Selasa, 25 Oktober 2011

Beras wangi seludup bernilai RM300,000 dirampas



The Borneo Post
Berita Sabah

DIRAMPAS ... Lima kontena yang membawa beras wangi Vietnam seludup
ditahan di Pelabuhan Sabah, Sepanggar.

KOTA KINABALU:  Cubaan menyeludup lima kontena berisi beras wangi yang dipercayai dari Vietnam berjaya digagalkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah baru-baru ini.
Timbalan Pengarah JKDM negeri, Hamzah Sundang berkata beras bernilai lebih kurang RM300,000 itu dibawa masuk menerusi Singapura, sebelum dirampas di Pelabuhan Sabah, Sepanggar dekat sini.
Jelasnya, berdasarkan maklumat daripada orang ramai, kegiatan menyeludup beras wangi itu berjaya digagalkan.
“Beras seberat 130 tan metrik yang melibatkan 5,200 karung beras wangi itu dipercayai untuk pasaran di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar kelmarin.
Menurutnya, rampasan itu dibuat kerana segala urusan mengimport beras memerlukan lesen import yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan hanya Padiberas Nasional Berhad (Bernas) diberi kelulusan mengimport beras.
“Selain tidak memiliki daftar cukai terhadap beras yang dirampas itu, tidak ada pihak yang mengaku barang tersebut milik mereka dan hanya terdapat surat penghantaran oleh agen perkapalan,” katanya.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata ia merupakan rampasan beras pertama di Sabah pada tahun ini dan nilai rampasan agak besar kerana harga beras wangi adalah mahal.
Katanya, siasatan lanjut akan diteruskan dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Akta 135 (1) (a) 1967.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...