Khamis, 13 Oktober 2011

MTUC akan berpiket di seluruh negara pada 3 November




KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan berpiket di seluruh negara pada 3 November untuk membantah cadangan pindaan Akta Pekerjaan yang diluluskan Dewan Rakyat minggu lepas, kata Presidennya Mohd Khalid Atan.
Beliau berkata keputusan untuk berpiket di seluruh negara diputuskan malam kelmarin pada mesyuarat yang dihadiri wakil-wakil daripada lebih 100 kesatuan.
“Kami putuskan untuk berpiket di seluruh negara kerana Kementerian Sumber Manusia berkeras untuk menerus-kan pindaan itu walaupun kami minta ditangguhkan agar lebih banyak perbincangan boleh dibuat mengenai perkara itu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya MTUC membantah dengan kerasnya pindaan itu dan telah menghantar surat meminta menangguhkan pindaan tersebut kepada Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam pada mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Negara (NLAC) 3 Oktober sebelum kira-kira 200 anggota MTUC berpiket di luar Parlimen hari itu.
“Ramai pekerja dan pemimpin kesatuan tidak berpuas hati dengan kementerian itu yang tidak menghiraukan bantahan kami terhadap cadangan pindaan tersebut dan meneruskan pembentangan. Sehubungan itu, kami putuskan untuk mengadakan piket bagi menunjukkan betapa kami tidak puas hati,” tambah beliau. — Bernama
Mohd Khalid berkata MTUC akan juga menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyatakan alasan mereka menolak pindaan itu.
Antara bantahan ialah kesatuan sekerja mendakwa pindaan itu membenarkan penggunaan syarikat menyumberan.
Selain itu, MTUC juga mahu cuti bersalin dinaikkan daripada 60 hari kepada 90 hari dan peraturan mengenai gangguan seksual tidak terdapat dalam pindaan terkini.
Bagaimanapun, Dr Subramanian ketika membentangkan pindaan itu minggu lepas, menerangkan pendirian kerajaan dalam  memasukkan peruntukan yang menghendaki pendaftaran kontraktor buruh.
Beliau berkata memasukkannya bukan untuk menggalakkan penyumberan buruh seperti yang dikhuatiri MTUC, tetapi bagi memastikan perlindungan bagi hak-hak pekerja yang dibekalkan oleh kontraktor khasnya dalam sektor perladangan.
Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Pekerjaan (Pindaan), yang mengandungi 22 pindaan dan 17 peruntukan baru dengan dua seksyen dimansuhkan pada 6 Oktober. Rang Undang-undang itu dijadual dibentangkan di Dewan Negara pada persidangan Disember tahun ini.
Kali terakhir MTUC berpiket ialah pada 2007 mengenai isi gaji minimum di sektor swasta. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...