MARUDI: Masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman harus memperkasakan diri bukan sahaja dengan kekuatan mental dan fizikal tetapi juga ilmu pengetahuan dan kemahiran supaya mereka dapat hidup dengan berjaya dan maju serta tidak ketinggalan berbanding penduduk di bandar.
Ini kerana menurut Setiausaha Politik Ketua Menteri Robert Laing Anyie, hanya melalui ilmu pengetahuan dan kemahiran maka penduduk dapat mengubah corak pemikiran dan minda mereka ke arah pembangunan.
Minda masyarakat yang tidak berpengetahuan dan tidak membangun, katanya hanya membawa masyarakat terus dibelenggu kemunduran dan kemiskinan.
“Pembangunan adalah bermula dari otak (pemikiran) kita kerana otak inilah yang digunakan untuk berfikir cara-cara membangun dan memajukan diri dan bukannya bergantung kepada nasib semata-mata, kepada Tuhan dan mimpi,” katanya.
“Ini kerana otak bestari kita yang berfikir untuk memikirkan kemajuan diri masing-masing. Jangan mempersalahkan nasib atau mimpi,” tambah beliau.
Menurut Robert sikap yang terlalu bergantung kepada ‘tidak ada nasib’ atau ‘mimpi buruk’ adalah punca sebenar kegagalan sebahagian besar penduduk luar bandar dalam apa jua usaha yang akan dijalankan.
“Sebaliknya kita terus ber-usaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan, bukan berpandu kepada nasib atau ada mimpi buruk dan sebagainya yang tiada berkaitan,” ujar beliau lagi.
Robert memberitahu demikian ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Long Semiyang di Rumah TK Mathew Uchat Kajan di Ulu Baram, malam kelmarin.
Beliau dalam ucapannya turut mengingatkan penduduk di luar bandar supaya tidak mengabaikan pendidikan anak-anak mereka, bagi memastikan generasi muda khususnya dari luar bandar memiliki kelulusan dan pendidikan yang membolehkan mereka bersaing dalam pasaran pekerjaaan terutama di negeri sendiri.
Robert memberitahu dengan wujudkan gelombang pembangunan di Sarawak yang menyediakan beribu-ribu peluang pe-kerjaan sama ada untuk tenaga mahir dan separuh mahir, Sarawak pastinya menjadi tumpuan jutaan orang yang ingin datang mencari pekerjaan bukan sahaja dari negeri ini dan dalam negara, malah pekerja asing.
“Kalau kita lemah (dalam pendidikan) memang kita akan gagal dalam persaingan terutama dalam merebut peluang pekerajaan dan jangan kita salahkan nasib atau mimpi. Apa yang perlu kita harus mempunyai disiplin untuk berusaha dan berjaya,” tambahnya.
Turut hadir Timbalan Men-teri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Baram Datuk Jacob Dungau Sagan, yang turut merasmikan majlis itu, serta ketua-ketua masyarakat setempat- The Borneo Post
Tiada ulasan:
Catat Ulasan