Sumber:
Utusan Borneo
15.11.2011
BAHAN BUKTI: Alat yang digunakan oleh kumpulan pencuri untuk cuba memasuki sebuah rumah di Jalan Stampin Tengah. |
KUCHING: Seorang lelaki membuat laporan polis selepas rumahnya cuba dipecah masuk oleh dua kumpulan pencuri awal pagi semalam.
Mangsa yang berusia 43 tahun mula menyedari kejadian tersebut selepas menghantar anaknya ke sekolah sekitar jam 7 pagi apabila melihat dua kereta jenis Proton Waja dan Perodua Kancil diletakkan di bahagian ruang letak kereta di rumahnya.
Menurut mangsa, dia pada mulanya terkejut melihat kedua-dua kereta itu dan mendapati pintu pagar rumahnya yang terletak di Jalan Stampin Tengah itu telah terbuka.
Selepas melihat secara dekat, dia mendapati beberapa orang lelaki yang tidak dikenali cuba membuka pintu hadapan rumahnya.
Menyedari pemilik rumah itu telah tiba, kumpulan pencuri itu bergegas ke arah kereta masing-masing dan cuba beredar dari tempat kejadian.
Mangsa yang memandu kereta jenis pancuan empat roda (4WD) cuba menghalang kumpulan pencuri itu melarikan diri namun terpaksa mengalah apabila pencuri itu mula membaling batu dan besi ke arah keretanya.
Daripada siasatan awal, mangsa mendapati sepasang kasut berjenama telah hilang dan sistem pintu pagar rumah itu juga telah dirosakkan.
Polis masih menyiasat berhubung kejadian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan