Rabu, 16 November 2011

Penyelidik hidupan liar dipatuk ular


Sumber:
Utusan Borneo

by Michael Ubam. Posted on November 16, 2011, Wednesday



SELAMAT: Mangsa sedang dibantu turun dari helikopter di landasan helikopter Hospital Kanowit pagi semalam.



SIBU: Ekspidisi penyelidikan empat kakitangan sebuah pertubuhan pemuliharaan hidupan liar berakhir dengan salah seorang daripada mereka dipatuk ular ketika dalam perjalanan pulang di sebuah kawasan hutan tebal di Nanga Empurau, Ulu Ngemah 13 November lalu.
Mangsa Lukmann Haqeem Alen, 23 berasal dari Kuching dipatuk ular kurang berbisa di atas buku lali kaki kanan.
Mangsa berjaya dikeluarkan dari kawasan tersebut setelah helikopter daripada Unit Udara Polis berjaya mendarat di kawasan bekas tapak SK Nanga Pang pada sekitar jam 9 pagi semalam.
Mangsa kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Kanowit dan keadaannya dilaporkan stabil.
Dalam ekspedisi tersebut, mangsa bersama tiga rakan sekerjanya termasuk dua wanita berumur dalam lingkungan 20-an diiringi empat penduduk kampung di kawasan terbabit mula masuk ke hutan itu sejak awal bulan ini.
Pada jam 11 pagi Ahad lalu, ketika rombongan lapan orang terbabit dalam perjalanan pulang di kawasan hutan tebal Nanga Empurau, Lukman tiba-tiba dipatuk ular menyebabkan mereka berasa panik dan bimbang kerana tidak tahu sama ada bisa ular tersebut akan memudaratkan atau tidak.
Difahamkan salah seorang daripada mereka cuba menghubungi pihak majikan mereka yang beribu pejabat di Kuching dengan menggunaan sebuah telefon satelit.
Bagaimanapun, kesilapan maklumat mengenai lokasi sebenar kedudukan mangsa pada awalnya menyebabkan Unit Udara Polis pergi ke kawasan Batang Ai terlebih dahulu untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Pihak IPD Kanowit yang menerima maklumat dari IPD Lubok Antu mengenai insiden tersebut sebenarnya berlaku di kawasan Ulu Ngemah terus bersiap sedia untuk membantu dalam operasi mencari dan menyelamat.
IPD terbabit mengerahkan para anggotanya daripada Pasukan Gerakan Am dan skuad Tiger Platoon daripada Batalion Kem Batu 10 serta pihak Jabatan Bomba dan Menyelamat.
Selepas dimaklumkan mengenai kedudukan sebenarnya kejadian itu, Unit Udara tersebut turut bergegas ke kawasan hutan di Ulu Ngemah namun menghadapi beberapa kesulitan termasuk terpaksa mengisi semula minyak helikopter di Sibu, sukar untuk membuat pendaratan kerana keadaan hutan yang terlalu tebal dan cuaca hujan dan ribut yang memaksa Unit Udara Polis menangguh operasi.
Keadaan cuaca yang baik pada pagi semalam membolehkan Unit Udara Polis menyambung semula operasi di Ulu Ngemah tanpa sebarang halangan.
Seorang pembantu perubatan dari Hospital Kanowit turut mengikuti Unit Udara Polis ke lokasi bekas tapak SK Nanga Pang untuk memberi rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke Hospital Kanowit.
Bagaimanapun hanya mangsa seorang sahaja dibawa menggunakan helikopter dan tiba di landasan helikopter di Hospital Kanowit sekitar jam 9.00 pagi semalam.
Difahamkan rakan-rakan mangsa yang lain akan menggunakan pengangkutan sungai dan dijangka tiba di pekan Kanowit hari ini.
Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Ismail Mahmood ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
Beliau mengucap syabas kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan operasi mencari dan menyelamat mangsa tersebut.
“Saya ingin mengucap syabas kepada semua pihak yang terbabit kerana kesungguhan dan usaha mereka atas kejayaan mereka melakukan tugas-tugas masing dengan cemerlang dalam operasi itu,” tambahnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...