Rabu, 16 November 2011

Banyak sekolah usang di Sarawak





Seorang ahli parlimen mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran turun padang bagi melihat sendiri keadaan usang sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak.


Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) (tengah) berkata banyak sekolah di kawasan luar bandar di negeri itu dalam keadaan usang dan memerlukan pembaikan dengan segera.

Katanya di kawasan Bintulu sahaja, sekurang-kurangnya empat buah sekolah perlu dibaiki segera dan beliau masih belum menerima sebarang jawapan mengenai permintaan itu daripada Kementerian Pelajaran.

"Saya mahu menjemput Timbalan Menteri (Pelajaran) untuk turun padang, melawat ke sekolah-sekolah di kawasan saya dan juga di sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak, untuk tengok sendiri keadaan sekolah-sekolah tersebut," katanya semasa membahasakan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 peringkat Jawatankuasa mengenai Kementerian Pelajaran di Dewan Rakyat, malam tadi.

"Saya percaya YB-YB lain dari Sarawak turut akan setuju dengan cadangan ini," katanya.


Beliau bimbang sekiranya masalah itu terus diabaikan, ia mungkin mengundang masalah yang lebih besar yang bukan sahaja menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran malah boleh mengancam keselamatan.

Datuk Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit), yang bersependapat dengan Tiong, juga meminta kementerian itu melihat masalah kemudahan asrama sekolah di kawasan luar bandar.

Beliau meminta kementerian mengambil tindakan membaiki atau menaiktaraf keadaan asrama sekolah yang telah usang.

Sementara itu, Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) meminta kerajaan supaya menjaga kepentingan pelajar luar bandar bagi memastikan mereka tidak terpinggir dengan rakan mereka di kawasan bandar dalam mendapatkan pendidikan tinggi.

Persidangan Dewan Rakyat disambung hari ini.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...