Sumber:
Utusan Borneo
Berita Sabah
by WILLIE JUDE JUNAIDI, wjudeub@gmail.com. Posted on November 15, 2011, Tuesday
WILLIE JUDE JUNAIDI, wjudeub@gmail.com |
KOTA KINABALU: Seorang pelancong asing yang dipercayai cuba bertindak membunuh diri dengan mengelar kedua pergelangan tangannya sempat singgah di salah sebuah kedai makan ekonomi di Jalan Gaya dekat sini untuk menjamu selera sebelum dia diberkas polis kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, pelancong dari Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Shawn, 35, itu diberkas di kawasan tangga tempatnya menginap selepas dia melarikan diri melalui pintu belakang kedai makan terbabit apabila menyedari dia sedang diperhatikan pelanggan lain di kedai itu.
Difahamkan, sebelum kejadian lelaki terbabit telah mencuri pisau dari bilik penginapan yang didiaminya lalu bersiar-siar di sekitar Jalan Gaya sebelum mengelar pergelangan tangannya.
Perbuatan pelancong terbabit yang bersiar-siar dalam keadaan berlumuran darah sambil memegang pisau itu kemudiannya menimbulkan kerisauan terhadap orang awam di sekitar jalan itu.
Selepas itu, sepasukan anggota penguatkuasa yang terdiri daripada polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), dan Rela yang dimaklumkan mengenai kejadian itu berjaya menahan lelaki berkenaan lalu membawanya balik ke bilik penginapannya.
Bagaimanapun, pelancong terbabit dikatakan sekali lagi keluar daripada bilik penginapannya lalu singgah di kedai makan berhampiran untuk menjamu selera.
Kehadirannya bagaimanapun menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pelanggan lain lalu pemilik restoran berkenaan terus menghubungi polis yang kemudiannya berjaya menahan pelancong terbabit.
Sementara itu, salah seorang kakitangan di pusat penginapan berkenaan yang enggan namanya disiarkan ketika ditemui berkata lelaki itu telah menginap di situ sejak Sabtu lepas dan dipercayai akan mendaftar keluar pada hari ini.
“Pada mula-mula (Sabtu lepas) dia daftar masuk di sini, dia tidak menunjukkan apa-apa kelakuan aneh sehinggalah semalam (malam Ahad) di mana dia seperti tidak tentu arah dan kadang-kadang bercakap seorang diri,” katanya.
Menurutnya lagi, pelancong terbabit juga ada mengadu kepadanya pada malam sebelum kejadian bahawa dia tidak suka tidur seorang diri.
Difahamkan, sebelum ini pelancong terbabit tinggal sebilik dengan seorang pelancong wanita dari Belanda tetapi pelancong wanita berkenaan dikatakan telah mendaftar keluar dari pusat penginapan itu kelmarin.
Sementara itu, difahamkan selepas ditahan pelancong terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan