Selasa, 25 Oktober 2011

Gudang simpan barangan pengguna terbakar, kerugian lebih RM1 juta


Utusan Borneo
25 Oktober 2011




MIRI: Sebuah gudang penyimpanan pelbagai barangan pengguna kerugian lebih RM1 juta setelah premisnya yang terletak di Jalan Lutong-Miri di sini musnah dalam satu kebakaran yang berlaku tengah malam kelmarin.
Kebakaran yang dipercayai bermula sekitar jam 11.30 malam itu turut merosakkan sebuah van milik syarikat yang diletakkan di tepi bangunan premis tersebut.
Berikutan itu, tiga jentera bomba, dua daripadanya dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dan sebuah lagi dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri bersama 20 anggota dengan diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba dari Balai Bomba Lopeng Mohd Ayob Hassan telah bergegas ke tempat kejadian.
Menurut Ayob, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kebakaran itu pada jam 11.58 malam dan tiba di tempat kejadian 18 minit kemudian.
Katanya, hasil usaha gigih pihak bomba, api yang marak dengan beberapa letupan kecil kedengaran di beberapa bahagian di dalam gudang berkenaan akhirnya dapat dikawal sekitar jam 1.10 pagi.
“Punca sebenar kejadian masih belum diketahui dan kami akan menjalankan siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami,” katanya.
Pun begitu menurut Ayob, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca daripada panahan petir akibat cuaca buruk yang berlaku sebelum kebakaran tersebut.
Sementara itu menurut beliau, letupan kecil yang kedengaran di dalam gudang berkenaan tidak berbahaya kerana ia dihasilkan oleh tin-tin makanan dan silinder cecair racun penyembur serangga (aerosol) yang terbakar.
Difahamkan, sebelum kejadian berlaku gudang terbabit telah mengalami gangguan elektrik iaitu terputus bekalan setelah kejadian petir sabung-menyabung dan dentuman guruh yang kuat di kawasan tersebut.
Selang beberapa minit kemudian, dua pengawal yang sedang bertugas kemudian memeriksa ke sekeliling kawasan gudang berkenaan dan tatkala itu ternampak api kecil mulai marak di bahagian belakang premis berkenaan.
Sejurus itu, mereka terus menghubungi pihak bomba untuk meminta bantuan segera.
Tinjauan Utusan Borneo di tempat kejadian tengah hari semalam mendapati sepasukan anggota bomba sedang bertungkus-lumus memadam sisa kebakaran di dalam gudang berkenaan yang menjadi tempat penyimpanan pelbagai barangan pengguna terutama makanan dalam tin, cecair racun penyembur serangga dan racun serangga perosak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...