The Borneo Post
KUCHING: Seorang wanita yang bekerja sebagai ejen insurans mengalami detik-detik mencemaskan selepas dirompak dan diikat ketika berseorangan di pejabatnya di Kota Samarahan semalam.
Ketika kejadian, mangsa yang berusia 26 tahun sedang bersiap sedia untuk pulang ke rumah apabila didatangi dua lelaki tidak dikenali yang tiba-tiba memasuki pejabatnya yang terletak di rumah kedai di Desa Ilmu, sekitar jam 5.20 petang.
Kedua-dua lelaki itu kemudian mengikat mangsa sebelum melarikan wang tunai sebanyak RM4,000 dan beberapa barang seperti dua telefon bimbit dan komputer riba.
Mangsa yang berjaya melepaskan ikatan selepas ditinggalkan perompak kemudian bergegas membuat laporan polis sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak.
Sementara itu, Ketua Balai Polis Samarahan DSP Abdul Rahman Ahmad mengesahkan menerima laporan dan siasatan berhubung rompakan sedang dilakukan.
Jumlah kerugian akibat rompakan pula dianggarkan lebih RM6,000.
Dalam kes berasingan, seorang penduduk kerugian RM11,000 selepas rumahnya di Jalan Arang dekat sini dipecah masuk pencuri awal pagi semalam.
Mangsa yang berusia 31 tahun memberitahu polis bahawa rumahnya dipecah masuk pencuri sekitar jam 8.30 pagi selepas dimaklumkan oleh jirannya menerusi panggilan telefon.
Hasil pemeriksaan, pencuri melarikan gelang berlian, perakam, dua kamera digital dan beberapa barang lain. Kes sedang disiasat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan