Utusan Borneo
by Kepu Sidi. Posted on October 25, 2011, Tuesday
SAMBUTAN KEBUDAYAAN: Ketibaan Solah dan Michael disambut dengan persembahan kebudayaan masyarakat negeri Sarawak. |
BINTANGOR:Perkembangan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan Hab Halal turut memberi impak terhadap perkembangan kemudahan infrastruktur di negeri ini.
Jesteru masyarakat juga harus melengkapkan diri dengan pengetahuan dan peraturan yang berkaitan dengan perkembangan tersebut agar segala undang-undang yang telah ditetapkan dipatuhi sepenuhnya.
Residen Bahagian Sarikei Michael Dawi Ali berkata, ini bukan hanya untuk memantapkan peraturan yang ada tetapi sebagai salah satu langkah untuk menjamin keselamatan mereka apabila berada di jalan raya.
“Langkah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menganjuran program Satu Komuniti Satu Jabatan (SKSJ) merupakan satu langkah yang amat baik dalam mewujudkan masyarakat yang berdisplin apabila berada atau menggunakan kemudahan jalan raya.
“Kita tidak mahu masyarakat khususnya yang berada di kawasan luar bandar memandang ringan terhadap keperluan memiliki lesen memandu yang sah apabila memandu kenderaan atau menunggang motosikal di jalan raya,” kata Michael.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Program SKSJ Daerah Meradong di Stadium Bola Keranjang Meradong, semalam.
Katanya, perkembangan ekonomi yang berlaku turut memberi kesan terhadap tuntutan keperluan tenaga kerja dan ini memerlukan pergerakan dari semasa ke semasa oleh para pekerja di sektor-sektor tertentu dari satu kawasan ke satu kawasan lain.
“Jadi untuk bergerak, golongan ini akan memerlukan kemudahan pengangkutan dan apabila mengendalikan kenderaan mereka seharusnya mempunyai lesen yang sah.
“Memiliki lesen yang sah di samping mematuhi peraturan yang ditetapkan akan membolehkan seseorang pemandu dan penumpang sesebuah kenderaan itu dilindungi oleh insurans sedia ada,” kata Michael.
Di majlis yang sama juga, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia Datuk Solah Mat Hassan dalam ucapan perasmiannya berkata, program SKSJ yang diadakan di Bintangor adalah program yang terakhirnya diadakan di sarawak pada tahun ini.
“Program ini akan diteruskan pada masa datang memandangkan ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada golongan sasaran.
“Saya berharap semua peserta yang telah lulus pada program ini akan memanfaatkan sebaiknya segala pengetahuan dan kefahaman mereka apabila berada di jalan raya nanti,” kata Solah.
Katanya, ramai orang menganggap bahawa jalan lurus itu mampu mengelakkan dari peratusan kekerapan kemalangan jalan raya berlaku.
“Tetapi hasil perangkaan yang telah dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati bahawa peratusan pengguna yang terlibat dalam kemalangan jalan raya adalah lebih tinggi di jalan lurus berbanding di kawasan yang berselekoh,” kata Solah.
Ini kerana sikap pengguna itu akan lelbih lalai apabila berada di jalan lurus, berbanding mengamalkan sikap lebih berhati-hati apabila melalui jalan berselekoh, katanya.
Pada program ini seramai 463 orang dari kawasan Bintangor yang berusia 40 tahun ke atas telah memperolehi lesen memandu motosikal kelas B2 (Percubaan).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan