Rabu, 16 November 2011

Pendidikan sentiasa diberi keutamaan: Musa


Sumber:
Utusan Borneo

by YAP SIONG HAN, sionghan_yap@yahoo.com. Posted on November 15, 2011, Tuesday




RASMI...Musa memasukkan buku konvensyen ke dalam plat perasmian sebagai simbolik rasminya majlis itu sambil diperhatikan oleh Exco Pelajaran Sabah, Datuk Masidi Manjun (dua kiri) dan Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Dr Muhiddin Yusin (dua kanan)



KOTA KINABALU: Pihak kerajaan sentiasa memberikan keutamaan kepada kecemerlangan pendidikan dan ia dapat dibuktikan menerusi pembinaan hab pendidikan di Sandakan yang menghimpunkan banyak institusi pengajian tinggi, kolej dan pusat-pusat latihan serta kemahiran untuk anak tempatan melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman berkata kerajaan juga sentiasa berusaha serta menyediakan peruntukan yang besar bagi meningkatkan dan menambah baik prasarana pendidikan khususnya di luar bandar.
Katanya, Sabah harus memiliki modal insan yang berilmu, berkemahiran serta berinovatif bagi memacu kemajuan negeri dalam pelbagai sektor. Antaranya menerusi Dasar Halatuju Negeri, Koridor Pembangunan Sabah (SDC), pembangunan industri minyak dan gas serta pelbagai sektor berdaya maju.
“Matlamat ini tidak akan tercapai tanpa adanya transformasi dan anjakan paradigma, kesatuan, muafakat, kerja keras dan usaha gigih sesama kita untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan.
“Justeru, konvensyen yang diadakan ini tepat pada masanya bagi kita memikirkan, menyumbang ilham, mencari kaedah seterusnya mengambil langkah dan resolusi yang terbaik untuk meningkatkan kecemerlangan akademik anak Sabah serta para pelajar kita,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Resolusi Kecemerlangan Akademik Negeri Sabah di sini kelmarin.
Menurutnya, penyertaan daripada pelbagai pihak dalam konvensyen itu bukan sahaja mewakili organisasi masing-masing tetapi sesuai dengan tanggungjawab sebagai agen perubahan yang berpengaruh kepada masyarakat untuk sama-sama mewujudkan kesedaran akan kepentingan pendidikan bagi menjamin masa depan semua masyarakat di negara ini.
Sementara itu, pada sidang media yang diadakan, Musa berkata tujuan utama konvensyen adalah bagi mencari kaedah mempertingkatkan prestasi pelajar di Sabah supaya berjaya dalam bidang mereka.
Oleh itu, katanya, kerajaan telah mewujudkan banyak jalinan kerjasama dengan pihak-pihak yang berkenan bagi mencari kaedah yang terbaik agar dapat memajukan pendidikan di Sabah.
Tambahnya, banyak lagi perkara yang perlu dilakukan dan yang penting hasil atau resolusi akan wujud selepas konvensyen itu akan diberikan pertimbangan yang sewajarnya oleh kerajaan negeri dan pusat.
“Saya juga ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam belanjawan 2011 baru-baru ini yang mana yuran sekolah telah dimansuhkan serta elaun RM100 akan diberikan kepada setiap pelajar dan ini sudah semestinya akan meringankan beban kepada semua ibubapa yang menghantar anak mereka ke sekolah.
“Terima kasih juga kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang baru-baru ini mengumumkan bahawa Pengarah Pelajaran Sabah telah diberikan kuasa untuk memutuskan projek-projek ataupun tawaran yang mengikuti peraturan yang sedia ada…jadi ini membolehkan Jabatan Pendidikan Sabah membuat keputusan dengan lebih cepat tanpa menunggu keputusan dari Kementerian Pelajaran pusat,” jelasnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...