Ahad, 30 Oktober 2011

TERHAKISNYA RASA SELAMAT DI TENGAH BANDAR





Tidak ada tempat yang benar-benar selamat sekarang, termasuk di dalam rumah sendiri. Kenyataan ini mungkin ekstrem dan keras, tetapi itulah hakikat pahit yang sedang kita hadapi sekarang.
Pagar luar rumah yang dikunci serta diletakkan mangga besar belum menjamin tidak dicerobohi. Tidak cukup dengan pagar luar rumah yang dimangga, usaha `memagari' setiap inci pintu dan tingkap dengan jeriji besi juga tidak mampu menyekat kehebatan pencoroboh yang boleh memotong besi keras berkenaan. Rumah tetap dicerobohi walaupun pelbagai langkah pencegahan telah dilakukan. Jika tidak menerusi pintu, bumbung pula menjadi laluan. Justeru, tidur kita jadi tidak lelap.
Ketika mahu meninggalkan rumah untuk jangka masa yang lama, terutamanya ketika musim perayaan atau cuti yang panjang, kita sentiasa dipesan berkali-kali untuk mengambil langkah-langkah pencegahan. Dipesan berkali-kali supaya beritahu jiran-jiran terdekat, maklumkan kepada balai polis berdekatan, jangan lupa hentikan pesanan surat khabar atau bekalan roti jika ada dan pelbagai pesanan lain yang menjadikan kita tidak tenang meninggalkan rumah.
Walau bagaimanapun, kes-kes pecah rumah terus berlaku dan meningkat. Di luar rumah pula, kita juga nampaknya tidak boleh keluar dengan tenang lagi.
Selepas meninggalkan rumah dengan perasaan risau takut rumah dicerobohi, satu perasaan bimbang lain pula yang muncul. Bimbang kalau-kalau menjadi salah seorang mangsa ragut yang semakin menjadi-jadi sekarang.
Nasihat pelbagai pihak terutamanya kepada kaum wanita supaya jaga beg, jangan membawa beg yang bertali panjang, jangan memakai barang kemas yang terlalu menonjol, jangan cuai dan simpan wang atau dompet di saku yang terbuka, jangan berebut-rebut menaiki kenderaan awam atau berada di tempat sesak dan macam-macam nasihat lain menjadikan kita semakin risau dan tidak tenang.
Hasrat keluar rumah untuk bersiar-siar bagi menenangkan fikiran bertukar menjadi sebaliknya. Kita juga tidak tenang meningalkan kenderaan terutamanya di tempat-tempat sunyi atau jauh daripada pandangan ramai. Bimbang dicuri.
Kita juga risau melepaskan anak-anak keluar bermain di luar rumah atau membiarkannya sendirian ke sekolah. Malang tidak berbau. Silap-silap haribulan, dia boleh diculik, dirogol dan macam-macam jenayah kejam lain yang boleh menimpanya bila-bila masa. Ini bukan soal paranoid. Ini soal realiti apa yang sedang berlaku di persekitaran kita sekarang. Cuma bezanya sama ada ia serius atau tidak sahaja. Berlaku tetap berlaku. Anda hanya perlu menyelak surat khabar untuk mengetahui kebenaran betapa kes-kes jenayah ini berlaku setiap hari. 
Banyak lagi kes-kes lain yang berlaku. Tetapi seperti biasa kita menjadi masyarakat yang hanya akan bertindak jika ia mendapat liputan besar-besaran akhbar utama dan apabila ia mendapat komen pucuk pimpinan tertinggi.
Jika tidak, kita hanya akan berkata: ``... kesiannya, nasib baik tak jadi pada aku. Aku pun pernah lalu kawasan tu...,''.
Selepas itu kita akan mendengar nasihat-nasihat sementara mengenai perlunya kita terutamanya kaum wanita untuk lebih berhati-hati. Dan sekiranya kes terus berlaku di kawasan yang sama, kalau ada yang bermurah hati, akan adalah yang akan membiayai papan tanda `Awas Peragut' untuk dipacakkan di tempat berkenaan. Itu sahaja. Kemudian, kes ragut terus berlaku dan dicatatkan di bawah jenayah indeks polis.
Begitulah sikap kita. Sesuatu isu hanya mendapat perhatian apabila menjadi tajuk besar akhbar berpengaruh terutamanya Utusan Malaysia sedangkan jenayah ini sudah lama berleluasa. Malah kes ragut ini telah memasuki fasa baru apabila ia kini lebih kerap melibatkan mangsa mengalami kecederaan teruk akibat jenayah ini.
Kita harap kali ini kita lebih serius untuk membanteras bukan sahaja jenayah ragut ini tetapi juga jenayah-jenayah lain yang mencatatkan kadar yang membimbangkan seperti kecurian, pecah rumah, samun, rogol dan jenayah-jenayah lain yang hanya pihak polis sendiri yang tahu betapa seriusnya masalah tersebut. Kita juga tidak perlu terlalu sibuk memikirkan kaedah-kaedah baru bagaimana menangani jenayah ini kerana ia bukan jenayah yang baru muncul di negara ini. Sudah banyak cadangan dan saranan yang dikemukakan sebelum ini. Keluarkan semula semua cadangan itu. Kalau perlu, murnikan semula. Yang penting ialah pelaksanaan. Pelaksanaan pula bukanlah secara bermusim ketika isu masih hangat dibincangkan. Pelaksanaan perlu dilakukan berterusan dan sepanjang masa.
Kita juga harus serius membanteras jenayah ini bukan semata-mata kerana kita mahu membersihkan imej negara di mata pelancong atau supaya pelancong merasa selamat berada di negara kita. Ini bukan soal menyelamatkan industri pelancongan negara. Ini soal yang lebih penting - keselamatan kita sebagai penduduk tetap negara ini.
Lagipun, apa yang mahu kita pedulikan dengan soal imej kita yang telah tercemar dengan kes ragut ini dan kes-kes jenayah yang lain kerana yang turut terlibat dengan jenayah ini juga adalah `pelancong' haram yang tidak pernah diundang.
Sebagai rakyat bumi bertuah ini, kita tidak mampu membayar `harga' yang terlalu mahal dengan memperjudikan keselamatan diri hanya semata-mata untuk menikmati ekonomi yang pesat dan politik yang stabil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...