Isnin, 24 Oktober 2011

Elaun anggota bomba sukarela dikaji: Chor







ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang membuat kajian bagi mencari mekanisme yang membolehkan anggota pasukan bomba sukarela dibayar elaun sebagaimana yang dinikmati badan-badan sukarela lain. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata,  kajian itu mengambil contoh elaun-elaun yang dibayar kepada badan sukarela lain contohnya RELA untuk perbandingan bagi menentukan kadar elaun yang munasabah.
“Kerajaan mengambil pendekatan ini (bayar elaun) kerana mahu lebih ramai orang menyertai bomba sukarela terutama di bandar-bandar besar berikutan sikap mereka terhadap organisasi sukarela kurang memberangsangkan.
“Dalam soal ini semangat penduduk di bandar-bandar kecil lebih tinggi. Peranan mereka membantu Jabatan Bomba menghadapi kecemasan terutama memadam kebakaran amat berkesan,” kata Chor kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan sebuah jentera bomba kepada bomba sukarela Jalan Kilang Tebu di sini, semalam.
Jentera berkenaan disumbangkan Kelab Rotary Alor Setar. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim. Chor mahu rakyat berfikiran lebih terbuka terhadap bomba sukarela di samping memahami bidang tugas Jabatan Bomba dan Penyelamat yang tidak terhad kepada memadam kebakaran kerana kepakaran anggota jabatan itu lebih luas.
Terdahulu, ketika berucap beliau berkata, kerajaan berharap melalui pasukan bomba sukarela lebih banyak program memupuk kesedaran orang ramai terhadap keselamatan dan pencegahan kebakaran dilaksanakan lebih berkesan.
Katanya, kerajaan telah menyerahkan 100 buah jentera bernilai RM9.7 juta kepada pasukan sukarela di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.
Pada masa ini terdapat 350 pasukan bomba sukarela di seluruh negara dengan keanggotaan seramai 13,171 orang, kata Chor. — Bernama


Read more: http://www.theborneopost.com/2011/10/23/elaun-anggota-bomba-sukarela-dikaji-chor/#ixzz1bekaMR4D

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...