The Borneo Post
Berita Sabah
by SITI AISYAH NARUDIN, aisyahub@gmail.com.
Untuk laksana projek pembangunan setakat 21 Oktober lepas
KOTA KINABALU: Setakat 21 Oktober lepas, sebanyak RM2.785 bilion atau 44.97 peratus daripada peruntukan 2011 telah dibelanjakan untuk membiayai projek-projek pembangunan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, berkata jumlah berkenaan adalah berdasarkan Sistem Pemantauan Projek II (SPPII) dan taklimat daripada Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah.
Menurutnya, prestasi kewangan bagi projek di bawah Peruntukan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) berjumlah RM962.09 juta atau 101.77 peratus daripada peruntukan keseluruhan.
“Tahun 2011 akan melabuhkan tirainya dalam masa dua bulan lagi. Oleh itu, semua kerja yang sedang dilaksana atau akan dilaksanakan perlu dibuat dengan cepat, cekap dan berintegriti.
“Apa yang penting, projek-projek pembangunan terutamanya di kawasan luar bandar harus diberi keutamaan sewajarnya agar dapat disempurnakan mengikut jadual dan dimanfaatkan oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri di sini kelmarin.
Tambahnya, pemantauan dari semasa ke semasa perlu dilaksanakan dan setiap lokasi projek yang diberikan kerajaan pusat menerusi kementerian masing-masing mesti digunakan sepenuhnya.
“Kita juga akan pastikan setiap masalah yang wujud seperti masalah berkaitan tanah dan kemudahan dapat diselesaikan,” katanya.
Musa turut mengingatkan kepuasan hati rakyat terhadap kerajaan sama ada dari segi perkhidmatan, usaha menambah kekayaan dan keberkesanan dalam menyelesaikan masalah adalah penanda aras muktamad bagi pelaksanaan pembangunan.
Jelasnya, aspek berkenaan hanya dapat dikenal pasti melalui jentera penyelarasan dasar program yang berfokuskan kepada pendekatan berasaskan hasil.
Selain itu, keupayaan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber adalah penting dalam memastikan negara memiliki kelebihan persaingan.
Tambahnya, hasil penilaian boleh dijadikan panduan perancangan dan pembangunan program atau projek pada masa hadapan berdasarkan pengalaman pelaksanaan dan maklum balas daripada pengguna atau penerima manfaat.
Justeru, beliau mahu setiap agensi sentiasa menerapkan pelaksanaan penilaian hasil terhadap program atau projek yang telah siap disempurnakan untuk mengenal pasti keberkesanan inisiatif yang dilaksana dalam mencapai objektif asal.
Musa menyeru semua pihak khususnya anggota pentadbiran dan penjawat awam agar terus berganding bahu dan bekerjasama bagi menjayakan usaha pembangunan yang telah dirancang menerusi belanjawan negara.
“Kementerian, jabatan dan agensi yang terlibat harus menganggap ini sebagai cabaran yang perlu disahut dan dilaksanakan agar aspirasi untuk memajukan negeri ini dapat direalisasi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan