Mengetahui dan mempraktikkan “study smart”
Ramai pelajar menyangkakan bahawa kejayaan hanya tercapai jika kita “study smart”. Sebenarnya di samping belajar bersungguh-sungguh kita mesti belajar secara berkesan iaitu mendapat hasil paling maksimum dan mencurahkan masa dan tenaga yang paling minimum.
Anda tidak boleh belajar secara membuta tuli dan tidak sistematik. Anda harus belajar secara berkesan.
4. Disiplin diri
Disiplin diri yang kukuh dan bertungkus-lumus dalam menghadapi cabaran dan rintangan iaitu bijak mengurus masa dan menahan diri daripada semua godaan.
5. Kemantapan jiwa, mental dan fizikal iaitu
• Cintakan kejayaan dan kecemerlangan
• Cinta ilmu dan peningkatan
• Cinta persaingan dan kemenangan
• Cinta masa dan bijak menguruskannya
• Cinta usaha dan kegigihan
• Cinta Tuhan, diri keluarga dan bangsa.

6. Tidak mudah putus asaPelajar yang cemerlang ibarat seorang jaguh sukan yang sentiasa menang dalam pertandingan yang disertainya dan tidak pernah merungut dengan kepenatan dan keletihan. Oleh itu, seseorang pemenang tidak akan mudah putus asa dan puas hati dengan pencapaian yang sederhana.
7. Penghalang ke arah kecemerlangan
Secara sedar atau tidak ramai pelajar kurang mempunyai sikap positif ke arah kecemerlangan. Penghalang kepada kecemerlangan ialah sikap  diri pelajar itu sendiri, iaitu budaya takut bertanya dan malu tidak bertempat serta mudah terjebak dengan perlakuan negatif. Antara ungkapan negatif ialah :

• Cemerlang bukan miliku
• Berasa cukup dengan apa yang ada
• Tewas sebelum berjuang dan malas berusaha
• Suka menangguhkan kerja
• Kecemerlangan bukan memerlukan otak yang geliga
• Tidak perlu jadi ulat buku dan antisosial untuk berjaya

Konsep-konsep pendidikan anak

Oleh:
MD RASUL HARON
Sumber:
1KLIK
Falsafah pendidikan awal kanak-kanak yang berteraskan kepada pendekatan integratif tersebut jika diteliti secara mendalam adalah di dasarkan kepada konsep-konsep berikut yang disepadukan antara dua pandangan:

1. Pembinaan akhlak dan pembentukan sahsiah
2.  Bermain adalah tugas utama kanak-kanak
3. Kanak-kanak adalah individu yang unik dan berbeza antara satu sama lain.
4. Rangsangan neurologi dan deria melalui penglibatan yang aktif dalam setiap aktiviti.
5. Memberi kebebasan dan ruang kepada kanak-kanak bagi mengenal pasti apa yang mereka mahu dan mampu lakukan.
6. Memenuhi keseimbangan keperluan rohani, fisiologi, psikologi dan pembesaran fizikal kanak-kanak.
7. Persekitaran yang kondusif, ceria dan selamat.
8. Keprihatinan terhadap persekitaran dan penyediaan pemakanan yang sihat dan bersih.
9. Menghormati kepelbagaian dan hak-hak yang sama rata.

Membentuk tabiat positif

Oleh:
MD RASUL HARON
Sumber: Utusan Malaysia

Sesungguhnya tabiat seseorang itu mempengaruhi tindakan serta prestasi diri sepanjang tahun. Sebagai seorang murid anda harus membentuk tabiat positif di awal tahun lagi agar segala tindakan anda mampu memberi kesan yang positif ke arah peningkatan prestasi dalam pembelajaran.
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Begitulah pepatah melayu yang memberi maksud bahawa sesuatu kesedaran harus berlaku di peringkal awal agar mencukupi masa untuk membetulkannya. Oleh itu bagi diri murid membentuk sikap positif itu haruslah dilakukan sekarang agar ia dapat memberi ruang meningkatkan prestasi diri tanpa berasa bosan atau menggunakan faktor masa sebagai alasan. Di antara tabiat positif yang perlu dibentuk ialah seperti berikut:
• Positif terhadap kesukaran yang dihadapi: Terdapat segelintir murid yang menggunakan alasan bahawa belajar itu amat sukar untuk difahami. Memang betul dalam proses pembelajaran pelbagai kesukaran dan kesusahan akan dihadapi. Menghafal sifir, menghafal formula, mengingati fakta, mencari bahan isi karangan, melakar peta minda, menyelesai masalah matematik dan sebagainya adalah sukar. Walau bagaimanapun murid-murid harus ingat apa sahaja yang dilakukan itu sukar jika tidak dilatih dengan kaedah-kaedah tertentu. Seorang anak kecil amat sukar untuk berjalan tanpa bimbingan dan kaedah yang tertentu yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Oleh itu ingatlah bahawa sebarang kesukaan itu hanyalah untuk sementara waktu sahaja dan memerlukan usaha untuk mencari kaedah jalan penyelesaiannya.
• Peka terhadap masa: Masa berjalan dengan begitu pantas tanda disedari. Oleh itu rugilah bagi mereka yang tidak peka terhadap perjalanan masa. Untuk mengelakkan kita menjadi rugi maka seseorang murid harus membuat perancangan masa untuk mengatur aktiviti harian agar ia dapat dipenuhi dengan lebih bermakna. Jadual waktu belajar di rumah, jadual aktiviti kokurikulum, jadual untuk aktiviti rekreasi harus dibina, dipatuhi dan dilaksanakan dengan sepenuhnya tanpa bertangguh-tangguh. Sifat bertangguh-tangguh seperti bertangguh untuk membuat kerja rumah, bertangguh untuk belajar, bertangguh untuk bertanya adalah diantara punca kepada pembaziran masa. Akhirnya semua kerja tidak beres dan istilah kesuntukan masa dijadikan alasan kegagalan dalam melaksanakan sesuatu tugasan.
• Yakin terhadap kebolehan diri: Allah mencipta manusia untuk mencapai kejayaan. Oleh itu sejak kecil kita dilahirkan sudah difitrahkan oleh Allah iaitu kebolehan atau potensi untuk digunakan sebagai penentu kejayaan. Kebolehan dan potensi ini harus diterokai, dicungkil dan diusaha dengan penuh keyakinan untuk mendapatkan hasilnya. Keyakinan merupakan tenaga dalaman yang mampu menjana minda dan menggerak segala anggota untuk berusaha mencapai apa yang diingini. Seseorang yang tidak yakin terhadap dirinya akan sentiasa mengalah, tidak mahu mengambil bahagian secara aktif dalam sebarang aktiviti serta mudah berputus asa, selalu meyindiri kerana beranggapan dirinya hina jika dibandingkan dengan orang lain
• Berani mencuba untuk kebaikan: Ramai murid berasa malu untuk bertanya atau berasa tersinggug apabila berlakunya sesuatu kesilapan ketika belajar di mana sifat ini harus dikikis dari peringkat awal lagi. Malu bertanya sesat jalan!. Itulah gambaran yang diberikan dalam pepatah melayu yang membawa maksud seseorang yang malu untuk mendapatkan maklumat akhirnya agal menemui kegagalan.
Pembentukan tabit positif ini haruslah diberi penekanan di awal tahun lagi agar segala masalah dapat dibendung dan dapat dijadikan sebagai ikhtibar dalam menghadapi cabaran yang pastinya menguji kita dalam usaha mengapai kejayaan.

Cara tingkatkan prestasi pelajaran




Jangan cepat berputus asa, orang yang berjaya tidak semestinya mempunyai otak geliga, jadi apa yang perlu untuk mencapai kecemerlangan ialah;
Mesti ada keazaman yang kukuh iaitu sikap dahagakan ilmu dan sentiasa mengidamkan kecemerlangan ialah:
• Mesti ada keazaman yang kukuh iaitu sikap dahagakan ilmu dan sentiasa mengidamkan kecemerlangan. Azam mestilah sentiasa membara dan disemarakkan hingga ke akhir hayat sehingga kejayaan benar-benar menjadi kenyataan.
• Perlu berusaha keras namun sistematik. Bagi mencapai kecemerlangan, mesti dimulakan dengan usaha berterusan iaitu dengan membuka perancangan teratur. Pembahagian masa yang baik dan tenaga mencukupi diperlukan untuk menjalani usaha itu. 
• Mengetahui dan mempraktikkan ‘study smart’. Ramai pelajar menyangkakan kejayaan hanya tercapai jika kita ‘study hard’ namun sebenarnya di samping belajar bersungguh-sungguh, kita mesti mempunyai perancangan secara berkesan. Maksudnya dengan mendapat hasil maksimun menggunakan masa serta tenaga minimun. Anda tidak boleh belajar secara membuta tuli. Buat perancangan supaya apa yang dipelajari mudah difahami.
• Disiplinkan diri juga penting dalam menghadapi cabaran dan rintangan iaitu dari segi pengurusan masa dan menahan diri daripada perkara melalaikan.
• Kemantapan jiwa, mental dan fizikal iaitu:
a) Cintakan kejayaan dan kecemerlangan
b) Cinta ilmu dan peningkatan
c) Cinta persaingan dan kemenangan
d) Cinta masa dan bijak menguruskannya
e) Cinta usaha dan kegigihan
f) Cinta Tuhan, diri, keluarga dan bangsa.
Otak yang cerdas datangnya dari badan yang cergas dan jiwa yang tenang
• Tidak mudah putus asa. Pelajar cemerlang ibarat seorang jaguh sukan yang sentiasa menang dalam pertandingan disertainya dan tidak pernah merungut kepenatan atau keletihan. Justeru, seseorang pemenang tidak mudah putus asa dan berpuas hati dengan pencapaian sederhana.

sumber maklumat :Berita Harian

Jika masa berundur















jika
masa berundur
apakah yang bersalah
akan perbetulkan langkah?
apakah yang susah
akan mencari kesenangan?

Jika
masa berundur
mampukah aku
bersedia..
mencari segala
mengikut rasa
memilih
yang berkenan di hati
dengan simpulan mati
yang tak mungkin terlepas lagi

Jika
masa berundur
berilah ruang untuk aku bersyukur
berilah teman yang berani menegur
berilah cahaya meluput kabur
berilah peluang
untuk ku
undur!!

nukilan
Norlilah Ismail

Sabtu, 11 Jun 2011

Cabaran hebat ibu bapa menangani salah laku remaja


Sumber:
1KLIK
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sejak dua tahun lalu, seramai 1,383 kanak-kanak dan remaja bawah umur 18 tahun hilang dan belum dapat dikesan. Siasatan mendapati kehilangan mereka bukan membabitkan kes culik, tetapi disebabkan faktor lain.
Antara punca dikenal pasti ialah mereka terpengaruh dengan kawan, melarikan diri kerana mengikuti kekasih dan mahu hidup bebas tanpa kongkongan keluarga. Dalam dunia yang semakin moden dan mencabar, kes salah laku di kalangan kanak-kanak dan remaja semakin meningkat dan tidak pernah selesai serta menuntut perhatian serius semua pihak terutama ibu bapa.


Ibu bapa yang tinggal di bandar atau di luar bandar mereka juga menghadapi masalah sama. Bagi ibu bapa bekerja tugas mereka menjadi lebih rumit kerana masa anak remaja mereka sama ada ketika di rumah atau di luar menjadi lebih panjang tanpa pengawasan. Oleh itu, pemantauan ke atas anak remaja mereka tidak boleh dilakukan seratus peratus.  Bagaimanapun apa yang boleh dipersoalkan ialah sejauh mana sekolah mampu mengekang pelbagai masalah membabitkan golongan remaja memandangkan kes perlanggaran disiplin di sekolah juga turut meruncing sekarang.
Golongan remaja kini mempunyai pelbagai alasan untuk keluar rumah kerana mereka juga mempunyai banyak aktiviti sama ada membabitkan tugasan sekolah, berbincang dengan rakan mengenai pelajaran dan pelbagai aktiviti lain. Cabaran hebat ibu bapa zaman moden ini bukan hanya di luar rumah tetapi juga di rumah. Anak celik komputer dan internet boleh melayari apa saja bahan dalam internet sehingga ada yang melangkah ke alam yang tidak patut mereka layari. Di luar rumah walaupun pengusaha kafe siber memantau setiap aktiviti pengunjungnya terutama remaja, tetapi banyak masa yang mereka buang di pusat tersebut Tidak hairan jika pada musim cuti sekolah, kafe siber dipenuhi golongan remaja.
Oleh sebab peningkatan kes membabitkan kanak-kanak dan remaja, kes salah laku membabitkan golongan ini mesti dibendung atau dikurangkan demi masa depan golongan itu.  Ibu bapa pula walaupun ada kekangan dari segi masa untuk memantau anak mereka, mereka mesti mencari kaedah lain untuk membentuk tingkah laku anak remaja mereka. Anak mesti dibekalkan dengan peribadi mulia supaya apa jua anasir yang mempengaruhi anak mereka tidak akan menembusi sahsiahnya.
Guru dan sekolah yang dianggap sebagai tempat menimba ilmu mesti berusaha memperkukuh matlamat pendidikan termasuk menyusun pelbagai aktiviti pelajar supaya pelajar lebih terikat dengan institusi tersebut. Kegiatan kokurikulum mesti berjaya menarik minat pelajar supaya datang ke sekolah selepas waktu persekolahan dengan harapan masa pelajar terisi dengan perkara yang mampu membentuk sahsiah dan masa depan mereka.
Kanak-kanak dan remaja sendiri sebagai golongan yang bakal menjadi pemimpin atau warga yang bakal menentukan jatuh bangun negara, mereka mesti mempunyai kesedaran tentang peranan yang mereka mainkan. Mereka hendaklah memanfaatkan masa dengan aktiviti berfaedah dan mencorakkan masa depan selari dengan sebuah negara pesat membangun.
Kesimpulannya bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup, mereka wajib menghormati ibu bapa, guru, orang lebih tua, masyarakat sekeliling dan memiliki perasaan cinta negara yang tertanam kukuh dalam jiwa.

ICT pupuk kemahiran abad ke-21

Sumber:
1KLIK

Sebagai seorang penjaga, pendidik atau pekerja pada era ini, kebanyakan dari kita memang tidak dapat lari daripada ungkapan-ungkapan berhubung kepentingan kemahiran abad ke -21. Secara ringkasnya, pendidikan atau pembelajaran abad ke-21 berkitar pada pendapat bahawa persekolahan selama 150 lalu ialah ciptaan abad ke-19.


Persekolahan kita harus diubah seiring dengan permintaan ekonomi terkini. Sekolah kemahiran dan pembelajaran yang direka untuk menyediakan pelajar untuk bekerja dan hidup dalam ekonomi perindustrian perlu pemikiran baharu.
Perubahan diperlukan untuk memenuhi keperluan masyarakat sekarang yang banyak dipengaruhi oleh dunia yang dicorakkan oleh pembangunan teknologi. Pemikiran ini merujuk pada pandangan bahawa pembelajaran patut memanfaatkan teknologi untuk pedagogi terkini yang lebih prihatin kepada ciri-ciri pelajar sekarang. Penekanan perubahan pendidikan yang dimaksudkan mengaitkan kemahiran abad ke-21 dengan peranan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Kebanyakan kemahiran abad ke-21 adalah berdasarkan kepada pendedahan terhadap ICT. Jika dahulu, literasi cuma merangkumi membaca, menulis, dan mengira, literasi abad ke-21 melibatkan literasi digital. Guru memainkan peranan utama dalam membimbing pelajar untuk melayari internet, mencari laman sesawang, memilih perisian yang sesuai dan mengumpul serta mengulas maklumat. Dengan bimbingan guru juga kesedaran global pada era digital sepatutnya mudah dicapai dan seharusnya meningkat.
Pembelajaran berasaskan projek (project-based learning) adalah satu pendekatan P&P yang boleh memupuk kemahiran tersebut. Topik-topik tertentu dalam mata pelajaran Sejarah dan Sains contohnya boleh diberi sebagai tugasan projek di mana pelajar perlu mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber.
Tugasan menerusi pembelajaran berasaskan projek juga menggalakkan komunikasi interaktif. Pelajar berbincang dan berkongsi maklumat mengenai projek bersama rakan dan guru secara bersemuka atau atas talian menerusi pelbagai alat media sosial seperti e-mel, Facebook atau blog.
Sumber terbaik bagi membina kemahiran komunikasi interaktif seperti kemahiran sosial dan peribadi, semangat berpasukan dan kolaborasi adalah menerusi lima bentuk teknologi era digital iaitu mobility (bergerak) seperti telefon pintar, connectivity (penyambungan) seperti WiFi, rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter, enjin carian seperti Google dan Yahoo, dan portal perkongsian maklumat seperti Wikipedia dan YouTube.
Jelas sekali bahawa pembangunan abad ke-21 dalam kalangan pelajar memerlukan perubahan pada pendekatan pendidikan. Perubahan ini boleh berlaku di peringkat sekolah atau bilik darjah.  Walau bagaimanapun, perubahan di peringkat sekolah atau bilik darjah memerlukan kesedaran dan kemahiran di kalangan guru dan pentadbir. Program pengurusan perubahan dan kajian semula program latihan guru adalah perkara-perkara asas yang perlu disediakan ke arah pendidikan, persekolahan dan kemahiran abad ke-21.

Jumaat, 10 Jun 2011

Cabaran profesion Perguruan

Oleh:
1Klik



Profesion keguruan adalah satu bentuk perkhidmatan sosial yang amat mencabar malah terdapat pelbagai tanggapan dan dakwaan berhubung profesion perguruan dewasa ini. . Ada yang melihat sekolah sebagai sebuah organisasi  yang dihujani pelbagai bebanan tugas dan ada kalanya bentuk tugasan ini bukan yang terancang tapi sesuatu tidak terduga. Pandangan sebegini pasti akan menyebabkan reputasi profesion perguruan yang sentiasa dipandang tinggi dan mulia terjejas.

Guru profesion adalah seseorang yang tahu menghasilkan kerja bermutu tinggi dalam bidangnya serta sentiasa bersedia berkongsi kepakarannya di samping sentiasa berusaha memperbaiki dirinya. Matlamat kerjaya seorang guru ialah menghayati prinsip perkembangan yang berterusan. Impak daripada tugas yang dilaksanakan ternyata memberi sumbangan yang amat penting dalam pembangunan ekonomi dan masa depan generasi muda khususnya dalam konteks pembinaan modal insan. Seseorang guru perlu melalui beberapa peringkat dalam kerjayanya sebelum dapat mencapai ke tahap kepakaran atau kecemerlangan .

Antara cabaran yang perlu ditangani para pendidik kini adalah untuk melahirkan masyarakat bersatu padu, berilmu pengetahuan dan berdaya saing. Ini kerana masyarakat kini bersifat dinamik dan progresif serta mula menyedari  bahawa pendidikan adalah alat penting untuk menjamin kesejahteraan hidup pada masa akan datang.

Pada asasnya profesion keguruan sejak dulu, kini dan selamanya adalah sama iaitu mengajar, mendidik serta merubah manusia yang bernama pelajar daripada keadaan tidak mengenal huruf, mengira dan membaca kepada celik huruf, bijak dan menjadi manusia berjaya. Tapi kenapa kini pandangan masyarakat terhadap guru dan profesionnya mula berubah. Jika dulu mereka dipandang tinggi tapi kini seakan-akan terpinggir. Perkembangan dan perubahan yang berlaku dalam bidang pendidikan hari ini menuntut perubahan perspektif masyarakat terhadap kerjaya ini.

