Ahad, 30 Oktober 2011

Pegawai Daerah Pakan tepis dakwaan penulis blog



Utusan Borneo
30.10.2011



SIBU: Dakwaan yang dipaparkan di dalam sesetengah blog bahawa Daerah Pakan masih jauh ketinggalan ditepis oleh Pegawai Daerahnya, Inting Nyami.
Katanya, sejak berkhidmat di daerah tersebut pada tahun 2006, beliau telah menyaksikan banyak perubahan positif.
“Ini jelas menunjukkan mereka yang membuat tohmahan tersebut hanya untuk kepentingan sendiri.
“Mereka juga sanggup mencerca orang lain termasuk melemparkan tuduhan tidak masuk akal terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom dan Ahli Parlimen Julau, Datuk Joseph Salang,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian pada majlis yang dianjurkan di Rumah Unjar Salam, Nanga Reboh, Pakan kelmarin.
Menurut Inting, mereka yang membuat tuduhan palsu mungkin sudah terlalu lama meninggalkan daerah tersebut sehinggakan tidak menyedari perubahan tersebut.
“Sekarang, misalnya kita mempunyai perkhidmatan telefon mudah alih di Pakan selain turut mempunyai jaringan jalan raya dan kemudahan sukan yang moden,” tambah beliau.
Inting turut menjelaskan, kerajaan juga sedang berusaha menyediakan bekalan air terawat dan elektrik kepada semua rumah panjang lingkungan 30 kilometer dari bazar Pakan menjelang 2016.
Jelas beliau, pembangunan Daerah Pakan tidak hanya bergantung kepada kedua-dua pemimpin itu sahaja walaupun mereka adalah wakil rakyat.
Katanya, semua orang perlu memainkan peranan selain terus memberikan sokongan padu terhadap kepimpinan mereka.
Tambah Inting lagi, terdapat segelintir pihak yang keras kepala sehingga tidak membenarkan tanah mereka untuk tujuan pembangunan projek yang hendak disalurkan oleh kerajaan.
Tindakan mereka ujar beliau, telah memberikan kesan kepada orang lain.
“ Sebagai contoh, apabila kerajaan mahu membina jalan melalui tanah mereka, mereka menuntut ia harus dialihkan.
“Kemudian apabila kerajaan mahu mendirikan tiang elektrik, mereka sekali lagi menuntut ini harus didirikan di tempat lain,” katanya.
Menurut Inting, tindakan sedemikian hanya menyebabkan berlakunya kelewatan selain turut mengakibatkan pertambahan kos.
Sementara itu, Salang, yang juga Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan adalah tetamu kehormat pada majlis itu.
Beliau menyampaikan cek geran kerajaan berjumlah RM213,000 kepada 23 rumah panjang di kawasan itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...