Selasa, 25 Oktober 2011

Pengguna motosikal paling berisiko


Utusan Borneo

by Kepu Sidi. Posted on October 25, 2011, Tuesday



SUDAH ADA LESEN: Solah menyempurnakan simbolik perasmian dengan menyampaikan replika lesen memandu kepada salah seorang penerima yang telah lulus program SKSJ.
Sekitar 60 hingga 65 peratus kematian kemalangan jalan raya adalah melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal


BINTANGOR: Penunggang dan pembonceng motosikal, menurut perangkaan yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan penyumbang utama kadar kematian pada setiap kemalangan yang berlaku.

Sekitar 60 hingga 65 peratus kematian kemalangan jalan raya adalah melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal, kata Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia Datuk Solah Mat Hassan.
Katanya, pengukuhan kepada fakta tersebut menjadi lebih jelas apabila Ops Sikap 23 yang telah dilancarkan pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang lepas telah mencatatkan penunggang dan pembonceng motosikal sebagai penyumbang utama kemalangan jalan raya yang ada di negara ini.
“Perkara ini harus dipandang serius oleh semua pihak, kerana secara dasarnya ia berlaku akibat daripada sikap pemandu di samping turut dipangaruhi oleh faktor sampingan seperti keadaan motosikal.
“Salah satu contoh perkara yang dianggap remeh oleh penunggang motosikal apabila kita mengadakan sekatan ialah sering mengabaikan fungsi api bahagian belakang motosikal mereka.
“Apabila kami menyoal mereka tentang masalah tersebut… jawapan yang sering didengar ialah tidak pasti bila ia rosak atau tadi masa saya periksa ia ada… tetapi mengapa sekarang ia tiada.
“Tetapi apa yang pasti, bahawa sebenarnya penunggang motosikal itu tahu bahawa api belakang motosikalnya sudah lama tidak berfungsi, rosak atau hanya menyala secara malap sahaja dan dia berpura-pura tidak sedar,” kata Solah.
Tambahnya, pengguna seperti ini tidak tahu betapa pentingnya fungsi api belakang mereka itu berada dalam keadaan yang baik khususnya dalam menyelamatkan nyawa mereka semasa berada di jalan raya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan penutupan Program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (SKSJ) daerah Meradong, semalam.
Majlis tersebut diadakan di Stadium Persatuan Bola Keranjang Meradong.
Menurut Solah lagi, sepanjang program SKSJ ini dilancarkan sejak tahun 1990-an, ia telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada masyarakat.
“Pada 2010, seramai 12,184 peserta telah lulus mendapatkan lesen memandu motosikal B2, manakala bagi 2011 pula hingga setakat ini seramai 9,488 orang telah lulus.
“Bagi setiap negeri kami telah tetapkan program ini dijalankan sebanyak tiga kali setahun, tetapi bagi negeri Sarawak ia boleh diadakan lebih daripada tiga kali setahun dan program di Bintangor ini merupakan program yang terakhir SKSJ adakan pada tahun ini bagi negeri Sarawak,” ujar Solah.
Program ini telah berlangsung sejak Ogos lepas bermula dengan sesi ceramah dan kamudiannya diikuti oleh sesi praktikal.
Bagi SKSJ kawasan Bintangor seramai 463 orang telah mendapat lesen B2 (Percubaan) yang merupakan golongan yang berumur 40 tahun ke atas dan belum pernah mempunyai atau memiliki sebarang lesen memandu sebelum ini.
Hadir sama pada majlis ini ialah Residen Bahagian Sarikei Michael Dawi Ali, Pengarah JPJ Negeri Sarawak Ibrahim Othman, Ketua Pejabat JPJ Bahagian Sarikei Shafiee Naim dan Pemangku Pegawai Daerah Meradong Kueh Lei Poh.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...