Profesion keguruan tidak boleh dianggap sebagai satu kerjaya yang boleh diceburi sesiapa saja kerana hanya mereka mempunyai kualiti, berketerampilan, kewibawaan, kelayakan, minat. Iltizam, dan berjiwa pendidik layak menjadi guru.
Di samping menuntut kesungguhan dan tanggungjawab guru dalam mengharungi cabaran di era globalisasi, pemantapan kebajikan dan kerjaya harus diberikan penekanan sewajarnya.

Perkongsian Ilmu: Jawapan guru apabila ditanya murid tentang tarif elektrik baru

Oleh:
UTUSAN SARAWAK




Kenaikan purata 5.12 peratus disebabkan peningkatan harga gas asli kepada
sektor tenaga
sebanyak 28 peratus daripada RM10.70/mmBTU kepada RM13.70/mmBTU)

BILAKAH tarif elektrik yang baru akan berkuat kuasa?
Tarif elektrik yang baru akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2011. Semasa tempoh peralihan, iaitu dalam bulan pertama kadar tarif baru berkuat kuasa, bil elektrik akan dikira berdasarkan kaedah prorata. Dengan kata lain, penggunaan elektrik sebelum tarikh kuat kuasa akan dikira berdasarkan kadar tarif lama manakala penggunaan elektrik selepas tarikh kuat kuasa adalah berdasarkan kadar tarif yang baru.
Berapakah kenaikan tarif elektrik pada semakan tarif kali ini?Kadar tarif purata akan meningkat sebanyak 7.12 peratus. Kenaikan ini disebabkan oleh:
  • Kenaikan purata 5.12 peratus disebabkan peningkatan harga gas asli kepada sektor tenaga sebanyak 28 peratus daripada RM10.70/mmBTU kepada RM13.70/mmBTU)
  • Kenaikan purata sebanyak 2.0 peratus bagi menampung sebahagian daripada kenaikan kos pembekalan elektrik sejak semakan tarif asas yang kali terakhir dilaksanakan pada Jun 2006
  • Pakej ulangkaji tarif ini juga merangkumi kadar dan diskaun tambahan seperti berikut:
  • Diskaun 10 peratus ke atas bil elektrik bulanan yang sedang dinikmati sekolah dan institusi pengajian tinggi Kerajaan, rumah ibadat dan badan kebajikan yang berdaftar dengan Kerajaan dikekalkan. Diskaun 10 peratus ini juga akan diberikan kepada institusi pengajian yang ditaja sebahagiannya oleh Kerajaan.
  • Pengguna Thermal Energy Storage (TES) akan menikmati kadar diskaun lebih tinggi untuk penggunaan dalam tempoh luar puncak.
Pengurangan kadar Firm Standby untuk Co-generators bagi menggalakkan inisiatif Teknologi Hijau, Kecekapan Tenaga (Energy Efficiency) dan Demand Side Management (DSM).
Syarikat rawatan air, pengagihan air dan pembentungan akan dikategorikan di bawah Tarif Perindustrian.
Sejajar dengan Akta Tenaga Boleh Baharu yang telah diluluskan pada April 2011, Kerajaan akan mengenakan 1 peratus bagi Feed-in-Tariff (FiT) untuk Dana Tenaga Boleh Baharu (RE) yang akan berkuat kuasa mulai 1 September 2011. Dana itu akan digunakan untuk promosi dan pembangunan projek dan inisiatif berhubung Tenaga Boleh Baharu. Dana ini akan diuruskan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Sustainable Energy Development Authority, SEDA) di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
Berapakah purata kenaikan bil tarif elektrik yang dialami oleh setiap segmen pengguna?
  • Pengguna Perindustrian akan mengalami kenaikan purata sebanyak 8.35 peratus (dalam lingkungan 6.2 peratus sehingga sekitar 10 peratus).
  • Pengguna Perdagangan akan mengalami kenaikan purata sebanyak 8.35 peratus (dalam lingkungan 6.2 peratus sehingga sekitar 8.35 peratus).
  • Pengguna Domestik/Kediaman dengan penggunaan bulanan tidak melebihi 200kWj tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif. Pengguna Domestik/Kediaman dalam jaluran ini akan terus menikmati kadar subsidi 21.8 sen/kWj.
  • Pengguna dengan penggunaan 300kWj sebulan dan ke bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif
Dengan ini, tiada kenaikan tarif kepada 75 peratus pengguna (4.4 juta pengguna):
  • Tiada kenaikan tarif kepada Jaluran Penggunaan Asas (Lifeline Band) (3.3 juta pengguna)
  • Tiada kenaikan tarif kepada jaluran 201 – 300kWj (1.1 juta pengguna)
Apakah impak terhadap pengguna Jaluran Penggunaan Asas (Lifeline Band)?
Jaluran Penggunaan Asas (Lifeline Band) dikekalkan pada 200kWj sebulan.
Pengguna Domestik/Kediaman dalam jaluran 1 hingga 200kWj sebulan tidak pernah mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik semasa semakan-semakan tarif sejak tahun 1997 lagi. Kira-kira 3.3 juta isi rumah akan terus menikmati kadar subsidi pada 21.8 sen/kWj. Jumlah isi rumah ini meliputi kesemua 200,000 isi rumah miskin (pendapatan tidak melebihi RM750 sebulan).
Apakah rasional utama kenaikan tarif kali ini?
Kenaikan tarif elektrik pada kali ini sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh kenaikan harga gas asli kepada sektor tenaga daripada RM10.70/mmBTU kepada RM13.70/mmBTU mulai berkuat kuasa 1 Jun 2011.
Kenaikan harga gas asli ini adalah selari dengan keputusan Kerajaan berhubung mekanisme penetapan harga gas asli yang mana harga gas asli disemak secara berkala berpandukan kepada trend harga pasaran semasa.
Memandangkan 50 peratus daripada campuran kos bahan api (fuel cost mix) untuk pembekalan elektrik adalah daripada gas asli (TK2010), pertambahan kos bahan api disebabkan oleh semakan harga gas ini menyumbang kepada kenaikan tarif elektrik pengguna.
Salah satu komponen utama lain dalam kos bahan api TNB ialah kos arang batu ( 48.3 peratus daripada campuran kos bahan api pada TK2010).
TNB hanya mendapat balik sebahagian daripada kos pembelian arang batu kerana semakan tarif kali ini masih berdasarkan kepada harga arang batu pada USD85/tan CIF (CV5500 kcal/kg) (sebagaimana harga yang digunapakai semasa semakan tarif pada Mac 2009) walaupun harga purata arang batu bagi enam bulan pertama TK2011 adalah USD100/tan CIF dan pada ketika ini harga arang batu adalah sekitar USD 120/tan CIF.
Nota: CIF: Cost, Insurance & Freight
Ketika pengumuman keputusan kewangan baru-baru ini, TNB telah mencatatkan keuntungan. Mengapakah TNB masih memerlukan semakan tarif asas?
Kali terakhir semakan tarif asas dibuat ialah pada Jun 2006. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kos pembekalan elektrik mengalami peningkatan terutama disebabkan kos yang di luar kawalan termasuklah kos modal, peralatan dan bahan, inflasi, kos pertukaran wang asing dan kos pembangunan infrastruktur pembekalan elektrik.
Pada ketika ini, pulangan (Return on Ratebase, RoRB) TNB adalah jauh lebih rendah daripada kos modalnya (Weighted Average Cost of Capital, WACC) dan dijangka akan terus merosot sekiranya tarif asas semasa dikekalkan. Semakan tarif asas diperlukan untuk memastikan supaya Industri Pembekalan Elektrik di Malaysia terus berdaya maju.
Pinjaman TNB pada masa kini adalah tinggi sekitar RM21.3 bilion pada 2010. TNB juga memerlukan perbelanjaan modal sekitar RM4 bilion hingga RM5 bilion setahun untuk pembangunan infrastruktur pembekalan elektrik pada masa hadapan.
Adakah Kerajaan akan terus memberikan rebat elektrik kepada pengguna Domestik/Kediaman yang menggunakan elektrik kurang daripada RM20 (bersamaan dengan 91.7 kWj) sebulan?
Rebat daripada Kerajaan kepada pengguna Domestik/Kediaman yang menggunakan elektrik sehingga RM20 sebulan akan dikekalkan sehingga 31 Disember 2011.
Mengapa TNB masih menggunakan arang batu sedangkan harga arang batu terus meningkat?
Di bawah Polisi 5- Bahan Api Kerajaan, TNB perlu mempelbagaikan sumber bahan api dan ini termasuklah dengan menggunakan arang batu sebagai salah satu opsyen. Ini adalah untuk mengurangkan kebergantungan TNB kepada gas asli kerana sumber itu semakin menyusut. Di samping itu, polisi untuk mempelbagaikan sumber bahan api adalah bagi menjamin keselamatan bekalan tenaga jangka panjang untuk negara.
Keputusan Kerajaan untuk membina loji janakuasa berasaskan arang batu telah dibuat pada awal 1980-an yang pada ketika itu harga arang baru adalah lebih rendah. Walau bagaimanapun peningkatan permintaan komoditi sejak akhir-akhir ini telah menyaksikan peningkatan harga komoditi (arang batu dan lain-lain) sehingga ke paras yang tinggi.
Mengapa TNB tidak mempertimbangkan opsyen penjanaan tenaga yang lain seperti solar, angin dan biomass?
TNB telah menjana elektrik daripada sumber bersih seperti hidro, hidro mini dan sisa-sisa buangan. Di antara projek tenaga boleh baharu (RE) utama yang bakal dilaksanakan kelak ialah projek hidro Hulu Terengganu dan Ulu Jelai dan juga loji janakuasa berasaskan biomass yang dibangunkan dengan kerjasama Felda dan juga projek pilot solar PV berkapasiti 5MW di Putrajaya.
Walau bagaimanapun, penjanaan elektrik daripada sumber RE adalah lebih mahal (iaitu tidak berdaya saing) berbanding dengan sumber konvensional terutama bagi penjanaan elektrik berskala besar. Selain daripada itu, teknologi terkini RE hanya membolehkan penjanaan tenaga dalam kapasiti dan skala yang terhad.
Adalah dijangkakan bahawa pelaksanaan mekanisme Feed-in-Tariff (FiT) kelak akan membantu perkembangan dan pembangunan penjanaan elektrik daripada sumber RE di Malaysia.
Bagaimana saya boleh menjimatkan bil elektrik?
TNB menggalakkan para pengguna untuk menggunakan elektrik secara cekap. Sebagai contoh, pengguna boleh menggunakan lampu dan peralatan elektrik yang lebih cekap tenaga. Peralatan yang berkadaran kuasa tinggi seperti pemanas, penghawa dingin dan motor industri haruslah digunakan secara berhemah untuk menjimatkan tenaga. Pengguna juga disarankan untuk bertukar kepada peralatan-peralatan yang mempunyai kecekapan tenaga yang tinggi.
Adakah TNB akan terus memberi diskaun kepada badan-badan kebajikan?
TNB akan terus memberikan diskaun sebanyak 10 peratus kepada sekolah-sekolah Kerajaan, institusi-institusi pengajian tinggi Kerajaan, rumah-rumah ibadat dan institusi-institusi kebajikan yang berdaftar dengan Kerajaan. Di samping itu, diskaun sebanyak 10 peratus ini akan turut ditawarkan kepada institusi-institusi pengajian yang ditaja sebahagiannya oleh Kerajaan.
Mengapakah pengguna Tarif Industri Khas (TIK) mengalami peningkatan yang sedikit lebih tinggi berbanding pengguna Perindustrian biasa?
Ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mengurangkan pemberian subsidi kepada industri secara berperingkat-peringkat. Walaupun dengan peningkatan kadar tarif yang sedikit lebih tinggi ini, pengguna TIK akan terus menikmati kadar tarif diskaun yang lebih rendah jika dibandingkan dengan pengguna Perindustrian biasa. Perbandingan tarif Perindustrian di negara serantau menunjukkan bahawa tarif Perindustrian TNB yang baru ini masih lagi kompetitif.
Saya adalah seorang pengguna Co-generator. Bagaimanakah tarif baru ini memberi kesan kepada saya?
Untuk tarif elektrik yang baru ini, kadar baru dikenakan untuk caj Top-Up dan caj Standby. Perbezaan utama dalam tarif baru ini ialah tiada lagi caj-caj Firm dan Non-Firm untuk Standby sebaliknya hanya satu caj Standby sahaja akan dikenakan.
Kadar Standby yang baru (seperti 1 Jun 2011) akan dikenakan kepada pengguna-pengguna berikut:
  • Semua Co-generator yang baru; dan
  • Co-generator sedia ada yang berhasrat untuk bertukar kepada kadar Standby yang baru ini.
Bagi Co-generator sedia ada yang ingin mengekalkan kadar Standby (Firm dan Non-Firm) seperti sebelum ini, mereka akan dikenakan kadar Standby (Firm dan Non-Firm) sebagaimana sebelum ini bersama-sama dengan kadar Top-Up yang baru (bermula 1hb Jun 2011).
Apakah Feed-in-Tariff?
Feed-in-Tariff (FiT) akan diperkenalkan untuk mempromosi pembangunan Tenaga Boleh Baharu (RE) di Malaysia berkuatkuasa 1 September 2011.
Kutipan FiT akan digunakan untuk membiayai Dana RE yang akan diuruskan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Sustainable Energy Development Authority, SEDA) di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. SEDA adalah badan yang bertanggungjawab untuk mengurus dan menyelia hal berkaitan RE dan FiT di Malaysia.
Dana RE itu akan digunapakai untuk merangka kadar-kadar FiT yang cukup menarik untuk menggalakkan syarikat dan pihak individu melabur dalam penjanaan daripada Sumber Tenaga Boleh Baharu. Walau bagaimanapun, FiT bukanlah bertujuan untuk membolehkan pemaju-pemaju RE mengaut keuntungan berlebihan. Ia sebaliknya adalah untuk mengatasi halangan-halangan pasaran supaya rakyat boleh bersama-sama Kerajaan menyumbang kepada penjanaan tenaga hijau, dalam masa yang sama dapat menjamin tahap keselamatan pembekalan elektrik negara di samping menjana peluang ekonomi baru.
Apakah tujuan pelaksanaan FiT?
Pada ketika ini, penjanaan elektrik daripada sumber RE adalah sangat mahal dan tidak kompetitif berbanding loji janakuasa berkapasiti besar yang menggunakan sumber konvesional bahan api fosil. Kos per unit yang lebih tinggi ini menyebabkan pelaburan dalam RE tidak menarik minat para pelabur dan utiliti elektrik.
Pelaksanaan FiT bertujuan menggalakkan pertumbuhan RE di Malaysia. Kutipan FiT ini akan digunakan untuk memberi subsidi perbezaan harga antara kadar tarif premium dengan harga jualan seunit elektrik yang pada ketika ini dinikmati oleh pemaju-pemaju RE di bawah program REPPA (harga jualan maksimum pada 21 sen/kWj).
Mekanisme FiT telah dilaksanakan dengan jayanya di negara-negara seperti Jerman dan Sepanyol dan telah dikenal pasti sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan RE di negara-negara tersebut.
Apakah itu mekanisme Pelepasan Kos Bahan Api (Fuel Cost Pass-Through, FCPT)?
Kerajaan akan memperkenalkan mekanisme Pelepasan Kos Bahan Api (Fuel Cost Pass-Through, FCPT) bagi sektor pembekalan elektrik.
Mekanisme FCPT membolehkan utiliti elektrik memindahkan kos bahan api untuk penjanaan elektrik yang disebabkan oleh ketidaktentuan harga bahan api (gas asli dan arang batu) kepada para pengguna dengan menaikkan atau menurunkan tarif elektrik. Pertambahan kos bahan api disebabkan oleh kenaikan harga bahan api akan menyebabkan tarif elektrik meningkat. Sebaliknya penurunan/penjimatan dalam kos bahan api akan dipulangkan kembali kepada para pengguna dengan pengurangan tariff elektrik. Mekanisme ini telah digunapakai oleh utiliti-utiliti di banyak negara seperti Singapura, Thailand, Filipina, Jepun, USA (contohnya Florida) dan Eropah.
Mekanisme FCPT akan dilaksanakan setiap enam (6) bulan sekali selari dengan kajian semula harga gas asli setiap enam (6) bulan yang mana turut mengambil kira harga pasaran arang batu dan minyak semasa.
Bagaimanakah tarif elektrik yang baru ini dapat menggalakkan lagi Teknologi Hijau?
Pengguna Thermal Energy Storage (TES) ditawarkan kadar diskaun yang lebih tinggi untuk penggunaan elektrik luar puncak (kadar diskaun meningkat daripada 1.5 sen/kWj kepada 3.5 sen/kWj).
Selain daripada itu, kadar Firm Standby untuk Co-generator dikurangkan bagi menggalakkan inisiatif-inisiatif penggunaan Teknologi Hijau, Kecekapan Tenaga (Energy Efficiency, EE) dan Demand Side Management (DSM). Pengurangan kadar Firm Standby adalah daripada RM25/kW sebulan kepada RM12/kW sebulan (bagi pepasangan Co-generator Voltan Tinggi) dan RM14/kW sebulan (bagi pepasangan Co-generator Voltan Sederhana)

