SEPANG: Perlumbaan Grand Prix (MotoGP) Malaysia 2011 dibatalkan berikutan kematian pelumba Itali, Marco Simoncelli akibat kemalangan pada pusingan kedua di Litar Sepang di sini petang semalam (Ahad).
Perlumbaan dibatalkan oleh penganjur perlumbaan, Sepang International Circuit (SIC) dan Dorna Sports iaitu pemegang hak perlumbaan MotoGP Dunia.
Pengarah Perubatan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) Dr Michele Macchiagodena mengumumkan kematian Simoncelli pada sidang media di Litar SIC.
Katanya pelumba pasukan Honda yang berusia 24 tahun itu, yang mengalami kecederaan di bahagian toraks dan perut, meninggal dunia pada pukul 4.56 petang di pusat perubatan SIC di litar berkenaan.
Perlumbaan yang bermula 4 petang itu tersebut tidak diteruskan empat minit kemudian selepas Simoncelli terjatuh dan motosikalnya dirempuh oleh pelumba Yamaha Colin Edwards dan pelumba Ducati, Valentino Rossi di selekoh ke-11.
Perlumbaan ditangguhkan pada pukul 4.05 petang dan Simoncelli kemudian dibawa dengan ambulans ke pusat perubatan di litar itu.
Walau bagaimanapun, Ewards terselamat daripada kecederaan serius manakala Rossi tidak mengalami kecederaan.
Kali terakhir kemalangan maut dalam kejohanan motosikal dunia berlaku pada tahun lepas apabila pelumba Jepun, Shoya Tomizawa terbunuh.
Walaupun masih ada baki satu lagi perlumbaan di Sepanyol, Casey Stoner dari Australia sudahpun mengesahkan kejuaraan dunianya ekoran kemenangannya di Australia seminggu yang lalu.
Stoner nyata sedih dengan nasib yang menimpa rakan seperjuangannya itu.
“Sebaik sahaja saya melihat rakaman video tersebut, ia benar-benar mengerikan. Sebaik sahaja helmet tercabut, ia adalah petanda yang tidak baik,” ujarnya.
Stoner menang di Philip Island dengan hanya dua saat di hadapan Simoncelli, di mana tempat kedua merupakan penamat terbaiknya dalam MotoGP setakat ini. Beliau merupakan juara dunia bagi kelas 250cc pada 2008.
“Kita tidak dapat menjamin perlumbaan yang selamat 100 peratus,” demikian menurut Pengerusi SIC, Datuk Mokhzani Mahathir kepada wartawan selepas kematian Simoncelli diumumkan.
“Apabila kita berlumba, kita sememangnya terdedah kepada bahaya. Sebagai pelumba profesional, mereka tahu akan risiko sukan ini. Percaya atau tidak, itulah kehidupan mereka. Takziah buat Marco. Beliau akan dikenang selalu.” — Bernama/AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan