Selasa, 25 Oktober 2011

Mana tapak baru?



Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my

LEGA...sebahagian daripada 43 pemilik bengkel di Jalan Rawang-Tasik Puteri
menerima wang pampasan, semalam.


RAWANG: Lebih 10 bulan menunggu, pengusaha bengkel kereta dan kilang di Jalan Rawang-Tasik Puteri di sini, berharap kerajaan Selangor menyegerakan pemberian kawasan perniagaan baru kepada mereka selepas tapak asal diambil alih bagi menjalankan projek naik taraf jalan di situ sejak Mei lalu.
Difahamkan, kerajaan negeri sudah meluluskan untuk memberi dua kawasan kepada peniaga terbabit iaitu di Jalan Kundang dan Jalan Tasik Puteri, namun sehingga kini tiada arahan berpindah dikeluarkan.


Pengerusi Persatuan Peniaga Jalan Rawang-Tasik Puteri, A Balakrishnan, berkata mereka diberitahu permohonan sudah diluluskan Pejabat Tanah Daerah Gombak (PTDG) dan menunggu arahan berpindah dikeluarkan, tetapi sehingga kini tiada.

Katanya, mereka berharap proses itu dipercepatkan kerana ia membabitkan mata pencarian peniaga yang sepenuhnya bergantung kepada perniagaan.


“Ada pengusaha bengkel terpaksa menutup perniagaan mereka buat sementara waktu dan selebihnya menyewa di kawasan perniagaan berhampiran.



“Kami akur arahan kerajaan yang mengarahkan supaya berpindah untuk melebarkan jalan di kawasan berkenaan kerana naik taraf berkenaan demi kepentingan penduduk Rawang. Diharapkan kerajaan negeri juga faham dengan keperluan kami untuk menjalankan perniagaan bagi meraih pendapatan bulanan,” katanya ketika majlis penyerahan wang pampasan oleh Kementerian Kerja Raya di Taman Idaman Rawang, di sini, semalam.

Wang pampasan disampaikan Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Datuk As’ari Ibrahim. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang, Abdul Shukur Idrus dan Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah.


Sebanyak RM215,000 diperuntukkan sebagai pampasan kepada peniaga terbabit. Mereka yang memiliki ruang perniagaan melebihi 10,000 meter persegi menerima pampasan RM10,000 dan bagi keluasan kurang daripada itu, RM5,000.


Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri bekerjasama dengan memberi tapak baru kepada peniaga secepat mungkin bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan.


“Kerajaan sudah menyediakan pampasan kepada peniaga, sedangkan ketika kawasan itu dirobohkan kerajaan negeri tidak memberi sagu hati dan membiarkan peniaga terkontang-kanting. Pampasan sudah diberi dan kini peniaga mengharapkan kelulusan kerajaan negeri untuk mendapatkan tanah baru,” katanya.



Jun lalu Harian Metro melaporkan rungutan pengusaha kilang di kawasan terbabit yang terpaksa mengosongkan premis perniagaan mereka kerana projek naik taraf jalan sepanjang 1.6 kilometer bagi mengatasi kesesakan bermula di Tol Rawang hingga ke Rawang Idaman.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...