Ahad, 30 Oktober 2011

Undang-undang baharu kawal selia bengkel kenderaan tahun depan



Utusan Borneo
30.10.2011





MIRI: Kerajaan akan membentangkan rang undang-undang baharu bagi mengawal selia bengkel kenderaan dan industri berkaitan pada tahun depan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Senator Gan Ping Sieu berkata, rang undang-undang berkenaan adalah untuk memastikan keselamatan kenderaan di negara ini.
“Setelah diluluskan, kesemua bengkel yang beroperasi akan diberi tempoh tiga hingga lima tahun untuk memiliki sijil berkenaan.
“Justeru, di bawah rang undang-undang berkenaan, kesemua bengkel perlu mempunyai sekurang-kurangnya Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, disebabkan bengkel-bengkel tersebut terlibat dalam memperbaiki dan menyelenggara, yang turut melibatkan keselamatan orang awam,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri dan Imperial Group of Hotels, Parkcity Everly Hotel Miri dan Miri Marriott Resort & Spa, di Dewan Banquet Sekolah Hospitaliti IKBN Miri di sini, semalam.
Turut menyaksikan tandatangan MoU semalam ialah Menteri Muda Komunikasi dan Sukan Datuk Lee Kim Shin, Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Saari Salleh dan Pengarah IKBN Miri Syamsul Tahrin Tahir.
Selain itu, menurut Gan, rang undang-undang tersebut juga penting untuk memastikan kesemua bengkel kenderaan menyediakan serta memberikan perkhidmatan yang berkualiti.
“Keselamatan di jalan raya dan orang awam khususnya pengguna adalah diutamakan, kerana kebanyakan berlakunya kes-kes kemalangan telah disebabkan oleh kecuaian penyelenggaraan kenderaan.
“Oleh itu, pengiktirafan SKM Tahap 3 perlu ada pada setiap bengkel di seluruh negara,” tegas Gan.
Sementara itu, majlis MoU semalam adalah satu usaha kerjasama antara tiga hotel berkenaan bagi membolehkan pelajar IKBN diberi peluang menjalani latihan industri atau diberi peluang pekerjaan terutamanya dalam bidang hospitaliti.
“Pelajar IKBN akan didedahkan kepada situasi pekerjaan yang sebenar ketika menjalani latihan industri mereka.
“Justeru, ini (MoU) merupakan salah satu usaha membolehkan pelajar mendapatkan latihan mereka di hotel-hotel tersebut dan pekerjaan selepas tamat pengajian,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...