Asal usul aku adalah daripada filum Austris. Filum Austris terpecah dua, iaitu rumpun Austroasia dan Austronesia atau dahulunya aku dikenali sebagai Melayu-Polinesia. Ada beberapa pendapat tentang salasilah aku. Namun demikian, kesemua mengatakan dan mengakui bahawa orang-orang Melayu ialah pengguna asli aku ini.
Aku menjadi sebutan berbanding dengan keluargaku yang lain seperti Melanesia, Mikronesia dan Polinesia. Aku ditutur juga di pantai timur Pulau Sumatera dari Aceh Timur hingga ke Sumatera Selatan. Terdapat dialek aku seperti Temiang, Deli, Serdang, Langkat Asahan, Panai, Riau, Jambi, Kuantan, Palembang, Siak, Bengkulu, Bangka dan Belitung. Dialek aku ada yang terpecah kepada subdialek. Antaranya dialek Riau yang melahirkan bahasa Indonesia dan bahasa Melayu kuno yang selepas itu bahasa Melayu klasik. Aku terus berkembang dan menjadi insan penting. Begitu panjang sejarah hidup aku.
Kini, aku kian layu di bumi sendiri. Apakah usaha dan sumbangan memperjuangkan kelangsungan hidup aku yang semakin tenat ini? Adakah dengan hanya menuding jari dan menyalahkan sesama sendiri boleh menyihatkan semula aku ini?
Aku bukan hak eksklusif milik satu bangsa sahaja, tetapi aku adalah milik semua.
Hatiku terluka apabila ada anak Malaysia tidak yakin dengan kehebatan aku. Mereka tanpa rasa silu di hati, membandingkan aku dengan bahasa lain termasuk bahasa penjajah.
Aku semakin sakit apabila terdapat sebilangan pemimpin tidak tahu untuk menggunakan aku. Dalam persidangan di Parlimen tidak kira di Dewan Rakyat atau pun di Dewan Negara, akan ada pemimpin menggunakan aku secara lintang-pukang.
Aku didakwa atas alasan tidak lengkap untuk urusan meningkatkan ilmu pengetahuan disebabkan kekurangan aku dari segi istilah. Aku dianggap tidak sesuai hidup dalam kecanggihan sains dan teknologi. Apakah wajar aku diperlekehkan kerana alasan-alasan ini? Tidakkah sedar orang luar menilai ketinggian dan keunikan aku?
Tanggapan bahawa aku hanya dimiliki oleh orang Melayu dan bukannya teras kepada pembangunan negara bangsa antara faktor kenapa bahasa kebangsaan masih gagal dimartabatkan dan dihormati pada kedudukan sewajarnya termasuk dalam kalangan rakyat asing yang berada di negara ini.
Sehingga kini ramai rakyat negara ini memahami istilah bangsa sebagai merujuk kepada kaum masing-masing iaitu sama ada Melayu, Cina, India serta kaum minoriti lain dan bukannya melihat ia sebagai penduduk yang tinggal di Malaysia.
Aku sebagai bahasa kebangsaan yang juga teras perpaduan negara bangsa bagi semua rakyat Malaysia tidak menonjol. Ia akhirnya meninggalkan kesan psikologi bahawa aku hanya dimiliki dan dipertuturkan oleh orang Melayu saja sehingga lupa kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan teras negara Malaysia.
Hakikatnya sekarang semakin ramai generasi muda bukan Melayu terutama Cina dan India yang fasih bertutur bahasa Melayu. Mari kita pecahkan tembok pemisah bahawa aku untuk orang Melayu sahaja agar aku akan dituturi dan dihormati dengan lebih meluas.
Usaha untuk memartabatkan aku sebenarnya terletak pada kesungguhan rakyat negara ini sendiri dan mereka juga perlu mengubah persepsi bahawa hanya yang fasih berbahasa Inggeris saja mempunyai status sosial lebih tinggi.