Sumber:
Utusan Borneo
Berita Sabah
ROSAK TERUK...Motosikal yang ditunggang mangsa rosak teruk akibat kemalangan itu. |
KOTA KINABALU: Padah elak sekatan jalan raya , penunggang maut dirempuh pacuan empat roda.
Tindakan berani seorang penunggang motosikal yang menggunakan arah jalan bertentangan selepas ‘cabut lari’ dari satu sekatan jalan raya membawa padah apabila maut dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tun Fuad Stephen awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.07 pagi itu, mangsa yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri meninggal dunia di tempat kejadian dengan keadaan salah satu kakinya hampir putus.
Difahamkan sebelum kejadian, mangsa sedang dalam perjalanan menuju ke pusat bandar tetapi berpatah balik menggunakan jalan yang sama selepas menyedari ada sekatan jalan raya di jalan berhampiran Pelabuhan Sabah di sini.
Bagaimanapun, tindakannya itu membawa padah apabila dirempuh kereta pacuan empat roda yang juga sedang menuju ke arah pusat bandar selepas hanya sempat melarikan diri dari sekatan jalan raya itu sejauh kira-kira 800 meter.
Difahamkan, kereta pacuan empat roda terbabit yang dipandu seorang lelaki berumur lingkungan 20an bersama empat penumpangnya lain sedang dalam perjalanan menuju ke bulatan Perkasa dari arah lampu isyarat Tamu KPD menggunakan lorong sebelah kiri.
Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, tiba-tiba muncul motosikal yang dipandu mangsa secara bertentangan serta berada di antara laluan kecemasan dan lorong sebelah kiri.
Selepas itu, pemandu kereta pacuan empat roda berkenaan dikatakan panik lalu cuba mengelak ke arah sebelah kanan.
Malangnya, mangsa juga bertindak mengelak ke sebelah kanan lalu kedua-dua kenderaan terbabit bertembung.
Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak beberapa meter dari lokasi kejadian manakala kereta pacuan empat roda terbabit turut terbabas dan terbalik.
Timbalan Ketua Polis bandaraya, Deputi Superitendan Peter Umbuas ketika dihubungi kelmarin mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk dibedah siasat manakala pemandu kereta pacuan empat bersama empat penumpangnya hanya mengalami cedera ringan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan