Khamis, 17 November 2011

Didik kanak-kanak tentang keselamatan jalan raya


Sumber:
Utusan Borneo
Berita Sabah

by WILLIE JUDE JUNAIDI, wjudeub@gmail.com. Posted on November 17, 2011, Thursday



DIDIK...Herdiansah menunjukkan cara pemakaian topi keledar yang betul kepada salah seorang kanak-kanak sambil diperhatikan oleh Nurul (kiri sekali).


PENAMPANG:  Keselamatan kanak–kanak di dalam pelbagai aspek termasuklah aspek keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan tidak seharusnya diserahkan kepada kerajaan semata-mata.
Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Sabah, Herdiansah Abdul Karim berkata tanggungjawab itu haruslah dipikul oleh semua pihak sesuai dengan apa yang termaktub dalam Artikel 1 Konvensyen Pertubuhan Bangsa–Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak kanak–kanak 1989.
“Artikel ini juga jelas menyatakan bahawa individu yang berumur di bawah 18 tahun adalah dikelaskan sebagai kanak-kanak dan berdasarkan statistik kependudukan negara bagi tahun 2010 sahaja, kanak–kanak di bawah umur 19 tahun adalah merangkumi sejumlah 40.8 peratus atau 11,811,100 orang daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia.
“Sehubungan itu, dengan peningkatan yang agak ketara di dalam jumlah kanak–kanak di negara ini, maka mereka dilihat sebagai golongan berisiko tinggi untuk terlibat di dalam kemalangan jalan raya,” katanya ketika ditemui selepas program pendidikan keselamatan jalan raya bersama Tabika Perpaduan di Nosoob di sini baru-baru ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah, Nurul Akmalina Shamsuddin.
Herdiansah berkata, golongan berkenaan mudah terdedah kepada bahaya yang boleh menyebabkan kemalangan memandangkan mereka mempunyai kurang pengalaman dan belum mencapai tahap kematangan di dalam mengenalpasti dan menilai bahaya seterusnya membuat keputusan yang baik ketika berada di jalan raya.
“Berdasarkan kajian yang dilakukan di beberapa buah negara di Asian, kadar kehilangan upaya atau ’permanent disability’ bagi kanak–kanak yang berumur di bawah 17 tahun akibat kemalangan jalan raya adalah 20 orang bagi setiap 100,000 kanak–kanak manakala jumlah mereka yang dimasukan ke hospital melebihi 10 hari adalah berpunca daripada kemalangan jalan raya yang mana jumlah ini lebih tinggi berbanding kes kemalangan lain.
“Kecederaan akibat kemalangan jalan raya yang dihadapi oleh golongan ini bukan sahaja menyebabkan mereka menjadi golongan kurang upaya tetapi pada masa sama akan berhadapan dengan senario yang menyebabkan mereka trauma akibat kemalangan yang mereka alami. Ini juga sedikit sebanyak menjejaskan psikologi golongan berkenaan,” tambahnya.
Sehubungan itu, kata Herdiansah, pihak JKJR akan berusaha bersama rakan strategik yang lain untuk memastikan kanak–kanak di negeri ini mempunyai risiko kemalangan jalan raya yang rendah melalui pendekatan pendidikan dan kesedaran secara bersepadu yang melibatkan kanak-kanak itu sendiri, ibu–bapa serta komuniti setempat.
“Saya amat yakin melalui pendekatan kolektif dan kerjasama semua pihak kanak–kanak di negeri ini bukan sahaja mempunyai risiko kemalangan jalan raya yang rendah malah kita mampu menjadikan golongan ini pengguna jalan raya dengan sikap dan mentaliti kelas pertama pada masa akan datang,” ujarnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...