Jumaat, 28 Oktober 2011

Beberapa sekolah di Selangau dalam situasi agak teruk: Entulu






SELANGAU: Ahli Parlimen Selangau Datuk Joseph Entulu Belaun berharap Kementerian Pelajaran dapat mengambil tindakan segera terhadap beberapa sekolah di Parlimen Selangau yang memerlukan perhatian segera.
Beliau berkata, tiga sekolah masing-masing di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin dan Kakus telah dikenal pasti keadaan bangunan sekolah berada dalam situasi yang agak teruk. “Tiga sekolah berkenaan di DUN Tamin ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Kua, SK Nanga Selangau dan SK St Mark Nanga Tamin.
“Sementara itu, sebuah sekolah adalah SK Kuala Peyarai di DUN Kakus. Dua buah sekolah akan dikenal pasti tidak lama lagi,” jelasnya kepada pemberita.
Entulu berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian bahagian belakang sebuah kuarters guru di SK Nanga Kua yang runtuh pada malam Isnin lepas.
Katanya, beliau telah membuat persetujuan dengan Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi untuk mengadakan lawatan bagi meninjau sekolah-sekolah di kawasan Parlimen Selangau.
“Mudah-mudahan selepas beliau mengadakan sesi lawatan, akan ada tindakan segera diambil oleh pihak Kementerian Pelajaran,” ujar Entulu.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, Pejabat Daerah Selangau telah mendapatkan pandangan pihak Majlis Keselamatan Negeri (MKN), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhubung cadangan sama ada sekolah terbabit perlu dipindah atau dibaik pulih.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 10.15 malam Isnin lepas, bahagian belakang sebuah kuarters guru di SK Nanga Kua runtuh berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu yang telah mengakibatkan air Sungai Kua yang terletak di belakang kuarters guru semakin naik dan deras.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...