Jumaat, 14 Oktober 2011

Seludup, jual kereta mewah dari Brunei


by WILLIE JUDE JUNAIDI, wjudeub@gmail.com. Posted on October 14, 2011, Friday

DISELUDUP... Hamza (kiri sekali) memeriksa kenderaan-kenderaan mewah yang dipercayai diseludup dari Brunei untuk dijual di negeri ini.
Anggota polis antara lapan diberkas


KOTA KINABALU:  Seorang anggota polis antara lapan individu yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket menyeludup dan menjual kereta mewah dari Brunei ke negeri ini.
Anggota polis berusia 36 tahun itu dikatakan membantu seorang perancang utama sindiket dari Brunei yang berusia 54 tahun membawa masuk dan menjual kereta mewah dari negara itu dengan harga yang murah ke negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata kesemua suspek yang berusia 26 hingga 54 tahun ditahan dalam beberapa serbuan pada bulan lalu.
“Suspek yang ditahan terdiri daripada tujuh warganegara Malaysia dan seorang warga Brunei.
“Polis turut merampas 38 buah kereta mewah bernilai RM4 juta yang dijual dengan harga murah seperti Mercedes Benz Kompressor dengan harga RM60,000, BMW (RM40,000) dan Toyota Vios (RM18,000),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini kelmarin.
Menurut Hamza, kes itu disiasat mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun.
Dalam pada itu, beliau berkata polis menerima aduan daripada pihak berkuasa Brunei mengenai kegiatan sindiket berkenaan pada Julai lalu.
Beliau memberitahu berdasarkan siasatan, modus operandi sindiket itu ialah dengan menyewa kereta dari Brunei dan membawa masuk ke Sabah sebelum menukar nombor pendaftaran.
“Mereka juga didapati memalsukan cukai jalan kereta berkenaan sebelum menjualnya kepada pembeli di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, kata Hamza, kebanyakan kenderaan berkenaan ditemui di Kota Kinabalu, Penampang dan Keningau.
Tambahnya, setakat ini polis telah mengenal pasti 18 pembeli kereta berkenaan yang terdiri daripada pelbagai golongan termasuk golongan profesional dan guru.
“Polis masih menyiasat berapa lama sindiket ini beroperasi dan menunggu maklumat daripada polis Brunei sekiranya terdapat lagi kereta yang dilaporkan hilang di negara itu,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...