Isnin, 24 Oktober 2011

Lebih 100 pelajar sertai Kem Bakat Sukan Memanah


Berita Sukan
Utusan Borneo

TAHNIAH: Ismail menyampaikan hadiah kepada pemanah yang memenangi salah satu kategori yang dipertandingkan, petang kelmarin.


SARIKEI: Kem Bakat Sukan Memanah yang dianjurkan di Lapang Sasar Memanah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sarikei berakhir di sini, petang kelmarin.
Kem ini diadakan setiap tahun untuk memperkembang dan memperkenalkan sukan memanah dalam kalangan pelajar di negeri ini.
Bagi tahun ini, kem tersebut disertai oleh lebih 100 orang pelajar dan guru pengiring dari SMK Pakan, SMK Sematan, SMK Tun Abd Razak, SMK Asajaya, SMK Kota Samarahan, SMK Sibu Jaya, SMK Bandar Bintulu, SMK Riam, SMK Kubong dan SMK Bandar Sarikei.
Ia merupakan salah satu usaha Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk menjayakan pelaksanaan Program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah di mana mulai tahun 2008, tiga jenis sukan iaitu sepak takraw, memanah dan bola sepak dipilih untuk tujuan tersebut.
Manakala, pada tahun 2009, lima lagi sukan dimulakan iaitu badminton, olahraga, gimnastik, gimrama dan hoki.
Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memajukan sukan memanah, KPM telah melengkapkan peralatan sukan memanah di setiap Pusat Latihan Memanah Daerah (PLD) yang pada masa kini berjumlah 10 buah di seluruh Sarawak.
Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Sarikei, Mohamad Kassim Arbain melalui teks ucapannya yang dibacakan oleh wakil beliau, Ismail Abang Mahmud berkata, KPM menyediakan peluang dan ruang kepada palajar pelbagai kaum untuk berjaya dalam apa jua lapangan yang diceburi.
“Usaha ini dilaksanakan untuk membentuk rakyat Malaysia menjadi pemimpin dan terbilang di dunia dalam bidang masing-masing selaras dengan konsep 1Malaysia, iaitu membina negara maju.
“Selain itu, kem juga dapat memberikan pendekatan yang lebih segar sebagai satu langkah untuk membolehkan pelajar di PLD meraih kemahiran baru, mengaplikasikan kemahiran yang dilatih dalam suasana pertandingan, memberi pengalaman kepada pelajar, berinteraksi dan bergaul dengan pelajar sekolah lain.
“Kem ini juga akan menjadikan sekolah sebagai Pusat Latihan Sukan Memanah yang aktif untuk melahirkan atlet yang berbakat dan berhasrat bagi menjalinkan ikatan perpaduan, memperluaskan pergaulan dan memupuk integrasi yang sihat dalam kalangan pelajar ke arah melahirkan generasi muda yang kuat melalui aktiviti sukan memanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Kem Bakat Sukan Memanah di Lapang Sasar Memanah SMK Bandar Sarikei, petang kelmarin.
Sebanyak empat pelajar lelaki dan empat perempuan akan dipilih untuk ke Pertandingan Memanah di Kuantan, Pahang pada hujung bulan ini menerusi beberapa pemilihan yang dijalankan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...