Jumaat, 14 Oktober 2011

Seramai 55,546 peminjam PTPTN pilih sistem Ujrah: Dr Hou






KUALA LUMPUR: Seramai 55,546 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memilih untuk menukar pinjaman pendidikan mereka kepada sistem pinjaman Islam atau Ujrah sehingga September lepas.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Hou Kok Chung berkata, berdasarkan rekod PTPTN, peminjam mengembalikan dokumen perjanjian mereka dalam tempoh tiga bulan selepas tawaran Ujrah diberi manakala seramai 130,267 peminjam masih dalam proses semakan.
“Pembiayaan pendidikan kaedah Ujrah yang menawarkan upah satu peratus setahun atas kadar rata berkuatkuasa 2008 adalah kaedah pembiayaan berlandaskan prinsip syariah bertujuan mengurangkan beban peminjam,” katanya ketika menjawab soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) di Dewan Rakyat, di sini, semalam.
Fong ingin mengetahui tujuan PTPTN menawar pembiayaan pendidikan kaedah Ujrah dan jumlah tunggakan oleh peminjam setakat kini.
Dr Hou berkata, jumlah tunggakan keseluruhan bayaran balik daripada peminjam ialah RM2.89 bilion sehingga 31 Ogos lepas.
Mengenai kelewatan maklum balas kaedah Ujrah itu, beliau berkata, proses pertukaran itu tidak boleh dilakukan secara ‘terus’ sebaliknya PTPTN perlu membuat semakan dan pengumpulan data secara manual dengan lebih teliti.
Semasa menjawab soalan Datuk Dr Tekhee@Tiki Lafe (BN-Mas Gading) berhubung jumlah graduan terkini Kolej Komuniti di seluruh negara, Dr Hou berkata, seramai 39,650 penuntut lulus daripada kolej itu sejak 2003 hingga 2010.
“Berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan Kementerian Pengajian Tinggi 2010 ataupun ‘TRACER Study’, seramai 3,444 orang atau 52.8 peratus lulusan kolej telah bekerja dan 463 orang atau 7.1 peratus melanjutkan pengajian.
“Seramai 56 orang (0.9 peratus) meningkatkan kemahiran dan 184 orang atau 2.8 peratus menunggu penempatan pekerjaan,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...