Pelajar cedera dibelasah buruh binaan Indonesia

UTUSAN SARAWAK
6 JUN 2011

MIRI: Seorang pelajar Tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di sini dibelasah teruk oleh sekumpulan buruh binaan Indonesia selepas mangsa enggan menyerahkan dompet dan telefon bimbitnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam kelmarin, berhampiran Taman Jelita dan Taman Tunku, mangsa, Hillary Janang dari Taman Tunku mahu berjumpa dengan tiga rakan di kawasan berdekatan.
Hillary ketika ditemui berkata, ketika itu dia bersama seorang kawannya baru balik dari berkunjung ke rumah seorang kawannya sempena Hari Gawai di kawasan berdekatan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya sangat terkejut dan tidak menyangka rupa-rupanya tiga sahabat saya sedang dibelasah dan diperas ugut oleh sekumpulan lelaki Indonesia terdiri daripada kira-kira enam hingga tujuh orang menggunakan kayu dan parang.
“Melihat kehadiran saya ketika itu, kumpulan lelaki terbabit terus bertindak mengejar saya yang ketika itu sedang menunggang motosikal.
“Saya tidak sempat memecut laju menyebabkan motosikal yang ditunggang terjatuh sebelum mereka membelasah dan memeras ugut supaya menyerahkan dompet dan telefon bimbit saya,” katanya ketika ditemui.
Menurut Hillary, oleh kerana berdegil tidak mahu menyerahkan dompet dan telefon bimbit serta berusaha melawan, dia terus dibelasah teruk oleh kumpulan lelaki terbabit.
Hillary berkata, meskipun cuba merayu supaya tidak dipukul namun kumpulan lelaki terbabit tanpa belas kasihan terus memukulnya sehingga menyebabkan dia hampir pengsan sebelum diselamatkan oleh penduduk kampung.
“Ketika saya sedang dibelasah teruk, semua sahabat saya sempat melarikan diri untuk menyelamatkan diri dan meminta bantuan daripada penduduk kampung berdekatan,” katanya.
Tambahnya, beliau yakin kesemua suspek kumpulan lelaki terbabit adalah buruh binaan dari Indonesia di kawasan perumahan berdekatan.
Selepas kejadian itu, mangsa membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...